Nak Hamil? Persediaan Bukan Untuk Wanita Sahaja! Ini Yang Pasangan Perlu Tahu
Merancang untuk mempunyai cahaya mata? Ramai pasangan mungkin fikir persediaan untuk hamil hanya bermula apabila mereka sudah bersedia untuk menimang anak. Sebenarnya, menjaga kesihatan lebih awal juga memainkan peranan penting.
Lebih menarik, soal kesuburan bukan hanya tentang wanita. Pasangan lelaki juga mempunyai peranan dalam perjalanan untuk mendapatkan zuriat.
WHAT WOMEN WANT FORUM: BEFORE WE BLOOM
Perkara ini antara yang dikongsikan menerusi What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy, anjuran Parenthood Media bersama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), baru-baru ini.

Berlangsung di MyToday, Atria Shopping Gallery, forum tersebut membuka ruang kepada wanita untuk berbincang secara santai tentang kesuburan, kesihatan hormon dan persediaan sebelum hamil.
NAK HAMIL?
JANGAN TUNGGU SAMPAI ADA MASALAH
Antara perkara menarik yang dikongsikan ialah kepentingan menjaga kesihatan reproduktif lebih awal, bukan hanya apabila pasangan sudah mula mencuba untuk hamil atau trying to conceive (TTC).
Menurut pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) PHKL, Dr Raymond Lim, bersama pakar Endokrinologi, Dr Lim Sue Wen, terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi peluang seseorang untuk hamil.

Antaranya termasuk usia, perubahan hormon serta masalah kesihatan seperti endometriosis, gangguan tiroid dan diabetes.
Sebab itu, pemeriksaan dan nasihat perubatan lebih awal boleh membantu pasangan memahami keadaan kesihatan masing-masing serta membuat persediaan yang lebih baik.
BUKAN WANITA SAHAJA, LELAKI PUN KENA AMBIL TAHU!
Bila bercakap tentang kesukaran untuk hamil, selalunya perhatian lebih tertumpu kepada wanita. Hakikatnya, kesuburan melibatkan kedua-dua pasangan.

Jika proses mendapatkan zuriat mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, pemeriksaan mungkin diperlukan untuk kedua-dua pihak kerana faktor lelaki juga boleh mempengaruhi peluang kehamilan.
Selain itu, gaya hidup seperti pemakanan, berat badan, aktiviti fizikal dan pengurusan tekanan turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam forum ini.
Pendek kata, kalau sedang merancang untuk mempunyai anak, lebih baik pasangan sama-sama mengambil berat tentang kesihatan masing-masing.
JUMPA PAKAR KESUBURAN?
Ini satu lagi perkara yang mungkin ramai salah faham.
TAK SEMESTINYA KENA BUAT IVF!
Ada yang beranggapan apabila berjumpa pakar kesuburan, mereka akan terus disarankan menjalani rawatan persenyawaan in vitro atau IVF. Sebenarnya, tidak semestinya begitu.

Menurut perkongsian panel, konsultasi kesuburan bermula dengan mengenal pasti faktor yang mungkin menyebabkan kesukaran untuk hamil.
Bergantung pada keadaan individu, doktor mungkin mencadangkan perubahan gaya hidup, ubat-ubatan atau rawatan bagi masalah kesihatan tertentu.

Rawatan seperti IVF pula merupakan salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan sekiranya sesuai.
Jadi, mendapatkan nasihat pakar bukan bermaksud seseorang perlu terus menjalani rawatan kesuburan yang kompleks.
SETIAP PASANGAN ADA PERJALANAN BERBEZA
Melalui forum Before We Bloom, Parenthood Media dan Pantai Hospital Kuala Lumpur berharap lebih ramai pasangan berasa selesa untuk berbincang tentang kesuburan dan kesihatan pra-kehamilan.
Ini kerana perjalanan untuk mendapatkan cahaya mata tidak semestinya sama bagi setiap pasangan. Ada yang mudah hamil, ada juga yang memerlukan lebih banyak masa, pemeriksaan atau sokongan perubatan.

Paling penting, jangan terlalu cepat membuat andaian atau menyalahkan diri sendiri mahupun pasangan.
Merancang kehamilan bukan sekadar menunggu berita gembira, tetapi juga tentang memahami kesihatan dan membuat persediaan bersama.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsultasi pra-kehamilan dan perkhidmatan pakar, orang ramai boleh mengunjungi laman rasmi Pantai Hospital Kuala Lumpur.
Nota: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat perubatan profesional.