Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Siapakah Kanang Anak Langkau? Bagi yang tidak mengenali beliau adalah tokoh pahlawan Iban yang disegani. Apabila memperkatakan tentang sejarah tokoh-tokoh pahlawan negara yang menentang komunis, pastinya nama seorang individu iaitu Pegawai Waran 1, mendiang Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau antara yang menjadi sebutan kerana keberaniannya menentang musuh-musuh negara. Dikenali sebagai seorang tokoh pahlawan berketurunan Iban, nama mendiang turut tercatat dalam sejarah negara sebagai seorang insan yang begitu berani berhadapan dengan musuh demi menjaga kedaulatan negara.
Syarikat produksi Tangan Seni Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah filem berjudul Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior yang memaparkan kisah tentang perjuangan Kanang sepanjang menyertai angkatan tentera. Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara (termasuk Brunei) pada 16 MAC 2017, filem berkenaan diarahkan oleh Bade Hj. Azmi dan diterbikan oleh Zainal Fikri Mohd. Dali menerusi syarikatnya, Tangan Seni Sdn. Bhd.
Sinopsis Kanang Anak Langkau
Filem ini berkisar tentang Kanang merupakan seorang Iban, satu bangsa pahlawan etnik yang tinggal di kawasan ulu pendalaman Sarawak, di Pulau Borneo. Sepertimana kepercayaan kaum Iban yang anak- anak mereka dibesarkan menjadi pahlawan, Kanang diajar oleh datuknya tentang selok-belok hutan. Kanang menjadi pemburu dan penjejak hutan yang hebat, sehingga boleh membaca angin, mendengar nafas harimau dan singa, dan mendengar degupan jantung pokok. Tahun 1965 adalah kemuncak pemberontakan Komunis di Malaysia; dan Sarawak juga terdedah kepada ancaman kekejaman Komunis. Tentera British telah mengetahui tentang kepakaran dan kehebatan Kanang mengenai hutan dan cuba menarik minat beliau untuk berkhidmat dan membantu menentang militan Komunis.
Kerjaya Kanang dalam tentera bermula apabila beliau menyertai Rejimen Renjer Sarawak sebagai Iban Tracker, sehinggalah dia menjadi Sarjan Mejar di Rejimen Renjer Ke-8 dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kanang bersama platunnya banyak berjuang menghapuskan militan komunis yang semakin mengganas di seluruh negara dari tahun 1948 sehingga 1983. Pertempuran sengit antara pengganas komunis dan pasukan keselamatan berlarutan hingga ke Hutan Korbu dan Tanah Hitam di Perak. Semasa pertempuran di Tanah Hitam, Kanang telah ditembak sehingga beliau cedera parah, namun beliau terus gagah berjuang sehingga berjaya menumpaskan pengganas Komunis.
Para pelakon yang terlibat
Sesuatu yang menarik tentang filem ini apabila watak Kanang telah dilakonkan oleh anak mendiang sendiri iaitu Langgi Anak Kanang selaku teraju utama serta beberapa pelakon popular lain seperti Adi Putra, Johan As’ari, Zach X-Factor, Adam Shahz, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim dan ramai lagi.
Trailer Kanang Anak Langkau
OST Kanang Anak Langkau dari Hazama
Jangan lupa temujanji di pawagam pada 16 Mac 2017 di semua pawagam yang berdekatan