Makan Malam Amal Legends kini kembali tetapi lokasi berubah masih dengan misi yang sama iaitu membantu mengumpul dana buat artis veteran!
MAKAN MALAM AMAL LEGENDS
Misi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk membantu para artis dan ahlinya diteruskan ke Sabh menerusi jelajah konsert amal, Legends, yang akan berlangsung pada 1 November ini. Lokasi menjadi pilihan kali ini di Sabah International Convention Centre berdurasi hampir tiga jam.
Konsert yang dianjurkan oleh Karyawan ini merupakan yang kedua selepas kejayaannya di Kuala Lumpur pada bulan Jun lalu. Ini menjadi konsert pertama di bawah pimpinan Datuk Freddie Fernandez selepas negara menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
ARTIS YANG BAKAL TERLIBAT
Seramai 11 pemuzik dan penyanyi terkemuka akan mempersembahkan bakat mereka di Kota Kinabalu, termasuk nama-nama besar. Antaranya Dato Ramli Sarip, Dato Jamal Abdillah, dan gitaris terkenal Man Keedal, yang turut mengambil bahagian dalam acara ini.
Penyanyi terkenal kelahiran Sabah, iaitu Jimmy Palikat, Ayu Damit, Azharina Azhar, Mad Sabah, Daniesh Suffian, dan Hairee KOOL. Menambah lagi kemeriahan, bintang yang semakin bersinar, Aina Abdul juga akan terbang ke Kota Kinabalu untuk memukau peminat.
-Pengerusi Karyawan, Dato Khadijah Ibrahim
KENAPA SABAH
Di samping itu, Karyawan juga mengambil peluang untuk meraikan beberapa anak seni Sabah yang akan diundang sebagai tetamu pada malam tersebut, sebagai tanda kepedulian dan sokongan kepada mereka.
Kota Kinabalu dipilih sebagai lokasi kedua jelajah malam Legends ini, tidak hanya untuk menyokong aktiviti pelancongan di Sabah tetapi juga untuk memenuhi permintaan peminat, termasuk dari Brunei.
“Penampilan penyanyi dan pemuzik legenda pada malam yang eksklusif ini pasti akan memberi manfaat kepada peminat dari pelbagai lokasi. Termasuk Sarawak dan pertanyaan yang diterima dari Singapura,” tambah Khadijah.
“Jadi, sambil berhibur dan beramal, malam Legends ini bukan hanya sebuah konsert. Antara langkah strategik untuk menarik pelancong ke Sabah, sekaligus menyokong industri dan ekonomi negeri,”
-sambungnya lagi
TABUNG KEBAJIKAN KARYAWAN
“Seperti konsert di Kuala Lumpur sebelum ini, acara di Sabah ini juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Tabung Kebajikan Karyawan, dalam usaha membantu meringankan beban para penggiat seni yang memerlukan.
Dalam enam bulan terakhir, Karyawan telah memberikan bantuan kepada lebih daripada 100 artis yang mengalami masalah kesihatan atau kehilangan sumber pendapatan. Antara penerima bantuan adalah Isma Aliff, Ross Ariffin, Rahim Maarof, Zaiton Sameon, Sofia Ibrahim, Zaleha Hamid, dan Fredo,”
-jelas beliau.
KEJUTAN MANIS UNTUK SEMUA
Dengan kehadiran empat legenda di pentas yang sama, Dato Khadijah yakin majlis ini akan memberikan energi luar biasa dan menarik perhatian sehingga 2,500 orang penonton.
“Tidak lengkap malam itu tanpa bakat-bakat besar dari Sabah, termasuk Ayu Damit dan Azharina, serta kejutan manis daripada Aina Abdul. Ini juga merupakan salah satu usaha Karyawan untuk mengenengahkan generasi pelapis bagi memastikan industri seni tanah air terus bersemarak,”
-tambahnya.
HARGA TIKET
Jualan meja untuk majlis tersebut telah dibuka dengan harga antara RM3,000 hingga RM50,000 untuk 10 orang semeja. Sementara meja VIP berharga RM100,000 akan menerima manfaat sebagai rakan penaja sepanjang promosi penganjuran majlis.
Untuk maklumat lanjut, para peminat boleh menghubungi Freddie di 012-2071400, atau Azman di 016-2338888/016-2302621.