Heritage Fashion Week 2026 Martabatkan Kebaya Selangor & Kelingkan Sebagai Warisan Fesyen Melayu
HERITAGE FASHION WEEK 2026
Heritage Fashion Week 2026 Martabatkan Kebaya Selangor & Kelingkan Sebagai Legasi Fesyen Warisan Melayu
Tahun ini kembali mencuri perhatian pencinta fesyen tradisional apabila tampil dengan pendekatan lebih bermakna menerusi Festival “Showcase” Kebaya Selangor dan Kelingkan, sebuah inisiatif yang memberi fokus kepada pemeliharaan, pembangunan serta pemerkasaan warisan tekstil Melayu.

Memasuki edisi keempat penganjurannya, acara anjuran ASFARENA dengan kerjasama Karyaneka di bawah Kraftangan Malaysia ini bukan sekadar memperagakan keindahan busana tradisional, malah menjadi platform penting dalam memperkenalkan semula nilai sejarah, seni pertukangan tangan dan identiti budaya Melayu kepada generasi masa kini.
PERKASA WARISAN TEKSTIL TEMPATAN
Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, Heritage Fashion Week konsisten mengangkat martabat fesyen warisan Malaysia dengan menggabungkan elemen tradisional dan inovasi moden tanpa menjejaskan keaslian seni pembuatannya.
KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA KARYANEKA DI HERTITAGE FASHION WEEK 2026
Melalui kerjasama strategik bersama Karyaneka, festival ini turut memberi penekanan kepada pembangunan reka bentuk, inovasi produk serta strategi pemasaran bagi memastikan warisan tekstil tempatan terus relevan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Inisiatif ini sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat proses penghasilan tekstil tradisional yang kaya dengan nilai budaya dan sejarah.
KEBAYA SELANGOR
TAMPIL SEBAGAI SIMBOL KEANGGUNAN WARISAN MELAYU
Antara tarikan utama Heritage Fashion Week 2026 ialah Kebaya Selangor, busana tradisional wanita Melayu yang mempunyai sejarah panjang serta berkait rapat dengan budaya istana dan masyarakat Melayu Selangor.

Dikenali melalui potongannya yang labuh dan longgar, Kebaya Selangor melambangkan kesopanan serta keanggunan wanita Melayu. Keistimewaannya terserlah menerusi
✔ Potongan labuh yang elegan dan sopan
✔ Kolar Teluk Belanga atau kolar bulat mengikut daerah
✔ Sulaman halus, tekad emas dan kerawang tradisional
✔ Padanan bersama kain batik Selangor, telepok atau songket

PILIHAN UTAMA MAJLIS RASMI
Identiti unik busana ini turut dipengaruhi oleh warisan budaya Bugis, Jawa dan Melayu Selangor, menjadikannya antara kebaya tradisional yang mempunyai karakter tersendiri. Suatu ketika dahulu, Kebaya Selangor menjadi pilihan utama dalam majlis rasmi, adat istiadat dan acara kebesaran. Kini, busana tersebut diberi nafas baharu menerusi sentuhan fesyen kontemporari tanpa menghilangkan keaslian warisannya.

KELINGKAN
TONJOLKAN KEHALUSAN SULAMAN BENANG EMAS WARISAN MELAYU
Selain Kebaya Selangor, seni Kelingkan turut menjadi antara fokus utama festival kali ini. Kelingkan merupakan seni sulaman tradisional menggunakan benang emas atau perak yang dijahit di atas fabrik mewah seperti baldu, sutera dan songket.

TEKNIK SULAMAN
Teknik sulaman ini lazim digunakan bagi menghiasi selendang, tudung, kebaya, baju kurung dan tanjak. Corak yang dihasilkan pula banyak menampilkan motif bunga dan elemen tradisional yang dijahit secara teliti sehingga menghasilkan kilauan mewah apabila terkena cahaya.

Kehalusan teknik sulaman tersebut menjadikan Kelingkan sebagai salah satu seni tekstil Melayu yang eksklusif serta mempunyai nilai warisan tinggi. Penganjur turut menjelaskan bahawa seni Kelingkan berbeza daripada Keringkam Sarawak, walaupun kedua-duanya menggunakan benang logam sebagai elemen utama hiasan tekstil.
DIRASMIKAN PENAUNG KEBAYA SELANGOR & KELINGKAN D’EHSAN
Majlis pembukaan Heritage Fashion Week 2026 telah disempurnakan oleh Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman Shah, selaku Penaung Kebaya Selangor & Kelingkan D’Ehsan.

Kehadiran beliau memperlihatkan sokongan berterusan terhadap usaha memelihara khazanah tekstil Melayu sebagai sebahagian daripada identiti budaya negara.

MAHU WARISAN TEKSTIL TERUS DIHARGAI GENERASI BAHARU
Melalui Festival “Showcase” Kebaya Selangor dan Kelingkan, ASFARENA berharap acara ini dapat diteruskan sebagai program tahunan yang menjadi platform utama memartabatkan warisan fesyen Melayu.
MEMELIHARA SENI & KHAZANAH TEKSTIL NEGARA
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memelihara seni pertukangan tradisional, malah memastikan khazanah tekstil negara terus dihargai, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Dengan gabungan elemen sejarah, budaya, fesyen dan inovasi, Heritage Fashion Week 2026 membuktikan bahawa warisan Melayu masih relevan serta mampu berkembang seiring arus industri fesyen moden, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai antara negara yang kaya dengan identiti tekstil tradisional bertaraf dunia.
credit photo : HFW2026
