ZAMAERA DALAM ‘HEART BREAK TO HEAL’, SEDIHNYA! | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Ingat lagi pada ratu hip hop negara, Zamaera!
ZAMAERA
Setelah hampir 2 tahun menyepi, penyanyi rap-penggubah lagu wanita terkenal Malaysia, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen atau lebih dikenali hanya sebagai ‘Zamaera’. Kini kembali dengan album, Mixtape ‘Heart Break To Heal’.
HEART BREAK TO HEAL
Menariknya, album yang mengandungi 11 track kesemuanya dengan 6 buah lagu dalam Bahasa Inggeris,4 buah lagu dalam Bahasa Melayu, dan sebuah ‘Interlude’ . Ianya didatangkan dalam bentuk peranti USB yang menyerupai sebuah kaset klasik.
Selain itu, pembeli juga akan menerima sebuah photobook 65-halaman yang mengandungi lirik tulisan tangan dengan visual yang menarik
“Alhamduillah semenjak menjadi artis indie, saya merasa bebas tanpa mana-mana ‘ikatan’. Pandemik COVID-19 banyak membuka mata tentang apa yang saya mahukan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.
MIXTAPE?
“Mixtape Heart Break To Heal ini merungkai kisah hidup saya dalam sebuah album yang menceritakan tentang cinta, kehilangan, pemulihan dan penemuan semula diri saya,”
-katanya.
LAGU JAGA DIRI TENTANG KISAH CINTA SENDIRI?
Salah satu track yang terkandung dalam Mixtape tersebut yang berjudul ‘Jaga Diri’ menceritakan tentang kisah percintaan Zamaera sendiri, menurut beliau,
“Saya akhirnya belajar untuk lepaskan apa yang sudah berakhir. Saya telah melalui fasa derita, sedih dan pada ketika itu saya tidak merasa marah pada bekas kekasih lagi.
Secara jujurnya saya hanya mahukan yang terbaik buat dia. Apa yang penting sekarang adalah Jaga Diri dan hanya menyayangi dari kejauhan.
GLOW TENTANG KELUARGA & KERJAYA
“Lagu Glow pula saya tulis kerana sifat percaya diri dan mahukan perubahan. Ibarat seekor ulat beluncas dalam kepompongnya yang bertukar menjadi rama-rama yang terbang bebas.
Lagu ini berkisar tentang keluarga dan kerjaya, bagaimana saya bangkit dari permasalahan tersebut.
Zamaera mengambil masa selama 8 bulan untuk menyempurnakan Mixtape tersebut agar ia betul-betul kena dengan citarasa dirinya yang sebenar.
PROSES RAKAMAN DALAM 5 BULAN
“Semuanya bermula pada bulan April lalu, saya memperuntukkan masa selama 5 bulan untuk menulis kesemua lagu. Proses rakaman pula berlangsung selama sebulan di Studio Mass Music bersama produser muzik yang hebat iaitu saudara Ming-A-Ling aka Ming.
Manakala, proses adunan dan mastering pula mengambil masa selama sebulan.
“Seronok rasanya dapat berkarya sebebas-bebasnya kerana segala yang lahir adalah ilham saya sendiri. Ming faham etika bekerja saya dan kami sangat serasi di dalam studio.
Beliau sendiri mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang muzik,” katanya lagi.
APA MASUK HEART BREAK
Mixtape Heart Break To Heal punyai cerita tersendiri, malah perkataan ‘heartbreak’ dijarakkan menjadi ‘heart break’ kerana bukan sahaja hati Zamaera perlu pulih, tetapi perlukan masa juga untuk pulih.
“Kesemua lagu yang terkandung dalam Mixtape disusun mengikut aturan kronologi hidup saya kecuali ‘Distance’ dan ‘Syukur’ .
Ini yang saya letakkan ketika segalanya bermula dengan kekecewaan, kehilangan dan penderitaan yang kemudiannya perlahan-lahan menuju refleksi diri, penerimaan dan penemuan.
Kalau pendengar amati track pertama iaitu Interlude, ada bunyi tangisan saya yang kemudiannya berubah tenang sambil berkata kepada diri sendiri semuanya akan beransur okay.
ARTIS RAP WANITA MALAYSIA?
Sebagai artis rap wanita di Malaysia, pelbagai rintangan yang terpaksa Zamaera tempuhi, namun katanya,
“Ramai beranggapan, sebagai rapper wanita anda perlu menjadi yang terbaik, cuma ada satu dan seakan berada dalam perlumbaan siapa nombor satu.
Kini, setelah lebih matang dan berpengalaman, saya rasakan setiap wanita yang saya temui menjadi saudara, guru atau teman yang pernah melalui kekecewaan dalam hidup.
“Mungkin satu (1) hari saya dapat bekerjasama dengan lebih ramai rapper wanita Malaysia yang hebat. Seperti Sophia Liana, Yunohoo, Kayda atau Bunga, dan tak sabar apa keajaiban yang bakal berlaku!
Kerja keras yang dipamerkan Zamaera sememangnya tiada tolok bandingnya, mahukan tidak, kesemua yang berlaku dalam Mixtape ciptaan beliau adalah hasil titik peluh sendiri.