Cili Kampung Beli 50% Pegangan Ekuiti Dotty’s Pastries & Coffee Bernilai RM24 Juta, Sasar Jadi Kuasa Besar F&B Melayu Moden.
PERJANJIAN ANTARA JENAMA
Satu majlis menandatangani perjanjian bernilai RM24juta telah diadakan di antara Cili Kampung Malaysia, peneraju terkemuka dalam masakan Melayu autentik bersama jenama artisanal terkenal, Dotty’s Pastries & Coffee.

PEGANGAN EKUITI
Industri F&B tempatan menyaksikan satu langkah strategik besar apabila Cili Kampung Malaysia secara rasmi membeli 50% pegangan ekuiti dalam Dotty’s Pastries & Coffee dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ruang Rama Event Space hari ini.
RM24 JUTA
Pelaburan bernilai RM24 juta ini menandakan permulaan fasa baharu buat kedua-dua jenama, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka dalam segmen gaya hidup dan hospitaliti Melayu Moden.
LANGKAH STRATEGIK
Majlis tersebut menyaksikan Pengarah Cili Kampung Malaysia, Encik Khairul Anwar Dato’ Sri Abdul Azeez, menandatangani bagi pihak syarikat, manakala Dotty’s diwakili oleh pengasasnya, Puan Nadia Nasimuddin.

Menurut Anwar Azeez, pemerolehan ini merupakan langkah strategik untuk menginstitusikan dan menskalakan jenama Dotty’s yang telah mendefinisikan pengalaman makan sepanjang hari selama sedekad.
“Dengan menggabungkan DNA operasi Cili Kampung dan kecemerlangan artisanal Dotty’s, kami bersedia mentakrifkan semula landskap hospitaliti Malaysia,”
-kongsi Pengarah Cili Kampung Malaysia, Encik Khairul Anwar Dato’ Sri Abdul Azeez
DOTTY’S PASTRIES & COFFEE
Ditubuhkan pada 2015, Dotty’s Pastries & Coffee terkenal dengan pastri buatan tangan seperti cronut kuning telur masin yang menjadi fenomena, serta konsep kafe moden premium yang mendapat tempat di hati warga kota. Dapur pusatnya juga telah memperoleh pensijilan Halal JAKIM dan MeSTI, menjadikannya antara jenama kafe artisanal yang diyakini pengguna Muslim.

CILI KAMPUNG
Sementara itu, Cili Kampung, yang berasal dari Langkawi, dikenali dengan masakan Melayu autentik seperti Daging Masak Lomak Berkrim, Udang Sambal Petai dan Asam Pedas Tenggiri, serta model pengembangan agresif di lokasi premium termasuk Suria KLCC, 1 Utama dan Sunway Pyramid.
Kerjasama ini dijangka mengangkat Dotty’s daripada jenama butik tempatan kepada rangkaian nasional berskala besar, dengan sokongan kepakaran operasi, rantaian bekalan dan strategi pengembangan Cili Kampung.
Gabungan dua identiti kulinari ini mensasarkan untuk menjadi kuasa dominan dalam segmen F&B Melayu Moden, memenuhi permintaan pasaran tradisional dan premium secara serentak
