Buku Cerita Ini Bantu Ibu Bapa Buka Perbualan Tentang Kesihatan Anak. SJMC dan The Nurts tampil dengan The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out untuk memperkenalkan kesihatan, emosi dan tabiat sihat kepada kanak-kanak melalui cerita
Pernahkah anak bertanya soalan tentang kesihatan yang membuatkan ibu atau ayah terdiam seketika untuk mencari jawapan yang sesuai?
SJMC & THE NURTS
Bagi ibu bapa, menerangkan perkara seperti emosi, pemakanan, tabiat harian dan kesejahteraan kepada anak kecil bukan selalu mudah. Kadangkala, bahasa yang terlalu serius pula boleh membuatkan anak cepat hilang minat.
Menyedari keperluan tersebut, The Nurts dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berganding bahu menerusi sebuah pendekatan yang lebih dekat dengan dunia kanak-kanak – buku cerita.

THE NURTS TALES : GROWING STRONG, INSIDE AND OUT
Hasil kolaborasi itu melahirkan The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out, sebuah buku cerita yang menggabungkan elemen penceritaan, permainan dan kepakaran perubatan bagi membantu ibu bapa memulakan perbualan tentang kesihatan serta kesejahteraan anak.
LIMA KISAH
UNTUK ANAK BERUSIA 4 HINGGA 8 TAHUN
Sesuai untuk kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun, buku ini mengandungi lima kisah yang mengambil inspirasi daripada situasi kehidupan seharian.
Menerusi watak-watak The Nurts seperti Zoey, Mia, Liam dan Noah, bersama maskot SJMC, Teddy Paws, kanak-kanak diperkenalkan kepada beberapa topik penting termasuk emosi, tabiat harian, nutrisi dan komunikasi.
TOPIK KESIHATAN MUDAH DIDEKATI
Pendekatan melalui cerita menjadikan topik kesihatan lebih mudah didekati kerana kanak-kanak boleh mengaitkan situasi dalam buku dengan pengalaman mereka sendiri.
BANTU IBU BAPA BERBUAL DENGAN ANAK-ANAK
Menurut Pengasas Bersama The Nurts yang juga penulis buku tersebut, Adrian Tan, buku itu dihasilkan bagi membantu ibu bapa membuka ruang perbualan dengan anak-anak.
“Sebagai ibu bapa, kita semua pernah berdepan saat apabila anak bertanya soalan yang sukar dijawab, terutamanya berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.”
Beliau berharap cerita-cerita tersebut dapat membantu ibu bapa berbual dengan lebih mudah sambil memberi peluang kepada anak untuk belajar, bertanya dan berkongsi perasaan.

BILA CERITA JADI CARA BELAJAR
Menariknya, The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out bukan sekadar buku untuk dibaca sebelum tidur.
Ia turut dilengkapi dengan soalan refleksi, panduan perbincangan dan tip praktikal yang boleh digunakan ibu bapa selepas membaca setiap cerita bersama anak. Ini menjadikan waktu membaca sebagai satu bentuk aktiviti bersama keluarga.
Daripada sekadar bertanya, “Faham tak?”, ibu bapa boleh menggunakan situasi dalam cerita untuk bertanya:
✔ “Apa yang kamu rasa kalau perkara ini berlaku kepada kamu?”
✔ “Apa yang patut kita buat kalau rasa sedih atau risau?”
✔ “Kenapa kita perlu makan makanan yang sihat?”
✔ “Apa tabiat baik yang boleh kita lakukan setiap hari?”
Secara tidak langsung, buku ini boleh menjadi titik permulaan kepada perbualan yang mungkin sukar dimulakan dalam situasi biasa.
SJMC:
KESIHATAN KANAK-KANAK BUKAN HANYA TENTANG HOSPITAL
Kolaborasi ini turut mencerminkan usaha SJMC untuk membawa pendidikan kesihatan kanak-kanak keluar daripada persekitaran hospital.
Menurut Joanne Lee, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Strategi & Transformasi di SJMC, buku tersebut menjadi pendekatan berbeza untuk menjadikan pembelajaran mengenai kesihatan lebih menarik dan mudah difahami kanak-kanak.

“Kami berharap buku ini dapat mencetuskan rasa ingin tahu, menggalakkan pilihan yang sihat, serta memperkasa pembaca muda dengan pengetahuan untuk membina tabiat sihat sepanjang hayat.”
Beliau turut berkongsi hubungan peribadi dengan SJMC apabila menyatakan bahawa beliau sendiri dilahirkan di pusat perubatan berkenaan.
DOKTOR PEDIATRIK TURUT TERLIBAT DALAM PEMBANGUNAN CERITA
Bagi memastikan kandungan buku sesuai dengan keperluan dan pengalaman kanak-kanak, pasukan pediatrik SJMC turut bekerjasama dalam pembangunan cerita.
Dr Sanjay Woodhull, Pakar Perunding Pediatrik di SJMC, berkata kanak-kanak lebih mudah belajar apabila mereka berada dalam suasana yang menyeronokkan.

“Kanak-kanak belajar dengan lebih mudah apabila mereka seronok. Sebab itulah kami percaya cerita boleh menjadi cara yang berkesan untuk memperkenalkan topik kesihatan.”
BANTU TERJEMAH ISU KESIHATAN
Menurut beliau, cerita boleh membantu menterjemahkan isu kesihatan yang sering dihadapi keluarga kepada situasi yang lebih dekat dengan pengalaman kanak-kanak.
Pendekatan tersebut juga boleh memberikan ibu bapa keyakinan untuk membincangkan perkara berkaitan kesihatan secara lebih santai dan mengikut tahap pemahaman anak.
KESIHATAN FIZIKAL DAN EMOSI SAMA-SAMA PENTING
Satu lagi perkara menarik mengenai kolaborasi ini ialah penekanan terhadap kesejahteraan fizikal dan emosi. Majlis pelancaran turut menampilkan sesi bual bicara bersama wakil The Nurts dan SJMC, termasuk Adrian Tan, Dr Sanjay Woodhull, Dr Wan Asyikin Wan Azlan serta Joanne Lee.

Perbincangan menyentuh pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak, termasuk tabiat sihat, kesejahteraan emosi dan cara ibu bapa membina komunikasi yang lebih bermakna bersama anak.
BUKU TURUT DIBAWA KEPADA KOMUNITI
Inisiatif ini tidak berhenti pada pelancaran buku. Sebagai sebahagian daripada program tersebut, SJMC akan menyumbangkan naskhah The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out kepada beberapa NGO kanak-kanak terpilih.
Selain itu, pelancaran ini turut menandakan permulaan jelajah buku komuniti selama tiga bulan di beberapa kedai buku terpilih. Usaha ini diharapkan dapat membawa mesej mengenai kepentingan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kepada lebih ramai keluarga di Malaysia.

MEMBESAR DENGAN SIHAT, DARI DALAM DAN LUAR
Dalam dunia yang semakin sibuk, masa membaca bersama anak mungkin kelihatan seperti aktiviti kecil. Namun, sebuah cerita boleh membuka ruang untuk anak bertanya soalan, meluahkan perasaan dan memahami mengapa penjagaan diri penting sejak usia muda.
Itulah yang cuba diketengahkan menerusi The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out – menjadikan pembelajaran tentang kesihatan sesuatu yang lebih mudah, menyeronokkan dan dekat dengan kehidupan kanak-kanak.
Buku ini kini boleh didapati di rangkaian kedai buku utama serta kedai dalam talian rasmi The Nurts.
The Nurts – The Nurts Tales: Growing Strong, Inside and Out
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan SJMC:
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)