NEW DAY RISING: BELLE SISOSKI WAKILI MALAYSIA DALAM PROJEK TOYOTA

Belle Sisoski Wakili Malaysia! 7 Bakat Asia Gabung Bunyi Toyota Jadi Lagu ‘New Day Rising’

Apa jadi kalau bunyi kereta dijadikan muzik? Bunyinya mungkin pelik, tetapi Toyota Motor Asia membuktikan kreativiti muzik boleh datang daripada perkara yang kita dengar setiap hari!

NEW DAY RISING

Menerusi inisiatif Move Your World Beat, tujuh bakat muzik dari enam negara Asia bergabung tenaga menghasilkan lagu berjudul ‘New Day Rising’. Projek ini menggabungkan muzik moden, bunyi kenderaan Toyota dan instrumen tradisional dari negara masing-masing untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

BELLE SISOSKI

Lebih menarik, Malaysia turut diwakili oleh pemuzik dan penerbit muzik, Belle Sisoski, yang dikenali menerusi gabungan instrumen etnik Asia Tenggara dengan muzik elektronik dan sinematik.

Lagu New Day Rising ditayangkan secara eksklusif menerusi YouTube pada 23 Oktober lalu, sebagai lagu utama album sulung kolektif tersebut, Move Your World Beat Volume 1.

BUNYI KERETA PUN BOLEH JADI MUZIK!

Biasanya, bunyi lampu isyarat, pertukaran gear, tingkap kuasa dan pintu kereta dianggap bunyi biasa ketika kita berada di dalam kenderaan.

Tetapi dalam projek ini, bunyi-bunyian tersebut dijadikan sampel audio dan diolah menjadi elemen ritma serta melodi.

Kreatif juga idea ini! Bunyi yang kita dengar setiap hari kini menjadi sebahagian daripada sebuah karya muzik yang menggabungkan kreativiti dan teknologi.

Lebih unik, bunyi automotif itu turut digabungkan dengan instrumen tradisional dari negara peserta, termasuk seruling berkembar Alghoza dari Pakistan dan xilofon buluh Đàn tơ rưng dari Vietnam.

Hasilnya ialah satu eksperimen muzik yang mempertemukan bunyi moden dengan warisan muzik Asia.

BELLE SISOSKI WAKILI MALAYSIA, SIAPA LAGI TERLIBAT?

Projek ini menghimpunkan tujuh bakat muzik dari Pakistan, Vietnam, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Antara artis yang terlibat ialah:

  • Belle Sisoski (Malaysia) – Pemuzik pelbagai instrumen dan penerbit yang menggabungkan bunyi etnik Asia Tenggara dengan muzik elektronik serta sinematik. Beliau juga merupakan naib juara Commonwealth Song Contest dan tersenarai dalam Rolling Stone UK Best Independent Acts 2025.
  • Natasha Noorani (Pakistan) – Ahli etnomuzikologi terlatih yang menggabungkan tradisi muzik Asia Selatan dengan pop elektronik.
  • 2pillz (Vietnam) – Penerbit muzik dan DJ yang pernah meraih lebih tiga juta penstriman menerusi album sulungnya.
  • Shye (Singapura) – Artis bebas yang bergerak dalam genre dream-pop dan shoegaze, serta mengendalikan sendiri proses penulisan, penerbitan dan adunan audio.
  • Valentina Ploy (Thailand/Itali) – Penyanyi dan penulis lagu yang pernah menjadi artis pembuka tirai konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour di Bangkok.
  • Miguel dan Paolo Benjamin (Filipina) – Duo adik-beradik kembar yang mengasaskan kumpulan folk-pop terkenal, Ben&Ben.

Gabungan latar belakang dan gaya muzik yang berbeza ini memberi ruang kepada setiap artis untuk menyumbangkan identiti tersendiri dalam projek tersebut.

‘NEW DAY RISING’ BUKAN SEKADAR LAGI KOLABORASI

Menurut Pengurus Besar Toyota Motor Asia, Jaja Ishibashi, inisiatif ini selari dengan falsafah Move Your World yang melihat pergerakan bukan hanya sebagai perjalanan fizikal, tetapi juga sebagai cara menyatukan komuniti dan latar belakang yang berbeza.

Menerusi projek ini, Toyota mahu menyokong perkembangan pemuzik Asia serta membuka peluang untuk mereka meneroka kemungkinan baharu dalam muzik.

Pendekatan ini juga memperlihatkan bagaimana bunyi daripada dunia automotif boleh digunakan sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan karya seni yang kreatif.

NAK DENGAR?

Kalau korang suka muzik yang bereksperimen dengan bunyi dan budaya berbeza, New Day Rising boleh menjadi satu karya yang menarik untuk diterokai.

Album Move Your World Beat Volume 1 kini boleh didengarkan menerusi Spotify, manakala dokumentari di sebalik tabir projek ini boleh ditonton di YouTube.

Dokumentari tersebut turut memperlihatkan proses kreatif dan eksperimen muzik yang dilakukan oleh para artis sepanjang menghasilkan projek kolaborasi ini.

Menarik untuk melihat bagaimana bunyi yang biasa kita dengar setiap hari boleh bertukar menjadi muzik apabila digabungkan dengan kreativiti dan pengaruh budaya yang berbeza.

Korang rasa bunyi apa lagi daripada kehidupan seharian yang boleh dijadikan muzik?