LAGU MALAYSIA DI HATIKU BANGKIT SEMANGAT PATRIOTIK- BEST GILER!!

LAGU MALAYSIA DI HATIKU BANGKIT SEMANGAT PATRIOTIK- BEST GILER! | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hampir dua tahun bergelut dengan pandemik COVID-19 ternyata kobar semangat kenegaraan rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek dan sudut tetap jitu, membara serta terus disemarakkan terutama pada bulan kemerdekaan ini.

Benar bagai ada hikmah di sebalik musibah semua ini. Lihat saja bagaimana kempen kibarkan bendera putih menjadi bukti bahawa rakyat begitu peka dan empati dengan kesulitan sesetengah masyarakat meneruskan kelangsungan hidup.

MALAYSIA DI HATIKU

Lalu bagi meraikan kecintaan terhadap negara biarpun akur dengan ujian bersilih ganti, empat artis tanah air. Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan anggota Dolla, Tabby bersatu. Kali ini menghadiahkan sebuah karya patriotik segar sekali gus menyuntik semangat kekitaan menerusi lagu MALAYSIA DI HATIKU

Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca akan dilancarkan pada 16 Ogos ini.

Antara bait menarik lirik lagu ini berbunyi, ‘sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan sepenuh jiwaku Malaysia” bagai sebuah metafora apa saja terjadi, kasih dan cinta terhadap negara ini tetap tiada tara.

KMY KMO

Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim optimis karya baru ini akan menjadi pilihan terbaru masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.

Memang rata rata semua daripada kita bergelut saat ini. Namun kehidupan tetap harus dilalui walau bagaimana cara atau solusi pun. Semoga kehadiran lagu dengan sentuhan moden, klasik, ‘catchy’ dan ‘hype’ ini akan terus meniup motivasi dan semangat buat kita semua.

Paling utama kita takkan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun. Semoga lagu ini dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.”

Harapnya juga lagu ini dapat menjadi ‘national anthem’ baru buat kita semua. Saya bangga dapat bergandingan dengan Luca, Yonnyboii dan Tabby kerana ia seperti sebuah kolaborasi adik beradik,” kata Kmy.

LUCA

Menyentuh mengenai proses rakaman, Luca yang juga gandingan duo serasi Kmy berkata cabaran merakamkan lagu secara berasingan kerana keterbatasan dan sekatan pergerakan perjalanan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kami masing masing merakamkan lagu sekitar Jun ke Julai lalu secara berasingan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Ada yang merakamkan bahagian suara masing masing di rumah. Macam saya dan Kmy pula di studio rakaman. Namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga.”

SERASI

“Segala galanya juga dipermudahkan. Kerjasama ini juga jadi mudah kerana saya sendiri sudah tahu cara kerja Kmy, Yonnyboii dan Tabby. Keserasian itu sudah ada dan terus dipupuk. Fakta menarik ini juga lagu pertama yang saya nyanyikan bahagian rap tanpa bertindak sebagai penerbit. Kebiasaan saya menerbitkan lagu dan menyanyikan rap sekali harung,”

Lagu ini sudah ada ‘feel’ dan rasa ketika diperdengarkan. Jadi proses penulisan lirik jadi ringkas dan senang. Saya sendiri secara peribadi menggemari lagu ini. Malah suka dengan hasil akhirnya,”

-sambung Luca

YONNYBOII

Sementara itu, Yonnyboii atau nama penuhnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menyifatkan karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.

“Saya menjangkakan lagu ini berpotensi menjadi lagu merdeka pilihan baru. Saya mahu jika sudah di usia 30 atau 40 tahun kelak dan berkahwin, harapnya bakal anak nanti boleh menyanyikan lagu ini di sekolahnya,” katanya.

CABARAN

Penyanyi lagu Salahku ini mengakui berdepan sedikit cabaran saat merakamkan karya berkenaan.”Bahagian mencabar saya ialah untuk menyanyi korus dan perlu disuai padankan dengan vokal Tabby yang tinggi.

Agak bergelut juga untuk meneruskan proses rakaman itu. Jadi solusinya vokal saya terpaksa diturunkan ‘key’ untuk mengimbangi suara Tabby. Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam ‘best’ pula mendengarkan kombinasi suara kami berempat.”

TABBY

Bagi Tabby yang menjadi sekuntum bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini berkata peluang berkenaan sudah lama dinantikan.Tabby atau nama penuhnya Tabitha Ariel Lam berkata, pembabitannya disifatkan cukup bermakna biarpun projek ini tidak membabitkannya bersama anggota Dolla.

“Saya secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia. Paling utama saya boleh katakan kehadiran lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut di era pandemik ini.

Apa terjadi, kita tetap akan menang di pengakhirannya. Moga ujian berat ini akan cepat pergi dan kita terus bersatu. Malaysia kekal di hati sampai bila bila. Jangan ada anasir atau apa saja ujian boleh memisahkan semangat cintakan negara itu.”

PROSES RAKAMAN

Tabby menambah, proses rakaman video muzik juga sudah dilakukan juga secara berasingan akibat kekangan situasi semasa. Video muzik rasmi MALAYSIA DI HATIKU yang bakal ditayangkan pada hari Malaysia bulan hadapan adalah kolaborasi antara Samsung Malaysia Electronics dan Universal Music Malaysia dengan tujuan mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam masa-masa yang mencabar ini.

Samsung Malaysia Electronics juga akan mengendalikan kempen “hashtag challenge” #MalaysiaDiHatiku di pelantar video berdurasi pendek, TikTok, sebagai salah satu inisiatif untuk membolehkan rakyat Malaysia bangkit dan menyebarkan semangat positif sesama mereka semasa sambutan peringkat nasional ini.Mari sertai Kempen #MalaysiaDiHatiku bermula 20 Ogos2021 ini! Layari

Youtube Universal |

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge