Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2024/2025 Dan Pelancaran Kad Veteran Digital.
MALAM AMAL KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2024/2025
YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Penaung Kempen Tabung Pahlawan telah menyempurnakan Majlis Malam Amal Tabung Pahlawan 2024/2025 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau turut diiringi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia dan Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM).
HORMATI JASA DAN PENGORBANAN WIRA NEGARA
Pada dasarnya, objektif utama Majlis Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 diadakan bagi menghormati jasa dan pengorbanan wira-wira negara yang telah berjuang demi keamanan dan kedaulatan tanah air. Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk mengumpul dana bagi menyokong program kebajikan veteran dan orang tanggungan.
RINGANKAN BEBAN KEWANGAN KELUARGA VETERAN
Sumbangan daripada tabung ini pasti akan digunakan untuk meringankan beban kewangan keluarga veteran termasuk pembelian peralatan pesakit khas yang tidak dapat dibekalkan oleh JHEV ATM berdasarkan kepada isu kesihatan yang disahkan pegawai perubatan.
Selain itu, inisiatif ini juga dapat merangsang dan meningkatkan tahap patriotisme, sekaligus memupuk semangat menghargai jasa veteran di kalangan semua lapisan rakyat Malaysia.
Melalui program KTP ini, masyarakat berpeluang menghayati sejarah perjuangan dan pengorbanan para pejuang negara terdahulu, khususnya dalam usaha mencapai kemerdekaan.
KEMPEN TABUNG PAHLAWAN
Pelbagai program dijalankan sempena Kempen Tabung Pahlawan antaranya Pertandingan Pancing, Larian, Pertandingan Golf dan Malam Amal. Pada tahun 2023, Kempen Tabung Pahlawan telah berjaya mengumpul lebih daripada RM1.3 juta melalui pelbagai acara amal dan sumbangan.
Dana ini telah digunakan untuk membantu lebih daripada 10,000 orang individu, termasuk anak yatim, warga emas, dan mereka yang kurang berkemampuan. Melalui Majlis Malam Amal tahun ini yang turut dirasmikan oleh Penaung, JHEV ATM mensasarkan kutipan sebanyak RM3 juta bagi meneruskan agenda kebajikan Veteran ATM.
ANTARA YANG MEMBERI SUMBANGAN
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pertahanan telah menerima sumbangan korporat dari para penyumbang Tabung Pahlawan bagi tahun 2024.
Penyumbang-penyumbang tersebut terdiri daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH).
Pasukhas Development Sdn. Bhd., Rasumi Medipharma Sdn. Bhd., Bank Muamalat Malaysia Berhad, Affin Bank Berhad, Koperasi Tentera dan yang lain.
Dalam pada itu, orang ramai juga berpeluang menzahirkan sokongan kepada kempen ini dengan cara menyumbang terus ke akaun Kempen Tabung Pahlawan menerusi akaun berikut: –
YAYASAN VETERAN ATM
Maybank Banking Berhad: 5643 4262 2956
CIMB Islamic Bank Berhad : 8604 2715 71
TABUNG RAYUAN HARI PAHLAWAN
Affin Islamic Bank Berhad : 1059 5000 3201
KAD VETERAN DIGITAL ATM
Selari dengan tema Majlis Makan Malam Amal, Kempen Tabung Pahlawan 2024/2025, “Meraikan Bintang, Metamorfosis Ke Masa Hadapan”, JHEV ATM juga telah memperkenalkan penggunaan Kad Veteran Digital Veteran ATM.
Inisiatif ini merupakan transformasi Kad Veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang akan memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM. Kad tersebut akan dipaparkan dalam peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet melalui aplikasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.
MENGIKUT TREND TERKINI AKSES MELALUI DIGITAL
Penggunaan kad veteran digital ini akan memudahkan veteran untuk mengakses setiap perkhidmatan yang disediakan oleh JHEV ATM. Ianya akan mengurangkan kebergantungan kepada kad fizikal yang mungkin hilang atau rosak, selain dapat menguruskan maklumat veteran dengan lebih efisien.
Intihanya, inisiatif ini membawa harapan dan kesejahteraan kepada veteran, menunjukkan bahawa mereka masih penting dalam struktur sosial dan ekonomi negara.
Instagram JHEVATM | Facebook JHEVATM