Selepas 10 Tahun, Ella Bakal Perkenal Single Baharu Di Konsert MTR: Sidang Penutup!
MTR ELLA : SIDANG PENUTUP
Selepas hampir 10 tahun tanpa karya baharu, Ratu Rock negara, Ella, bakal menghadiahkan sesuatu yang cukup istimewa buat peminatnya!
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin mengumumkan bakal mempersembahkan single terbaharunya buat pertama kali secara langsung menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen (MTR) Ella: Sidang Penutup pada 5 Disember 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Lebih menarik, judul lagu tersebut masih dirahsiakan dan hanya akan diperdengarkan secara eksklusif kepada penonton yang hadir pada malam konsert berkenaan.
SINGLE BARU ELLA
CIPTAAN SAARI AMRI, LIRIK AZAM DUNGUN
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ella menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini ketika berkongsi perkembangan persiapan konsert bersama para peminat.
Menurut Ella, single terbaharu itu merupakan hasil ciptaan komposer tersohor Saari Amri, manakala liriknya ditulis oleh Azam Dungun, yang sebelum ini turut menghasilkan lirik lagu ikonik Ella, Rama-Rama.

Ella menyifatkan lagu baharu tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat, sahabat dan mereka yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan seninya.
“Lagu baharu ini memang hadiah buat semua penggemar, kawan dan sahabat yang sentiasa bersama Ella selama ini. Tajuknya masih dirahsiakan, tetapi apa yang istimewa, Ella akan bawakan lagu ini secara eksklusif pada 5 Disember nanti.
“Hanya mereka yang membeli tiket dan hadir ke konsert itu nanti berpeluang menjadi kumpulan pertama mendengarnya. Ella sudah tidak sabar untuk berkongsi semangat dan berjumpa anda semua,” katanya.
BAWA LAGU YANG JARANG DIPERSEMBAHKAN
Selain single baharu, konsert MTR: Sidang Penutup turut menjanjikan pengalaman berbeza apabila Ella bakal membawakan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan secara langsung.

Antara lagu yang disenaraikan ialah Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota.
Persembahan ini akan diiringi barisan pemuzik di bawah pimpinan Datuk Acis, sekali gus menjadikan malam tersebut satu lagi momen istimewa buat peminat Ratu Rock negara.
ARTIS JEMPUTAN
YUNA, ZIANA ZAIN DAN SHIMA
Lebih menarik, konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen ini turut menampilkan persembahan gandingan istimewa Ella bersama tiga artis jemputan iaitu Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima.

Gabungan nama-nama besar ini pastinya menambah keterujaan peminat yang sudah lama menantikan malam istimewa bersama Ella.
Buat peminat yang ingin menjadi antara individu pertama mendengar single baharu Ella secara langsung, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen (MTR) Ella: Sidang Penutup.
INFO KONSERT MTR ELLA: SIDANG PENUTUP
- Artis: Ella
- Artis Jemputan: Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima
- Tarikh: 5 Disember 2026 (Sabtu)
- Lokasi: Unifi Arena, Bukit Jalil
- Tiket: www.hitmanlive.com
Selepas sedekad menanti, peminat akhirnya bakal mendengar karya baharu daripada Ella. Agaknya, apakah tajuk single yang masih menjadi rahsia itu? Kita nantikan 5 Disember ini!

