Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
ICSYVMY2 Minggu 4 Semua Sangkaan Naluri Datin Alyah Tepat!| Mungkin benar apa yang orang kata, naluri seorang wanita itu amat kuat. Ramai yang kagum dengan kebolehan Datin Alyah selaku artis jemputan untuk mengenal pasti siapa penyanyi sebenar dan siapa pula penyamar bersuara sumbang dengan senang di episod keempat program I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY2) yang telah pun bersiaran semalam.
Yakin dengan pilihannya, Datin Alyah telah membuat keputusan untuk berduet dengan penyanyi misteri bergelar ‘H2 + O = H2O’ (Putri Zarith Ziana Binti Sulaiman). Walaupun ada yang curiga dengan kebolehan Putri untuk menyanyi, Datin Alyah tetap dengan pendiriannya.
“Saya nampak dia menyanyi tadi memang macam suaranya, bukan pinjam suara orang lain,” itulah yang dikatakan oleh Datin Alyah selepas melihat persembahan lip-sync oleh Putri. Keputusan beliau untuk berduet dengan Putri juga disokong oleh Seelan Paul (penyiasat tetap) yang telah menyatakan suara Putri seakan-akan suara Datin Alyah, setelah mendengar rakaman suara sebenar penyanyi misteri ini,
Apabila Putri telah berjaya mara ke pusingan penentuan di ICSYVMY2, para penonton serta panel penyiasat termasuklah Awal Ashaari dan Marsha Milan selaku penyiasat jemputan ternanti-nantikan pendedahan sebenar suara Putri. Mendendangkan lagu berjudul ‘Sesal Separuh Nyawa’, semua orang telah memberi sorakan gemuruh selepas mendengar suara sebenar Putri yang merdu sekali.
Ini menandakan bahawa Datin Alyah berjaya memilih penyanyi sebenar untuk berduet dengannya. Ini bermakna, Putri berjaya melayakkan diri untuk membuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air di Showcase ICSYVMY 2. Lebih menarik lagi, Datin Alyah juga berjaya membuat satu persembahan yang hebat sekali, walaupun beliau sedang demam ketika itu.
Perwatakan Datin Alyah yang kelihatan amat ‘cool’ dan berkeyakinan ketika mengenal pasti penyamar telah mendapat pujian ramai di laman media sosial. Ada yang menyatakan bahawa mungkin Datin Alyah merupakan orang lama dalam industri, dan sebab itulah hanya satu sahaja daripada enam tekaan beliau yang salah.
Terdahulu, Datin Alyah telah menyingkirkan ‘Senibina Berseni’ (Muhammad Mu’azzam Shah Bin Husin) yang merupakan seorang penyanyi sebenar. Terkejut dengan kesilapannya itu, Datin Alyah menjadi lebih berhati-hati dengan setiap pemilihannya.
Di pusingan kedua, dua lagi penyanyi misteri iaitu ‘Gadis Akua’ (Siti Norfarahin Irfahani Binti Abdul Malik) dan ‘Cef Wan 2.0’ (Mohamad Iskandar Afif Bin Abdullah) terpaksa mendedahkan suara sebenar mereka di pentas penentuan apabila tersingkir. Namun, pilihan Datin Alyah ini membuahkan hasil kerana mereka sememangnya adalah penyamar bersuara sumbang.
Untuk pusingan ketiga, tiga ahli penyiasat perlu mempertahankan seorang penyanyi misteri. Mereka diberi peluang untuk mendengar secara individu rakaman suara sebenar penyanyi misteri. Nabila perlu membezakan benar atau bohong berdasarkan penerangan ahli penyiasat dan telah diberi masa 100 saat untuk berbincang dengan ahli penyiasat dan penonton sebelum membuat keputusan.
Selepas selesai berbincang, Datin Alyah telah menyingkirkan ‘Sedap Keropoknya’ (Amirah Hamizah Binti Azmir) dan ‘Pembikin Lantai’ (Mohd Nazrie Bin Ronie) di mana Amirah adalah seorang penyamar bersuara sumbang, dan Nazrie pula adalah penyanyi sebenar.
ICSYVMY 2 dihoskan oleh dua pengacara yang sememangnya lucu dan pasti membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE. Manakala tugas sebagai “penyiasat tetap” pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.
Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan yang mana beliau akan mendedahkan suara sebenar. Seandainya penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, penyanyi itu akan dapat menyertai Showcase ICSYVMY2 dan membuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air. Namun, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3,000.
wow info dan hiburan yang terbaik..