GGR Motor lancar motosikal elektrik terbaru bersama barisan artis popular- maju ke arah ‘Go Green Revolution’!
GGR MOTOR
GGR Motor, sebuah syarikat automotif tempatan yang sebelum ini mengambil inspirasi nama filem popular “Gila-Gila Remaja”. Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dan akan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat.
Antaranya Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai sokongan terhadap perkembangan teknologi hijau dan inovasi anak tempatan yang merupakan graduan lepasan TVET MARA, IKM Beseri, UNIKL MFI (Automotif).
GO GREEN REVOLUTION
Kini melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan inisiatif “Go Green Revolution”. Ini menerusi pelancaran motosikal elektrik (EV) terkini mereka bersama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd selaku “Rakan Strategik Eksklusif” dan pengedar sah utama motosikal (EV). Turut serta dalam program selama sehari ini nanti ialah barisan artis popular tanah air.
PERLUASKAN PENGGUNAAN MOTOSIKAL ELEKTRIK
Pelancaran ini adalah langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat, dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda.
PELBAGAI AKTIVITI
“Acara akan bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media. Aktiviti malam pula dimeriahkan dengan persembahan komuniti, “test ride”, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama pencinta EV.
“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,”
-kongsi Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi
PENGLIBATAN ARTIS
Muhammad Mussadiq berkata, dia menjemput artis yang dikenalinya secara peribadi seperti Johan, Cat Farish, Ajak Shiro dan Nabil Ahmad untuk terbabit dalam program ini atas pelbagai faktor. Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi sahabat lama yang saya percaya mampu membawa nilai positif kepada jenama.
JOHAN PUN ADA
Beliau turut mendedahkan bahawa Johan, yang juga dikenali menerusi jenama makanan Itik ke Ayam? bakal menjadi antara rakan kolaborasi utama dalam usaha membuka cawangan kedai bersama artis terpilih selepas pelancaran nanti.
Sementara itu, Johan Raja Lawak berkata, dia mula berkawan dengan Muhammad Mussadiq sejak 2017 dan sering bertukar pandangan.Banyak kolaborasi-kolaborasi sebelum ini saya buat dengan dia dan dia antara-antara yang selalu bagi peluang untuk saya. Itu sebab saya datang hari ini untuk menceriakan lagi sidang media ini.
EV BAKAL DAPAT SAMBUTAN
“Macam dia cakap, kalau ada ruang dan peluang untuk bekerjasama, apa salahnya. Dengan peluang yang dia berikan itu, apa salah saya buat. Saya sebenarnya teruja jug dengan teknologi yang dia bagi tahu.
“Apa yang dia buat itu sangat bagus. Saya rasa EV akan dapat sambutan yang bagus dan dah tentu ia akan meningkatkan ekonomi negara kita secara tak langsung.
Menurutnya, langkah ini diharap dapat menjadi batu loncatan ke arah perkembangan jenama secara lebih meluas di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
PENAJAAN DUA UNIT
Bagi menyemarakkan lagi sambutan dan sokongan terhadap inisiatif hijau ini, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah pada konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025), yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.
Muhammad Mussadiq berkata, antara selebriti yang akan hadir dalam majlis pelancaran ini termasuk Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish.
BELLA ASTILLAH TERIMA HADIAH?
Untuk rekod, dua tahun lalu, Bella Astillah turut menerima hadiah skuter elektrik daripada GGR Motor dalam kerjasama bersama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).
Strategi ini menjadi apabila nama GGR Motor menjadi viral memandangkan Bella hangat dengan konflik rumah tangga ketika itu.
“Ini bukan hanya tentang produk, tetapi tentang membawa perubahan budaya. Kita mahu generasi akan datang melihat mobiliti hijau sebagai gaya hidup harian,” tambah Mussadiq.
BAGI FARID KAMIL
Pelakon Farid Kamil pula berkata, dia bersyukur kerana dapat mengenali Muhammad Mussadiq dan sekali gus bekerjasama dengan GGR Motor.
“Macam peluang untuk buka kedai seperti Johan dapat, saya ada juga berbincang dengan Muhammad Mussadiq.
REVOLUSI INDUSTRI PEMOTORAN
“Sebenarnya saya bersyukur pada Allah kerana rezeki ini datang tepat pada waktunya dan pada orang yang tepat untuk membawa revolusi dalam industri permotoran Malaysia. Jadi tawaran daripada pihak GGR Motor pada saya ini saya anggap sebagai satu rezeki yang bermanfaat, rezeki yang berpanjangan dan melimpah ruah. .
Apapun, saya tak nampak itu sebagai sebagai permulaan kepada nama Farid Kamil, tapi lebih kepada pihak Prokuya Studios untuk memulakan perniagaan tersebut. sekarang ini saya berada di bawah pengurusan mereka,” katanya.
Untuk kemuncak acara pelancaran rasmi motosikal, Muhammad Mussadiq berkata, GGR Motor telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan motosikal elektrik (EV) keluaran mereka.