Menderma Darah Bagai Adiwira di MBO Cinemas

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Menderma Darah Bagai Adiwira di MBO Cinemas | MBO Cinemas sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Pusat Darah Negara (PDN) bagi menjayakan kempen derma darah anjurannya yang akan diadakan di pawagam MBO Cinemas di seluruh negara bermula pada 4 hingga 6 Ogos 2017.
Kempen kali ini yang bertemakan “Adiwira” menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 5,000 penderma bagi membantu menambah jumlah bekalan darah di Pusat Darah Negara, yang semakin berkurangan terutamanya selepas Ramadhan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Sejak ia dimulakan tiga tahun yang lalu, Kempen Derma Darah MBO telah berjaya memungut hampir 10,000 pain darah. Tahun ini, MBO Cinemas sekali lagi berharap agar semua pelanggan dan peminatnya akan tampil bersama-sama sebagai sebuah komuniti bagi membantu menjayakan kempen derma darah berkenaan.

“Anda tidak perlu melompat daripada bangunan tinggi atau meredah api untuk menjadi seorang adiwira. Kami percaya bahawa setiap rakyat Malaysia boleh menjadi seorang wira atau wirawati dan menyelamatkan nyawa dengan menderma darah. Setiap pain darah yang
didermakan berupaya menyelamatkan sehingga tiga nyawa”,

kata Pengarah Jualan dan Pemasaran MBO, Cheah Chun Wai. Tambah beliau,

“MBO merasa amat gembira kerana dapat memainkan peranan bersama-sama dengan rakan-rakan kami serta para penaja bagi menjayakan usaha yang murni ini. Kami menyeru kepada semua pelanggan kami serta ahli keluarga, para sahabat dan rakan setugas mereka agar tampil bersama-sama menjayakan kempen tahun ini dan menjadi adiwira dengan menderma darah di pawagam MBO Cinemas yang berdekatan dengan mereka.”

Tema ADIWIRA
Tema “Adiwira” dipilih untuk menggalakkan penyertaan kerana sememangnya diakui sedikit keberanian diperlukan bagi mengatasi perasaan takut kepada darah dan jarum suntikan, terutama sekali kepada mereka yang baru pertama kali ingin menderma darah.

“Kerjasama kami dengan MBO Cinemas merupakan contoh terbaik bagaimana organisasi besar dalam industri hiburan yang mempunyai cawangan di seluruh negara boleh menghulurkan bantuan” “Terima kasih kepada MBO Cinemas atas komitmennya yang berterusan dan pendekatan pemasarannya yang berkesan dalam menjayakan kempen derma darah ini”,

kata Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin.

“Kami percaya bahawa kerjasama ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan kami berharap agar usaha ini dapat direkodkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai ‘Jumlah darah terbesar dipungut oleh rangkaian pawagam dalam satu kempen’”,

kata Ketua Pegawai (Operasi) St. John Ambulans Malaysia, Dato’ Burnard Yeo Kim Thong.
Kempen ini juga diharap dapat meyampaikan mesej penting kepada seluruh rakyat Malaysia agar kerap menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi sebelum berlakunya kecemasan. Statistik menunjukkan hanya 2.2% daripada 30 juta rakyat Malaysia menderma darah. Jumlah berkenaan adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan 3.5% – 5% penderma darah di negara-negara membangun. Secara purata, hospital-hospital kerajaan dan swasta di Malaysia perlu menyediakan kira-kira 2,000 beg darah bagi menampung keperluan 1,000 pesakit setiap hari.
Sebagai penghargaan kepada “Adiwira”, setiap penderma darah akan menerima saguhati eksklusif daripada MBO Cinemas yang berupa baucer wayang, makanan ringan dan beberapa baucer menarik daripada para penaja kempen derma darah tahun ini.

Kempen dermah darah ini akan diadakan di seluruh negara pada 5 dan 6 Ogos, daripada 12 tengah hari hingga 6 petang, kecuali Kedah dan Johor di mana ia akan diadakan pada 4 dan 5 Ogos, daripada 12 tegah hari hingga 6 petang.
Jadilah seorang adiwira, derma darah, selamatkan nyawa!

1 Comment

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge