Antara cara untuk abadikan karya terakhir dengan meletakkan karya beliau dalam album sulung – Soma.
SIAPA SOMA?
Penyanyi baru, Rosmah S.Sengari atau lebih dikenali sebagai Soma, hari ini telah melancarkan album mini sulungnya yang bertajuk ‘Perjalanan’. Album ini menjadi lebih bermakna kerana ia mengetengahkan karya-karya terakhir komposer tersohor tanah air, Allahyarham Datuk S.Atan.
PERSEMBAHAN ISTIMEWA
Soma, yang merupakan anak kelahiran Selangor, menyifatkan album ini bukan sahaja sebagai hadiah untuk dirinya.Malah ia juga merupakan persembahan istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.
ALBUM PERJALANAN
Album ini menampilkan lima buah lagu, dengan tiga daripadanya merupakan karya asli Allahyarham Datuk S.Atan. Manakala dua lagi lagu iaitu ‘Curahan’ dan ‘Dugaan’ adalah hasil gubahan semula Belle Fatah daripada ciptaan asal Din J.
BAGAIMANA PERTEMUAN BERMULA
Pertemuan Soma dengan Allahyarham S.Atan bermula semasa pertandingan anjuran Radio Klasik RTM, dan takdir mempertemukan mereka semula di Konsert Makan Malam Amal Legends di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. Di situlah juga Soma bertemu dengan Belle Fatah yang kemudiannya menjadi penerbit albumnya.
MENANGI JUARA BINTANG KLASIK 2000
Soma bukanlah nama baru dalam industri muzik tempatan. Beliau yang mula menyanyi sejak berusia 13 tahun pernah meraih kejayaan sebagai naib juara dalam Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009.
Seterusnya dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik RTM 2010 mewakili Selangor.
LAGU CIPTAAN S.ATAN
Menariknya, masih terdapat dua lagu ciptaan Allahyarham S.Atan yang belum sempat dirakamkan, iaitu ‘Kerlipan Langit Lebaran’ dan ‘Bisikkanlah Kekasih’.
Menurut Soma, kedua-dua lagu ini akan dirakamkan pada masa akan datang sebagai usaha meneruskan legasi karya seni Allahyarham.
ALBUM HASIL.KERJASAMA
Album ‘Perjalanan’ ini merupakan hasil kerjasama istimewa antara dua beradik komposer terkenal, Allahyarham S.Atan dan Belle Fatah, yang menjadikannya lebih bermakna buat industri muzik tanah air. Soma berharap albumnya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat muzik tempatan.