Permintaan Solar Rumah Makin Meningkat! Verdant Solar Catat Hasil RM22.9 Juta, Untung Sebelum Cukai Naik 28%
VERDANT SOLAR
Penggunaan tenaga solar di rumah nampaknya semakin mendapat perhatian! Perkembangan ini turut memberi momentum kepada Verdant Solar Holdings Berhad apabila syarikat itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 14.21% kepada RM22.89 juta bagi suku kelima tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 September 2026.
Lebih menarik, keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat sebanyak 27.82% kepada RM2.35 juta berbanding RM1.84 juta pada suku sebelumnya.
KEUNTUNGAN SELEPAS CUKAI
Keuntungan selepas cukai pula naik 13.58% kepada RM1.74 juta daripada RM1.53 juta, sekali gus mencatatkan pertumbuhan hasil bagi tiga suku berturut-turut.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh permintaan lebih tinggi untuk pemasangan solar kediaman menerusi Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Solar (Solar ATAP) dan inisiatif rebat SuRIA Home.
SOLAR RUMAH JADI PENYUMBANG UTAMA
Bagi suku berkenaan, segmen Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada perniagaan Verdant Solar dengan hasil RM22.41 juta atau 97.9% daripada jumlah pendapatan.
Selebihnya disumbangkan oleh perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) sebanyak RM420,000 serta perdagangan produk solar sebanyak RM60,000.
Walaupun keuntungan kasar meningkat kepada RM6.97 juta, margin keuntungan kasar sedikit menurun kepada 30.43% berbanding 32.52% pada suku sebelumnya. Keadaan ini antaranya disebabkan peningkatan harga pembelian modul PV solar dan kos berkaitan jualan.

PENINGKATAN PENGGUNAAN SOLAR
Menurut Pengarah Urusan Verdant Solar Holdings Berhad, Zeth Lim, peningkatan penggunaan solar turut menjadikan pelanggan semakin mementingkan kualiti pemasangan, kebolehpercayaan sistem dan sokongan selepas jualan.
Justeru, syarikat mahu terus membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan serta memastikan perkhidmatan berkualiti sepanjang tempoh penggunaan sistem solar.
REBAT SOLAR RUMAH HINGGA RM3,000!
SuRIA HOME
Satu lagi faktor yang membantu merancakkan permintaan ialah program SuRIA Home yang diperkenalkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menerusi program ini, isi rumah yang layak boleh menikmati rebat sekali sahaja sebanyak RM600 bagi setiap kWac, tertakluk kepada had maksimum RM3,000.
Bagaimanapun, tawaran ini terhad berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, untuk sistem yang layak dan ditauliahkan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026 atau sehingga peruntukan keseluruhan RM150 juta habis digunakan.
Disebabkan tempoh tawaran semakin menghampiri penghujungnya, Verdant Solar memberi keutamaan kepada pemasangan dan pentauliahan pesanan solar kediaman yang telah diterima.
TURUT TAWARKAN PENYELESAIAN SOLAR BERSAMA BATERI
Selain pemasangan panel solar biasa, permintaan terhadap sistem solar yang digabungkan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) juga semakin berkembang.
Gabungan ini memberikan pilihan kepada pengguna yang mahukan pengurusan tenaga lebih fleksibel serta daya tahan bekalan tenaga yang lebih baik.
Walaupun sistem BESS secara umumnya mempunyai margin lebih rendah berbanding sistem solar PV kendiri, penyertaannya membantu meningkatkan nilai kontrak dan jumlah keuntungan kasar bagi setiap projek.
KEDUDUKAN KEWANGAN KUKUH
Setakat 30 September 2026, Verdant Solar mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM60.66 juta, manakala pinjaman bank berada pada paras rendah sekitar RM490,000.
Syarikat turut mempunyai kira-kira RM26.96 juta baki hasil IPO yang belum digunakan setakat 30 Oktober 2026. Dana tersebut diperuntukkan untuk menyokong pembukaan pejabat cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, pelaburan strategik serta penambahbaikan infrastruktur digital.
RANCANG PENGEMBANGAN DITERUSKAN
Bagi tempoh kewangan 15 bulan yang berakhir pada 30 September 2026, Kumpulan merekodkan hasil RM82.41 juta dan keuntungan kasar RM26.64 juta. Walaupun mencatatkan kerugian selepas cukai RM130,000 bagi tempoh tersebut, keuntungan sebelum cukai terlaras adalah RM3.36 juta selepas mengecualikan perbelanjaan penyenaraian tidak berulang sebanyak RM2.62 juta.
Melangkah ke hadapan, Verdant Solar akan terus memperkukuh kapasiti operasi, meningkatkan kecekapan serta memperluas rangkaian perniagaan di Semenanjung Malaysia.
Dengan permintaan terhadap tenaga bersih yang terus berkembang, industri solar dijangka kekal mempunyai peluang pertumbuhan. Verdant Solar bagaimanapun mengambil pendekatan optimis secara berhati-hati bagi baki tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.
