Eisai Malaysia melancarkan LEQEMBI, terapi pengubah penyakit pertama untuk Alzheimer di Malaysia yang membantu memperlahankan perkembangan penyakit. Ketahui kepentingan diagnosis awal.
LEQEMBI KINI DI MALAYSIA
Selama lebih 30 tahun, rawatan penyakit Alzheimer hanya memberi tumpuan kepada mengurangkan simptom seperti masalah ingatan dan kekeliruan. Kini, landskap rawatan penyakit tersebut memasuki era baharu apabila Eisai Malaysia memperkenalkan LEQEMBI (lecanemab), terapi pengubah penyakit (Disease-Modifying Therapy – DMT) pertama yang diluluskan di Malaysia.
UBAH LANDSKAP RAWATAN PENYAKIT YANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Berbeza dengan rawatan terdahulu, LEQEMBI menyasarkan punca utama penyakit Alzheimer dengan membantu menyingkirkan pengumpulan protein amiloid dalam otak, iaitu salah satu faktor utama yang menyebabkan penyakit ini terus berkembang.

LEQEMBI BUKAN SEKADAR RAWAT GEJALA ALZHEIMER
Kelulusan penuh daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada Januari 2026 menjadikan LEQEMBI sebagai satu pencapaian penting dalam dunia perubatan negara.
Kajian klinikal menunjukkan terapi ini berupaya memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer peringkat awal, sekali gus membantu pesakit mengekalkan kebebasan, rutin harian dan kualiti hidup untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut Pengarah Urusan Eisai Malaysia, Kam Ai Teng, perubahan ini membawa dimensi baharu dalam pendekatan rawatan Alzheimer.
“Rawatan kini bukan lagi sekadar mengurangkan simptom, tetapi berupaya memperlahankan perkembangan penyakit itu sendiri. Ini memberikan lebih banyak masa yang bermakna kepada pesakit dan keluarga mereka.”
MALAYSIA BERDEPAN LONJAKAN KES ALZHEIMER MENJELANG 2050
Keperluan kepada rawatan seperti LEQEMBI menjadi semakin penting apabila Malaysia dijangka memasuki fasa negara menua.
Dianggarkan seramai 825,000 rakyat Malaysia bakal hidup dengan demensia menjelang tahun 2050, meningkat lebih 300 peratus berbanding angka semasa. Selain menjejaskan kesihatan pesakit, penyakit ini turut memberi tekanan besar kepada keluarga, penjaga dan sistem penjagaan kesihatan negara.

Kos keseluruhan demensia di Malaysia dianggarkan mencecah antara RM7.9 bilion hingga RM8.5 bilion setahun, termasuk kos rawatan, kehilangan produktiviti serta penjagaan tidak berbayar oleh ahli keluarga.
DIAGNOSIS AWAL KINI MENJADI LEBIH PENTING
Pakar menegaskan bahawa manfaat LEQEMBI hanya dapat dimaksimumkan jika penyakit Alzheimer dikesan lebih awal.
Hakikatnya, perubahan dalam otak akibat Alzheimer sering berlaku bertahun-tahun sebelum gejala ketara muncul. Oleh itu, pengesanan awal membolehkan pesakit menerima rawatan lebih cepat sebelum kerosakan otak menjadi lebih serius.

Selaras dengan usaha tersebut, Malaysia turut melaksanakan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP) 2023-2030 yang memberi penekanan kepada saringan awal, pendidikan masyarakat, pengurangan stigma serta sokongan kepada penjaga.
KERJASAMA PELBAGI PIHAK DEMI MASA DEPAN PENJAGAAN
Presiden Dementia Alliance Malaysia (DAMai), Profesor Tan Maw Pin, berkata inovasi seperti LEQEMBI perlu disokong dengan sistem penjagaan kesihatan yang mantap agar manfaatnya benar-benar dapat dinikmati pesakit.

Beliau menegaskan kerjasama antara profesional kesihatan, organisasi bukan kerajaan, pembuat dasar dan masyarakat amat penting dalam memperkukuh laluan diagnosis awal serta memastikan penjagaan berterusan kepada pesakit Alzheimer.
Sementara itu, Eisai Malaysia menegaskan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperluaskan akses kepada inovasi rawatan Alzheimer menerusi kerjasama bersama komuniti kesihatan, penjaga serta pelbagai pihak berkepentingan.
ERA BAHARU PENJAGAAN ALZHEIMER BERMULA
Pengenalan LEQEMBI bukan sekadar pelancaran produk baharu, malah menjadi titik perubahan dalam usaha menangani salah satu penyakit neurodegeneratif paling mencabar di dunia.

Dengan kemajuan rawatan yang semakin berkembang, harapan kini bukan sahaja tertumpu kepada memanjangkan jangka hayat pesakit, malah memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti bersama insan tersayang untuk tempoh yang lebih lama.
