Muhammad Heyqal Misnin Juara Bintang Suara MELILEA 2026, Bawa Pulang RM5,000!
HEYQAL JUARA!
Malam penuh muzik dan bakat! Muhammad Heyqal Misnin berjaya muncul sebagai juara Bintang Suara MELILEA 2026 yang berlangsung di MELILEA APHQ, MELILEA Tower, Bangsar South, Kuala Lumpur pada malam 10 Oktober lalu.

JUARA BINTANG SUARA MELILEA 2026
Membawakan lagu Oscar Winning Tears nyanyian asal Raye, persembahan Heyqal berjaya memikat hati juri sekali gus melayakkannya membawa pulang trofi juara, wang tunai RM3,000 dan baucar produk MELILEA bernilai RM2,000.

Pertandingan anjuran MELILEA International Group of Companies ini menerima lebih 200 penyertaan sebelum 19 finalis terbaik berentap di pentas akhir. Malah, lebih 700 penonton turut hadir untuk menyaksikan sendiri persembahan para peserta.
TEMPAT KEDUA & KETIGA
HADI HAFSHAM
Tempat kedua menjadi milik Muhammad Hadi Hafsham Hanapi yang menyampaikan lagu I (Who Have Nothing), Hadi membawa pulang wang tunai RM1,500 bersama baucar produk MELILEA RM1,500,

EMA FAZUANA
Manakala Ema Fazuana Mehat meraih tempat ketiga menerusi lagu Cinta. Sementara Ema menerima wang tunai RM1,000 dan baucar produk bernilai RM1,000. Kedua-duanya turut menerima trofi kemenangan.
ANUGERAH KECEMERLANGAN
Selain tiga pemenang utama, 14 peserta menerima Anugerah Kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan persembahan mereka. Malam tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penampilan Terbaik kepada Sulaiman Ibrahim dan Najmi Najihah Azlan, manakala Nurul Ainie Muhamad memenangi Anugerah Populariti – Undian Penonton.


BUKAN SEKADAR PERTANDINGAN NYANYIAN
Suasana malam kemuncak bertambah meriah dengan persembahan penyanyi jemputan Nas Adila bersama Dance Crew. Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, serta Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan, Datuk Prof. Dr. Stella Chin, turut menceriakan acara dengan persembahan nyanyian mereka.

Menurut pihak penganjur, Bintang Suara MELILEA 2026 bukan sekadar mencari juara, tetapi turut menjadi platform untuk memberi peluang kepada bakat baharu mengembangkan potensi dan membina keyakinan diri.

TEMA PERTANDINGAN
Dengan tema “Impian Anda · Suara Anda · Masa Depan Anda”, pertandingan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada anak muda Malaysia untuk menyerlah dalam bidang muzik dan hiburan.

Tahniah kepada Muhammad Heyqal Misnin dan semua finalis yang berjaya mencuri perhatian di pentas Bintang Suara MELILEA 2026!
credit photo: MaestroMediaMy