Cuti Sekolah Dah Dekat! Ini Persediaan Ibu Bapa Sebelum Anak Bersunat

Cuti sekolah bakal tiba! Selain merancang percutian dan aktiviti bersama keluarga, ada juga ibu bapa yang mengambil peluang ini untuk membawa anak lelaki menjalani proses berkhatan atau sunat.

PERSEDIAAN ANAK BERSUNAT

Bagi sesetengah anak, inilah pengalaman pertama mereka berdepan prosedur perubatan. Ada yang berani, ada yang teruja dan tak kurang juga yang mula rasa cuak apabila dengar perkataan sunat!

Jadi, sebelum tetapkan tarikh, ada beberapa perkara yang ibu bapa boleh sediakan supaya pengalaman anak lebih selesa dan urusan keluarga pun berjalan lancar.

6 TIP UNTUK IBU BAPA

1. PILIH KLINIK ATAU PUSAT BERKHATAN YANG SESUAI

Perkara paling penting ialah memilih klinik atau pusat kesihatan yang mempunyai petugas kesihatan bertauliah dan kemudahan yang sesuai.

Ibu bapa boleh bertanya terlebih dahulu tentang kaedah berkhatan, anggaran tempoh pemulihan, kos serta rawatan susulan jika diperlukan.

Jangan malu bertanya. Lebih banyak maklumat yang kita tahu, lebih mudah untuk membuat persediaan.

2. TERANGKAN APA YANG BAKAL BERLAKU KEPADA ANAK

Jangan tunggu sampai hari berkhatan baru hendak bercerita kepada anak. Terangkan secara ringkas dan sesuai dengan usia mereka. Beritahu bahawa sunat ialah prosedur yang dilakukan oleh petugas kesihatan dan mereka mungkin mengalami sedikit rasa tidak selesa selepas itu.

Paling penting, elakkan menakut-nakutkan anak dengan cerita yang boleh membuatkan mereka semakin cemas.

3. SEMAK ARAHAN SEBELUM PROSEDUR

Setiap prosedur mungkin mempunyai persediaan berbeza. Ada yang menggunakan bius setempat dan ada yang memerlukan kaedah bius lain.

Ikut arahan klinik mengenai makan, minum, ubat-ubatan dan persediaan sebelum prosedur. Jangan suruh anak berpuasa sendiri jika tiada arahan daripada pihak perubatan.

Jika anak mempunyai alahan, masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat, maklumkan kepada petugas kesihatan lebih awal.

4. SEDIAKAN PAKAIAN YANG SELESA

Selepas bersunat, kawasan berkenaan mungkin terasa sensitif dan sedikit ngilu.

Sediakan kain sarung, seluar longgar atau pakaian yang tidak terlalu ketat supaya anak lebih selesa bergerak. Elakkan pakaian yang mudah bergesel dengan kawasan luka.

5. RANCANG AKTIVITI SEPANJANG TEMPOH PEMULIHAN

Jangan terus rancang aktiviti lasak selepas anak bersunat.

Beri ruang untuk anak berehat di rumah. Aktiviti seperti berbasikal, bermain bola, berlari dan berenang perlu ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran atau mengikut tempoh pemulihan yang disarankan petugas kesihatan.

Boleh sediakan aktiviti santai seperti menonton filem, membaca buku, bermain permainan video atau meluangkan masa bersama keluarga.

6. SEDIAKAN KEPERLUAN PENJAGAAN DI RUMAH

Sebelum hari berkhatan, pastikan keperluan asas sudah tersedia seperti pakaian longgar, kain atau tuala bersih, air minuman dan ubat yang diberikan atau disarankan oleh doktor.

Pastikan juga ibu bapa memahami cara membersihkan luka, penggunaan ubat dan jadual pemeriksaan susulan jika ada.

Kesimpulannya, sunat bukan sekadar urusan pada hari prosedur sahaja. Persediaan sebelum dan selepas berkhatan sama penting supaya anak lebih tenang dan proses pemulihan dapat berjalan dengan baik.

Buat ibu bapa yang merancang anak bersunat cuti sekolah ini, rancang awal dan pastikan anak mendapat penerangan serta penjagaan yang sewajarnya.

Semoga semuanya dipermudahkan!

By Nannie Isa

For any collaboration or invitation on Entertainment, Food, Travel or Event /Product Launching & Review, do email to kitepunye2018@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *