Selepas 11 Tahun Berkarya, Insomniacks Akhirnya Lancar Album Sulung ‘KAMI INSOMNIACKS’
KAMI INSOMNIACKS
Selepas hampir 11 tahun dalam industri muzik, akhirnya Insomniacks bakal melancarkan album sulung mereka, KAMI INSOMNIACKS! Bukan sekejap perjalanan kumpulan ini membina nama, menghasilkan lagu dan mengumpul peminat setia.
SHOWCASE 31 OKTOBER 2026
Album yang memuatkan 12 lagu ini akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Oktober 2026, sebelum diraikan bersama peminat menerusi sebuah showcase di ODEON KL pada 31 Oktober 2026.
Bagi Insomniacks, album ini bukan sekadar koleksi lagu, tetapi himpunan cerita, pengalaman dan perjalanan mereka sepanjang hampir 11 tahun bersama.

12 LAGU, 11 TAHUN CERITA
KAMI INSOMNIACKS menampilkan 12 lagu yang membawa pelbagai tema, daripada cinta dan persahabatan hinggalah kekeluargaan, pengembaraan serta perkembangan diri.
KOLABORASI
Menariknya, album ini turut menampilkan kolaborasi dengan beberapa nama dalam industri muzik tempatan seperti Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Gabungan idea ini memberi peluang kepada Insomniacks untuk mencuba sesuatu yang baharu dan meneroka bunyi muzik yang lebih luas, tanpa meninggalkan identiti yang sudah dikenali peminat.
Dianggotai Iqie, Iskandar dan Danial, kumpulan ini melihat album sulung mereka sebagai refleksi perjalanan, pembelajaran dan perubahan yang dilalui bersama, bukan sahaja sebagai pemuzik tetapi juga sebagai individu.
LEBIH MATANG, TAPI MASIH INSOMNIACKS
Sepanjang lebih sedekad berkarya, pastinya banyak perkara berubah, termasuk cara mereka menulis lagu, menghasilkan muzik dan mengembangkan bunyi tersendiri.

Menerusi KAMI INSOMNIACKS, kumpulan ini mahu memperlihatkan sisi yang lebih matang dan berani, sambil mengekalkan karakter muzik yang membuatkan peminat jatuh hati sejak awal.
Jadi, album ini boleh dianggap sebagai satu bab baharu buat Insomniacks untuk terus bereksperimen dan berkembang dalam industri muzik tempatan.
ADA JELAJAH PRA-ALBUM
Sebelum pelancaran rasmi, Insomniacks terlebih dahulu membawa lagu-lagu baharu mereka bertemu peminat menerusi jelajah pra-album di tiga lokasi.
Persinggahan pertama berlangsung di Loft29, George Town, Pulau Pinang pada 19 September lalu. Persembahan akustik itu menerima kehadiran kira-kira 300 penonton, dengan 13 lagu dipersembahkan termasuk enam lagu daripada album sulung mereka.
TIKET HABIS DIJUAL
Jelajah diteruskan di Embrace Hall Music & Art Center, Skudai, Johor Bahru pada 3 Oktober. Sambutannya juga cukup memberangsangkan apabila tiket habis dijual dan lebih 300 penonton hadir.
Lebih menarik, ada peminat yang sudah boleh menyanyi bersama lagu-lagu baharu walaupun album belum dilancarkan secara rasmi. Nampaknya, peminat memang tak sabar nak dengar keseluruhan album ini!
SHOWACASE ODEON KL JADI KEMUNCAK
Selepas bertemu peminat di Pulau Pinang dan Johor Bahru, Insomniacks bakal menutup perjalanan pra-album mereka di ODEON KL pada 31 Oktober 2026.
Showcase ini dijangka menampilkan 14 lagu, termasuk kesemua 12 lagu daripada KAMI INSOMNIACKS serta beberapa lagu pilihan daripada karya terdahulu mereka.

Dengan sasaran kehadiran sekitar 1,500 peminat, malam tersebut dijangka menjadi momen istimewa buat kumpulan ini untuk meraikan kelahiran album sulung bersama peminat yang sudah mengikuti perjalanan mereka selama ini.
Kuala Lumpur juga mempunyai makna tersendiri buat Insomniacks kerana kota ini menjadi tempat mereka berpangkalan.
DARIPADA LAGU HIT HINGGA ALBUM SULUNG
Pelancaran KAMI INSOMNIACKS hadir selepas beberapa pencapaian penting kumpulan ini, termasuk konsert Echoes of a Dream yang habis terjual di Kuala Lumpur dan Singapura pada 2025.
Mereka turut memenangi kategori Video Muzik Tergempak menerusi lagu Belum Mulai bersama Nabila Taqiyyah, selain diiktiraf sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025.
Selepas bertahun-tahun menghasilkan muzik dan membina nama, album sulung ini menjadi satu lagi langkah besar buat Insomniacks.