Ernie Zakri Raih Anugerah Selebriti Usahawan Tahun Ini, Makin Diiktiraf Di Peringkat ASEAN!
CELEBRITY ENTREPRENEUR OF THE YEAR SEBA ASEAN 2025/2026
Satu lagi pencapaian membanggakan buat penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year pada majlis SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.

ERNIE ZAKRI
Pengiktirafan yang dianjurkan oleh Yayasan Usahawan Malaysia itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan seni, perkembangan kerjaya serta sumbangan Ernie dalam mengangkat industri muzik Malaysia ke peringkat serantau.
Menariknya, anugerah ini bukan diberikan berdasarkan pemilikan perniagaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pencapaian profesional, sumbangan artistik dan pengaruh beliau sepanjang bergelar anak seni.
DARI JUARA BINTANG RTM KE PENTAS MUZIK SERANTAU
Perjalanan seni Ernie bermula sejak usia 17 tahun. Pada 2009, beliau mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara termuda pertandingan Bintang RTM.

Sejak itu, nama Ernie semakin kukuh dalam industri muzik tempatan menerusi kehebatan vokalnya dan pelbagai pencapaian, termasuk meraih pengiktirafan Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu.
Kerjayanya terus berkembang selepas bernaung di bawah Universal Music Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk menembusi pasaran muzik Asia Tenggara, khususnya Indonesia.
‘MASING MASING’ RAIH LEBIH 280 JUTA PENSTRIMAN
Antara pencapaian terbesar Ernie ialah kejayaan lagu hit Masing Masing yang mencatatkan lebih 280 juta penstriman dan menerima Anugerah Platinum.
Kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Ernie dalam industri muzik, malah membuktikan karya penyanyi tempatan mampu mendapat perhatian pendengar di luar negara.

WAJAH DI TIMES SQUARE, NEW YORK
Nama Ernie turut mendapat perhatian antarabangsa apabila wajahnya pernah dipaparkan sebanyak dua kali pada papan iklan digital ikonik di Times Square, New York.
Satu lagi pencapaian yang pastinya membanggakan apabila bakat anak Malaysia turut mendapat ruang di pentas antarabangsa.
BAWA IDENTITI BUDAYA MALAYSIA KE MATA DUNIA
Selain aktif dengan karya dan persembahan pentas, Ernie turut memainkan peranan dalam mempromosikan identiti budaya negara menerusi penglibatannya dalam lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penglibatan ini menjadi antara usaha memperkenalkan keunikan Malaysia kepada khalayak lebih luas melalui medium muzik.

Pengiktirafan Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026 turut meraikan konsistensi dan perjalanan kerjaya Ernie dalam industri hiburan yang sentiasa berkembang.
Tahniah Ernie Zakri! Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan membawa nama Malaysia ke lebih banyak pentas antarabangsa.
