Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
SHALMA ELIANA SERLAHKAN VERSATILITI DALAM RAMBANG | Bukan baru dalam bidang nyanyian mahupun lakonan. Masih mencari pengalam dalam semua bidang terutama dalam nyanyian.
SHALMA ELIANA
Tiada istilah puas dalam kamus hidup penyanyi yang juga pelakon, Shalma Eliana, 21. Baginya setiap hari menjadi ruang meneroka benda dan pengalaman baru. Katanya, selepas single Janji Terindah, Mahukah Kamu dan Aroma, si cantik manis mesra dengan nama Yana ini enggan statik di zon selesa. Bahkan dia mahu menyerlahkan sisi versatilnya.
Malah sejak tiga tahun berkecimpung di arena seni dan kini melancarkan single keempat berjudul RAMBANG, adik kepada Shalma Ainaa ini terus tegar ingin membuktikan survival dan bakat dimiliki.
RAMBANG
Mengenai buah tangan terbarunya bergenre balada itu, ia menjadi karya kedua dendangannya selepas lagu Aroma yang masih mengekalkan khidmat duo komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.
“Tahun lalu, pertaruhan lagu Aroma menggunakan duo komposer berkenaan ternyata memikat hati saya. Jika Aroma seakan mengangkat pemerkasaan wanita, RAMBANG pula masih dalam acuan sama cuma membezakannya ialah cara penyampaian.
“Dalam erti kata lain, ia diserlahkan dengan ‘attitude’ saya sendiri melagukan karya itu dengan penuh keberanian. Seperti saya berani bersuara dan pilihan yang ada adalah untuk terus jadi kuat. Ia juga secara tidak langsung menjadikan saya lebih kuat dan tidak pantas mengalah dalam apa saja yang melemahkan,”
-katanya.
MAKSUD LAGU RAMBANG?
Merakamkan lagu itu pada 8 Mac lalu di studio komposer terbabit di Damansara, RAMBANG disifatkannya sebagai satu eksperimentasi baru buatnya.
“Seperti pemahaman tepat judul lagu ini seolah rambang mata atau dikaburi dengan ‘kebaikan’ seseorang, RAMBANG boleh saya katakan bersifat ‘dark’ namun ada mesej bermakna. Jujur tak sangka yang saya mampu mengalunkan lagu berentak balada. Lagu ini seolah olah mengeluarkan aura yang baru dalam diri saya,”
-katanya.
“Saya macam orang lain juga akan cuba buat benda yang kita suka. Itulah prinsip dan pegangan saya. Insya-Allah saya takkan buat sesuatu hanya kerana orang lain mahu atau sebab nak tular mahupun mengecap populariti sekelip mata.”
“Cukup saya kongsi atau bentangkan muzik untuk halwa telinga pendengar dan peminat yang diri ini dengari dan dinikmati. Jika ia mengambil masa sekalipun untuk saya mencuri perhatian, itu tidak sesekali mengubah niat perjuangan seni ini,” katanya.
Katanya lagi, RAMBANG turut membuka ruang untuknya jadi lebih terbuka dan kreatif.
CABARAN DALAM RAKAMAN?
“Tak saya boleh nafikan proses rakaman untuk lagu ini amat mencabar. Tapi saya berjaya menghabiskan proses rakaman dalam tempoh yang tidak lama sekitar dua jam lebih. Kebetulan saya sudah menghafal lagu itu sekian lama, jadi hanya menyerap emosi dan roh saja dalam menghidupkan karya berkenaan.
“Malah ada melodi tertentu dalam lagu itu juga saya tukar ikut keselesaan dan kesesuaian. Ada bahagian tertentu yang buat saya sedikit canggung, namun saya cabar diri untuk melunaskan proses rakaman sebaik mungkin,” katanya
OST DIA ISTERIKU
Shalma juga optimis buah tangan terbarunya itu akan diterima. Lebih manis, lagu berkenaan juga bakal menjadi runut bunyi drama Dia Isteriku di TV Al Hijrah.
“Harapnya lagu ini boleh diterima dan dekat kepada mereka yang pernah terluka atau melalui fasa kekecewaan. Namun harus diingat kesedihan itu jangan terus dijadikan ruang untuk mengalah. Moga RAMBANG akan menyebelahi nasib saya untuk tahun ini,” katanya.
RAMBANG kini sudah tersedia di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Shalma Eliana mulai jam 12 TENGAH MALAM pada hari yang sama.