Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Joaquim De Almeida & Sacoor Brothers Lancar Koleksi Luruh & Sejuk ’17| Joaquim de Almeida, aktor Hollywood dan duta bagi jenama fesyen premium Sacoor Brothers, berada di Dubai minggu ini untuk melancarkan salah satu daripada tiga tema bagi koleksi musim luruh dan sejuk tahun 2017 jenama tersebut. Tampak santai dan segak dalam persalinan dari koleksi terbaru itu, Almeida menyatakan perasaan bangganya menjadi duta paling lama bagi jenama Sacoor Brothers.
Beliau berkata,
“Pemilihan kota Dubai sebagai tempat di mana koleksi ini dilancarkan adalah sangat bertepatan sekali. Sebagaimana koleksi ini sendiri yang membawa inspirasi kosmopolitan dan amat sesuai dengan citarasa pelanggan yang bervariasi, saya begitu teruja dengan penataan gaya jenama ini tanpa membelakangkan kepentingan kualiti dan hasil kerja yang amat rapi”.
Almeida kali terakhir dilihat beraksi baru-baru ini di dalam filem blockbuster, ‘The Hitman’s Bodyguard’, di samping Ryan Reynolds dan Samuel L. Jackson. Aktor prolifik yang berasal dari Portugal ini juga pernah berlakon bersama-sama nama-nama besar lain seperti Harrison Ford, Salma Hayek, Gene Hackman, Antonio Banderas dan Owen Wilson. Selama hampir 20 tahun, gaya unik dan pesonanya yang tersendiri telah membawa kepada kolaborasi yang sangat berjaya bersama Sacoor Brothers. Menurut Moez Sacoor, salah seorang pengasas jenama itu,
“Almeida dan Sacoor Brothers mempunyai banyak persamaan. Kedua-duanya berlatarbelakangkan legasi Portugis dan amat dikenali dengan paduan gaya klasik dan moden yang elegan. Kisah asal-usul Sacoor Brothers juga amat sesuai jika difilemkan. Bermula secara kecil-kecilan dengan hanya sebuah stor di kota Lisbon pada tahun 1989, saya bersama tiga adik-beradik saya yang merupakan pengasas bersama jenama ini telah berjaya mengembangkan empayar perniagaan kami. Berkat perhatian yang konsisten terhadap keunggulan gaya dan kualiti, faktor-faktor ini telah membawa jenama ini sebagai salah satu jenama paling hebat di dalam industri fesyen dunia”.
Nama Joaquim de Almeida sendiri seringkali didefinisikan sebagai seorang yang mementingkan gaya kontemporari serta klasik. Kebolehannya untuk bertutur di dalam enam bahasa dengan suaranya yang serak serak basah, loghat yang pekat dan tatadiri sofistikated menjadikan Almeida pilihan utama untuk membawa watak-watak penjahat antagonis dan juga protagonis yang eksentrik.
Hubungannya yang amat rapat dengan Sacoor Brothers menjangkau lebih dari hanya seorang duta, tetapi juga sebagai seorang rakan rapat jenama itu. Ini meletakkannya di dalam senarai personaliti- personaliti bertaraf dunia yang lain dari dunia sukan, fesyen, filem dan televisyen seperti Rob Lowe, William Baldwin, Patrick Dempsey, Irina Shayk dan Cristiano Ronaldo. Di Malaysia, Sacoor Brothers
telah berkolaborasi dan pernah bertanggungjawab menata gaya aktor dan penghibur terkenal seperti Bront Palarae, Sean Ghazi dan Remy Ishak.
Jenama Sacoor Brothers amat dikenali dengan komponen budaya Eropah yang tinggi. Para pelanggan masih lagi disambut mesra dengan secawan espresso setiap kali masuk ke dalam setiap stornya di seluruh dunia, dan legasi budayanya dapat dilihat jelas di dalam koleksi dan kempen setiap musim – sarat dengan gabungan unsur-unsur moden di dalam rekaan dan rujukan teliti kepada sejarah silam. Hampir tiga dekad kini, Sacoor Brothers mempunyai lebih daripada 100 stor di 13 negara dan tiga benua di seluruh dunia. Pertama kali dilancarkan di Malaysia pada tahun 2012, jenama ini semakin berkembang dengan 12 stor di dalam negara bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Genting Highlands. Koleksi terbaru ini boleh didapati di Malaysia tidak lama lagi.