DJ Dave, Jeffrydin, Ziana Zain dan Dato’ Awie Semarakkan Konsert Rentas Mas.
KONSERT RENTAS MASA
Penyanyi lagenda muzik tanah air bergabung dan memberikan persembahan yang terbaik. Nama besar Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Ziana Zain dan Dato’ Awie. Dari era 60-an hingga era terkini pastinya lagu yang dinyanyikan antara yang ditunggu.
Konsert yang berlangsung di venue intim Zepp KL ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi merupakan perjalanan nostalgia yang menghubungkan pelbagai generasi peminat muzik tanah air.
SIAPA FLY V?
Sebagai pembuka konsert, Fly V kumpulan rock moden yang terdiri daripada Ovie (vokalis/gitar), Kama (gitar utama) dan Mijie (bass) membuka konsert tersebut. Berasal dari Ampang sejak 1997, mereka muncul dari scene underground dengan tiga single – “Bebas”, “Dalam Satu” dan “Samar Bayangan”.
Penampilan pembuka mereka menampilkan single “Bebas” dan “Samar Bayangan” yang dipersembahkan dengan suara unik serak basah Ovie. Walaupun masih baharu, persembahan jujur mereka memberi impak besar kepada industri hiburan tempatan.
DATUK DJ DAVE
Walaupun sudah berusia lebih lima dekad membuktikan kehebatan vokalnya dengan membawakan medley hits klasik termasuk “Denyutan Hati”, “Menjelang Hari Raya”, “Cinta Abadi” dan “Titisan Embun Pagi”.
Disambung pula dengan medley kedua merangkumi “Masa Yang Lepas Takkan Kembali” dan “Di Desa Kasihku Tertumpah” serta lagu “Ingin Bersua” mendapat tepukan gemuruh penonton yang memenuhi venue.
DATUK JEFFRYDIN
Meneruskan nostalgia era keemasan, Datuk Jeffrydin mempersembahkan “Termenung” dengan penuh penghayatan, membuktikan kualiti vokal yang konsisten. Persembahan beliau diteruskan dengan “Siti Haida” dan “Seruling Anak Gembala” yang diserikan dengan persembahan tarian.
Membawa atmosfera autentik muzik Melayu asli ke pentas moden. Lagu “Mas Mona” turut mendapat sambutan hangat dengan koreografi yang menambah nilai estetik kepada persembahan.
ZIANA ZAIN
Diva pop Ziana Zain memukau penonton dengan persembahan yang membuktikan statusnya sebagai ikon pop Malaysia. Membawakan trio hit popular – “Putus Terpaksa”, “Anggapanmu” dan “Kekal”,
Ziana menunjukkan kehebatan teknikal vokal yang masih relevan, disokong oleh penggunaan grafik dan pencahayaan yang dramatik sesuai dengan persembahannya.
DATO’ AWIE
Dato’ Awie membawa dimensi berbeza ke pentas dengan sentuhan rock dalam persembahan hits seperti “Iris”, versi tersendiri “Istana Menanti” dan “Di Penjara Janji”. Tenaga beliau di atas pentas memberikan nafas baru kepada konsert, menunjukkan kepelbagaian genre yang ada dalam muzik Malaysia.
Kemuncak konsert merupakan duet istimewa antara Datuk Jeffrydin membawakan lagu “Kenanganku” yang menutup tirai persembahan dengan penuh nostalgia.
TRIBUTE KHAS
Konsert yang berlangsung selama hampir dua jam ini disulami dengan tiga segmen tribut khas kepada seniman agung P. Ramlee, bertindak sebagai pengikat yang menyatukan persembahan keempat-empat artis.
KUALITI PERSEMBAHAN
Iringan band secara langsung sepanjang konsert mempertingkatkan lagi kualiti persembahan, membolehkan setiap artis menyerlahkan keunikan vokal masingmasing. Penggunaan grafik dan pencahayaan yang disesuaikan mengikut era dan mood setiap persembahan berjaya mewujudkan suasana yang berbeza mengikut keperluan setiap artis.
Kerjasama antara empat artis berlainan era dan genre ini membuktikan muzik Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan mampu merentasi sempadan generasi.
Konsert Rentas Masa bukan sekadar platform hiburan, tetapi merupakan satu dokumentasi hidup evolusi muzik tanah air yang disampaikan oleh ikon-ikon industri, sekaligus meletakkan penanda aras baharu untuk konsert-konsert tribut akan datang.