HARD ROCK CAFE KL 35 TAHUN, SATU MALAM LEGENDA! SATUKAN WINGS, KRISTAL & MUZZA

Hard Rock Cafe Kuala Lumpur Sambut 35 Tahun Bersama WINGS, Kristal & Muzza

HARD ROCK CAFE KL 35 TAHUN,

35 tahun bukan tempoh yang pendek. Sepanjang lebih tiga dekad, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi antara lokasi ikonik untuk muzik dan hiburan di ibu negara, malah turut menjadi sebahagian daripada perjalanan industri muzik tempatan.

Kini, tiba masanya untuk meraikan perjalanan itu dengan satu malam yang cukup istimewa menerusi “35 Years, One Legendary Night”, yang bakal berlangsung pada 9 November depan, bermula jam 9 malam.

Menariknya, malam sambutan ulang tahun ke-35 ini bakal dihiasi persembahan daripada tiga nama besar muzik rock tempatan iaitu WINGS, Kristal serta Muzza & The Velvettones.

BERSATU DALAM SATU MALAM

WINGS

Sudah tentu, nama WINGS menjadi antara tarikan utama malam tersebut.

Kumpulan rock legenda itu bakal membawa deretan lagu popular mereka untuk peminat yang mahu kembali mengimbau nostalgia muzik rock tempatan.

KRISTAL

Tidak kurang menarik, Kristal juga akan turun padang. Lebih dua dekad mewarnai industri muzik, kumpulan yang cukup sinonim dengan identiti fast-rock ini kini dianggotai oleh Ewal (vokal), Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).

MUZZA

Turut melengkapkan barisan persembahan ialah Muzza, penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris yang dikenali menerusi lagu “Bara Jiwa”, runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.

Pendek kata, kalau anda membesar dengan muzik rock tempatan, malam ini memang ada banyak sebab untuk datang dan layan bersama.

MEMORABILIA DATO’ AWIE

BAKAL JADI SEBAHAGIAN DARIPADA KOLEKSI HARD ROCK CAFE KL

Selain muzik, sambutan kali ini turut menyimpan satu detik yang cukup bermakna buat peminat rock tempatan.

Memorabilia milik Dato’ Awie akan diserahkan untuk diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada industri muzik tanah air.

Bagi Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh, 35 tahun yang dilalui bukan sekadar soal tempoh masa, tetapi tentang kenangan, muzik dan generasi yang membesar bersama jenama berkenaan.

“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami. Kami amat berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini telah membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.

RPM EVENTS BAWA “ONE LEGENDARY NIGHT”

Acara ini dikendalikan oleh Rumah Produksi Merah Events (RPM Events).

Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Amir Salim, turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Hard Rock Cafe Kuala Lumpur untuk menguruskan acara istimewa tersebut.

Menurut beliau, sambutan 35 tahun ini bukan sekadar meraikan usia Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, tetapi turut menjadi ruang untuk mengangkat semula legasi muzik dan menghargai pemuzik tempatan.

“RPM Events merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hard Rock Cafe Kuala Lumpur atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menguruskan ‘35 Years, One Legendary Night’.

“Acara ini bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang telah mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.

T-SHIRT EKSKLUSIF WINGS, HANYA 500 HELAI
Bukan sambutan ulang tahun namanya kalau tiada koleksi istimewa.

Sempena ulang tahun ke-35 ini, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur turut melancarkan T-shirt edisi terhad hasil kolaborasi bersama WINGS.

Hanya 500 helai dikeluarkan dan setiap satu ditawarkan pada harga RM198.

Koleksi eksklusif itu boleh didapati di Rock Shop®, sekali gus menjadi antara barangan yang boleh diburu peminat WINGS, Hard Rock Cafe dan pengumpul memorabilia muzik.

TIKET RM219, TERMASUK MINUMAN RINGAN
Bagi yang mahu menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini, tiket ditawarkan pada harga RM219 seorang, termasuk satu minuman ringan.

Kemasukan adalah terhad kepada pemegang tiket berusia 18 tahun ke atas.

Tiket boleh didapati menerusi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan kelab peminat WINGS, Sayap-Sayap Wings.