Filem yang dinantikan dari pihak Astro Shaw iaitu Keluang Man kini sudah mulai penggambaran.
ASTRO SHAW
Filem aksi superhero ikonik Malaysia yang paling dinanti-nantikan, KELUANG MAN terbitan Astro Shaw telah memulakan penggambaran secara rasmi mulai 4 Mei lalu! Penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang serta lokasi yang amat sinonim dengan animasi Keluang Man iaitu Kluang, Johor.
SCRIPT READING
Selepas enam bulan para pelakon menjalani persiapan latihan fizikal dan koreografi, barisan pelakon menghadiri sesi ‘script reading’ baru-baru ini. Tujuannya agar mereka memahami lebih mendalam tentang watak yang dilakonkan, latar belakang cerita, dan arah keseluruhan filem.
Sesi script reading dihadiri Penerbit Eksekutif Filem Keluang Man yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Pengarah Anwari Ashraf, para pelakon, tenaga kreatif dan sebahagian kru produksi.
UMUM NAMA PELAKON LAIN
Astro Shaw turut mengumumkan secara rasmi nama pelakon lain yang akan turut bersama Nas Muammar Zar, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Datuk Rosyam Nor dalam menjayakan Keluang Man.
Termasuk ikon penyampai radio, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ratu cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon. Beberapa nama pelakon popular lain akan diumumkan kelak.
SINOPSIS FILEM KELUANG MAN
Filem Keluang Man memaparkan kisah seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira dalam membenteras jenayah. Naskhah ini diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, yang juga pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf. Beliau turut bertindak sebagai penulis skrip filem Keluang Man.
MEMBERI ‘JUSTICE’ KEPADA SUPERHERO
“Selepas enam bulan persediaan, kini tiba masanya untuk kami memulakan fasa penggambaran. Semua yang terlibat dalam menjayakan filem Keluang Man adalah yang terbaik dalam industri buat masa ini.
Kami amat menitik beratkan kualiti dan memastikan dapat memberi ‘justice’ kepada superhero ikonik kebanggaan Malaysia ini. Kami juga dengan bangganya memperkenalkan secara rasmi para pelakon lain yang terlibat dalam filem Keluang Man.
Namun, kami masih menyimpan beberapa kejutan yang akan diumumkan kelak. Kami mengharapkan segala urusan dipermudahkan sepanjang sesi penggambaran dalam tempoh dua bulan ini dan mengharapkan fokus yang tinggi dalam menghasilkan produk berkualiti”.
-Penerbit Eksekutif Keluang Man dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad
INFORMASI TENTANG ANIMASI INI
Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.
Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw mengumumkan untuk mengangkat adiwira animasi legenda ini ke layar perak dalam bentuk ‘live action movie’ selepas menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio.
Usaha ini secara tidak langsung memperkenalkan semula superhero Keluang Man kepada generasi baharu serta melahirkan universe adiwira tempatan terbesar negara.
Sementara menantikan filem KELUANG MAN ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.