Celebrity Showdown 2026: Lebih 60 Artis, 8 Pasukan & Hadiah RM10,000. Lebih 60 Artis Turun Gelanggang! Celebrity Showdown Meriahkan Hari Malaysia Dengan Aksi Pickleball
CELEBRITY SHOWDOWN 2026
Sambutan Hari Malaysia tahun ini bakal menjadi lebih meriah apabila lebih 60 artis dan selebriti tanah air berkumpul bukan di pentas hiburan, tetapi di gelanggang pickleball menerusi Celebrity Showdown 2026.
TOMAZ PICKELBALL CLUB JADI SAKSI
Kejohanan selebriti itu bakal berlangsung pada 16 September 2026 di Tomaz Pickleball Club, Subang, bersempena sambutan Hari Malaysia.

ANTARA ARTIS YANG TERLIBAT
Antara nama yang bakal mencuri perhatian termasuk Khairy Jamaluddin (KJ), Johan Raja Lawak, Sharif Zero, Dato’ AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Tomok dan Ayie Floor 88, selain ramai lagi selebriti popular yang akan diumumkan secara berperingkat.
Acara ini dianjurkan oleh 88 House of Event bersama Everxon Sdn Bhd, dengan Johan Raja Lawak dan Sharif Zero antara individu yang menerajui penganjurannya.
56 SELEBRITI BAKAL BERENTAP DALAM 8 PASUKAN
Daripada lebih 60 selebriti yang terlibat, seramai 56 peserta akan turun beraksi di gelanggang, manakala selebriti lain akan memeriahkan acara menerusi persembahan dan pelbagai pengisian khas.

Menariknya, 56 peserta tersebut akan dibahagikan kepada lapan pasukan, dengan setiap pasukan terdiri daripada tujuh pemain lelaki dan wanita.
KAPTEN PASUKAN
Lapan kapten pasukan yang telah diumumkan ialah Adlin Aman Ramlie, Harris Anuar, Luqman Hafidz, Johan Raja Lawak, Sharif Zero, Hilmi Ashley, Dato’ AC Mizal dan Imran Aqil.

Apa yang membuatkan pertandingan ini lebih menarik ialah enam pemain yang akan bergandingan dengan setiap kapten hanya akan ditentukan menerusi undian pada hari kejohanan. Ini bermakna barisan lengkap setiap pasukan masih menjadi satu kejutan.
Selain kemahiran individu, format ini turut menguji strategi, keserasian dan semangat berpasukan apabila pemain lelaki dan wanita perlu bekerjasama untuk membawa pasukan masing-masing menuju kemenangan.
JOHAN & SHARIF CETUS IDEA CELEBRITY SHOWDOWN
Menurut Sharif Zero, idea menganjurkan Celebrity Showdown tercetus apabila beliau dan Johan melihat semakin ramai rakan artis serta penggiat industri yang mula aktif bermain pickleball. Bagi mereka, kejohanan ini bukan semata-mata untuk menentukan siapa paling hebat di gelanggang.
PLATFORM UNTUK RAKAN INDUSTRI
Sebaliknya, Celebrity Showdown menjadi platform untuk rakan-rakan industri bertemu, bersukan dan mengeratkan silaturahim dalam suasana yang lebih santai. Konsep tersebut dilihat cukup dekat dengan semangat Hari Malaysia yang meraikan kebersamaan dan perpaduan.

KJ BAKAL LANCAR CELEBRITY SHOWDOWN
Penglibatan Khairy Jamaluddin atau KJ turut menjadi antara tarikan utama acara ini.Selain dijadualkan memeriahkan kejohanan, KJ juga bakal menyempurnakan pelancaran Celebrity Showdown pada 16 September nanti.
Pemilihan tarikh tersebut juga cukup signifikan kerana kejohanan berlangsung tepat pada Hari Malaysia, menjadikan sukan sebagai medium untuk menghimpunkan selebriti daripada pelbagai generasi dan latar belakang.
HADIAH RM10,000 & PELBAGAI AKTIVITI MENARIK
Lapan pasukan akan bersaing bagi merebut gelaran juara Celebrity Showdown dengan hadiah wang tunai RM10,000. Jumlah hadiah dan ganjaran juga berpotensi meningkat sekiranya terdapat pihak lain yang tampil menyokong kejohanan tersebut.
Bukan itu sahaja, pengunjung turut boleh menikmati persembahan artis, pelbagai aktiviti serta hadiah menarik sepanjang acara. Antara yang turut mencuri perhatian ialah cabutan bertuah sebuah motosikal elektrik (EV).

BAKAL JADI ACARA BERKALA?
Melihat kepada perkembangan populariti pickleball dalam kalangan selebriti tempatan, Celebrity Showdown tidak dirancang sebagai acara sekali sahaja. Johan Raja Lawak berharap kejohanan ini dapat diteruskan secara berkala pada masa akan datang, sama ada setiap enam bulan atau setahun sekali.
Jika mendapat sambutan, Celebrity Showdown berpotensi berkembang menjadi antara acara sukan-selebriti yang dinantikan oleh peminat hiburan tempatan.
Lebih daripada sekadar mencari juara, konsepnya adalah untuk mewujudkan ruang pertemuan buat rakan-rakan industri sambil menggalakkan gaya hidup aktif dan persahabatan.
Dengan lebih 60 artis dan selebriti dijangka terlibat, 16 September 2026 bakal menjadi tarikh menarik buat peminat hiburan dan sukan apabila dunia selebriti bertemu dengan fenomena pickleball dalam satu sambutan Hari Malaysia yang cukup istimewa.