RTE Aris Burger dilancarkan bagi memperkukuhkan produk halal PKS Bumiputera untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
ARIS BURGER
Aris Burger hari ini melakar satu lagi pencapaian strategik dengan pelancaran produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger, bagi memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan halal yang mudah, berkualiti dan diyakini.
Majlis pelancaran rasmi RTE Aris Burger telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki, bertempat di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda.

PRODUK PKS BUMIPUTERA
Pelancaran ini menandakan langkah penting Aris Burger dalam memperluaskan penawaran produk siap dimakan yang 100 peratus halal. Dihasilkan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera, selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat moden yang semakin pantas.

RTE ARIS BURGER
Pengasas Aris Burger, Datuk Haji Haris bin Embong, berkata pengenalan RTE Burger adalah respons kepada keperluan pasaran tempatan yang semakin mengutamakan kemudahan, keselamatan makanan dan jaminan halal.
“RTE Aris Burger diwujudkan untuk menawarkan pilihan makanan segera yang praktikal tanpa mengorbankan kualiti, rasa dan paling penting kesucian dan halal. Ia adalah solusi kepada pengguna bandar, keluarga bekerja dan generasi muda yang sentiasa bergerak pantas,”
-katanya.
PATTY DAGING
RTE Aris Burger turut tampil dengan keunikan tersendiri apabila menggunakan patty daging yang lebih tebal dan padat, sekali gus menawarkan pengalaman menikmati burger yang mengenyangkan dan berkualiti tinggi.
Setiap hidangan dibuat untuk mengekalkan rasa berjus, tekstur lembut serta keseimbangan perasa, menjadikan RTE Aris Burger berbeza daripada produk RTE konvensional di pasaran.

DAGING PREMIUM
Selain itu, formulasi resipi Aris Burger memastikan rasa yang ditawarkan persis burger mewah yang lazimnya dinikmati di restoran, walaupun disediakan dalam bentuk siap dimakan.
Gabungan daging premium, sos istimewa dan kaedah penyediaan yang teliti membolehkan pengguna menikmati pengalaman burger bertaraf restoran dengan mudah, cepat dan diyakini halal, pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

BERSAING DI PASARAN TEMPATAN / GLOBAL
Menurut Haris, pasaran RTE di Malaysia mempunyai potensi besar, khususnya bagi produk halal keluaran PKS Bumiputera yang mampu memenuhi piawaian runcit moden.
“Sebagai jenama Bumiputera, kami komited membangunkan produk yang bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah berdaya saing di peringkat global,”
-tambahnya.
KINI DI PUSAT BELI-BELAH UTAMA
Dari segi pelan operasi dan pengembangan, Aris Burger menyasarkan untuk memasarkan RTE Aris Burger secara berperingkat di semua pusat beli-belah utama dan rangkaian runcit moden di seluruh negara, termasuk pasar raya besar dan kedai serbaneka terpilih, dalam tempoh terdekat.
Selain pasaran domestik, Aris Burger turut merangka perancangan eksport ke pasaran antarabangsa, khususnya negara-negara yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk halal seperti Asia Tenggara, Timur Tengah dan pasaran terpilih di Eropah, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.

RTE Aris Burger dibangunkan dengan penekanan terhadap pematuhan piawaian keselamatan makanan, pensijilan halal dan cita rasa tempatan, sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem PKS serta industri halal negara.
Pelancaran ini sekali gus mencerminkan komitmen Aris Burger dalam menyokong pembangunan ekonomi Bumiputera, inovasi produk tempatan dan peluasan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
