Syazzik: Bakat Sahaja Tak Cukup, Disiplin Pun Penting Dalam Dunia Lakonan.
SIAPA SYAZZIK
Sudah lima tahun berada dalam industri seni, pelakon Syazani Zikry atau lebih dikenali sebagai Syazzik mahu terus mengembangkan kerjaya dalam bidang lakonan, selain aktif sebagai pengacara, pengacara acara dan dalam produksi.
BUKAN SEKADAR BAKAT
Bagi Syazzik, perjalanan dalam dunia seni bukan sekadar tentang bakat. Disiplin, sikap profesional dan keinginan untuk terus belajar juga penting, terutama ketika berada di set penggambaran.
Menurutnya, setiap produksi melibatkan ramai orang dan semua mempunyai tanggungjawab masing-masing. Sebab itu, pelakon perlu menghormati masa, arahan pengarah serta prosedur yang ditetapkan.

Bagi saya, displin sama penting dengan bakat. Bila kita berada di set, kita bekerja sebagai satu pasukan
CEBURI LAKONAN SEJAK USIA 11 TAHUN
Syazzik yang mula mengenali dunia lakonan sejak usia 11 tahun menerusi teater juga tidak menganggap pengalaman sebagai alasan untuk berhenti belajar. Malah, dia masih mengikuti kelas lakonan bagi memperbaiki kemahiran dan lebih memahami pelbagai karakter.
DARI WATAK EKSTRA KE WATAK UTAMA
Perjalanan Syazzik dalam lakonan bermula secara perlahan. Daripada watak ekstra tanpa dialog, dia kemudian mendapat peluang membawa watak sokongan sebelum diberikan kepercayaan sebagai pelakon utama menerusi filem Kabus.
ANTARA FILEM
Dia turut pernah membintangi Ceroboh yang ditayangkan di Netflix, Sazali Meor Coco, Tafakur dan terbaharu Angkat.

Bagi Syazzik, setiap tawaran yang diterima adalah rezeki dan peluang untuk belajar. Dia tidak mahu terlalu terikat dengan satu genre, walaupun mengakui lebih cenderung kepada filem kerana medium tersebut memberinya ruang untuk meneroka watak dan penceritaan dengan lebih mendalam.
Malah, dia turut menyimpan impian untuk mencuba genre romantic comedy (rom-com).
EH JADI PENGACARA PULA?
Walaupun kini turut menerima lebih banyak tawaran sebagai pengacara selepas sibuk dengan penggambaran drama dan filem, Syazzik menegaskan bahawa lakonan masih menjadi keutamaannya.
LAKONAN MASIH KEUTAMAAN
Dia juga mahu lebih konsisten dalam drama televisyen sambil meneruskan kerjaya dalam filem, pengacaraan dan produksi. Dalam masa sama, Syazzik percaya pelakon baharu tidak boleh bergantung kepada populariti atau jumlah pengikut media sosial semata-mata.
Bakat perlu disertai latihan, pemahaman terhadap emosi watak dan kemampuan untuk bekerjasama dengan seluruh pasukan produksi.
PROJEK TERBARU
Untuk peminat yang menantikan kemunculan terbaharunya, Syazzik mempunyai beberapa projek yang sudah selesai menjalani penggambaran dan masih menunggu masa untuk ditayangkan.
Antaranya sebuah filem yang mengetengahkan kisah dua beradik dengan elemen kanibalisme, sesuatu yang dianggapnya berbeza daripada watak yang pernah dibawanya sebelum ini. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai filem tersebut masih dirahsiakan sehingga pengumuman rasmi dibuat.

Dengan pengalaman yang semakin bertambah, Syazzik nampaknya masih mahu terus mencuba, belajar dan membuka ruang kepada lebih banyak karakter baharu.
Bagi pelakon muda ini, perjalanan lima tahun dalam industri bukan alasan untuk berhenti di satu tahap — sebaliknya menjadi permulaan untuk terus berkembang.