7 PERKARA PERLU TAHU TENTANG JEREBU & TIPS LINDUNGI DIRI!

7 Perkara Yang Perlu Kita Tahu Tentang Jerebu & Tips Untuk Atasinya Jerebu datang lagi, dan seperti biasa, perkara pertama yang ramai daripada kita buat ialah memeriksa keadaan udara sebelum keluar rumah.

JEREBU KINI KEMBALI

Langit mula nampak berkabus, jarak pandangan semakin pendek dan tekak pula terasa kurang selesa. Tetapi sebenarnya, jerebu bukan sekadar masalah udara yang nampak “berkabut”. Partikel halus dalam udara boleh memberi kesan kepada kesihatan, terutama jika kita terdedah untuk tempoh yang lama.

“7 perkara perlu tahu tentang jerebu dan tips melindungi diri”

PUNCA JEREBU

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jerebu berlaku apabila terdapat banyak partikel kecil yang terapung di udara sehingga mengurangkan jarak penglihatan. Antara punca yang biasa dikaitkan dengan jerebu termasuk pembakaran terbuka, asap industri dan asap kenderaan.

Jadi, sementara keadaan udara kembali baik, apa yang kita boleh lakukan?

Berikut 7 perkara penting yang boleh dijadikan panduan — bukan sahaja ketika jerebu sekarang, tetapi juga untuk rujukan apabila musim jerebu kembali pada masa akan datang.

7 PERKARA PERLU TAHU TENTANG JEREBU

1. JeEREBU BUKAN SEKADAR LANGIT NAMPAK BERKABUS

Kadang-kadang kita melihat langit yang kelihatan kelabu lalu menganggapnya sebagai perkara biasa.

“7 perkara perlu tahu tentang jerebu dan tips melindungi diri”

Sebenarnya, jerebu mengandungi partikel kecil yang boleh memberi kesan kepada sistem pernafasan. Antara gejala yang boleh berlaku termasuk batuk, sakit atau gatal tekak, mata pedih dan berair, hidung berair, bersin serta kesukaran bernafas.

Sebab itu jangan tunggu sehingga rasa tidak selesa baru mahu mengambil langkah berjaga-jaga.

2. SEMAK IPU SEBELUM KELUAR RUMAH

Salah satu perkara paling mudah yang boleh kita lakukan ialah semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing.

“7 perkara perlu tahu tentang jerebu dan tips melindungi diri”

Di Malaysia, IPU digunakan untuk menggambarkan tahap kualiti udara dan potensi kesannya terhadap kesihatan. Secara umum, bacaan 0–50 dikategorikan baik, 51–100 sederhana, 101–200 tidak sihat, 201–300 sangat tidak sihat dan 301–500 berbahaya.

Jadi sebelum keluar jogging, membawa anak bermain atau merancang aktiviti luar, semak dahulu keadaan udara.

Semak bacaan IPU Malaysia melalui MyEQMS Jabatan Alam Sekitar

3. KURANGKAN AKTIVITI LASAK DI LUAR

Kalau udara sedang tidak sihat, mungkin ini bukan masa terbaik untuk melakukan aktiviti seperti jogging, berbasikal atau senaman berat di luar.

KKM menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti lasak di luar ketika keadaan jerebu, manakala golongan berisiko tinggi perlu mengambil langkah lebih berhati-hati. Tak bermaksud kita perlu berhenti bergerak terus.

Kalau mahu kekal aktif, cuba tukarkan aktiviti luar kepada aktiviti dalam rumah seperti stretching, senaman ringan, yoga atau berjalan di dalam bangunan.

4. KALAU PERLU, LINDUNGI DIRI

Ada masa kita memang tidak boleh duduk di rumah sepanjang hari. Kerja perlu pergi. Anak perlu dihantar ke sekolah. Urusan penting perlu diselesaikan.

Dalam keadaan begini, perlindungan pernafasan boleh membantu mengurangkan pendedahan kepada partikel halus. KKM menyatakan respirator seperti N95 boleh digunakan sebagai perlindungan ketika jerebu dan memberikan perlindungan yang lebih baik berbanding pelitup muka pembedahan untuk partikel halus.

Terutamanya bagi mereka yang perlu berada di luar untuk tempoh yang lama, jangan ambil mudah soal perlindungan pernafasan.

5. RUMAH PUN PERLI DIJAGA DARIPADA PENCEMARAN

Bila jerebu berlaku, berada di dalam rumah memang membantu mengurangkan pendedahan. Tetapi jangan lupa satu perkara — kualiti udara di dalam rumah juga penting.

Elakkan menambah pencemaran dalaman seperti asap rokok. Jika menggunakan penghawa dingin ketika memandu, KKM turut menasihatkan supaya menggunakan mod kitaran udara dalaman (recirculation) dan memastikan tingkap ditutup.

Kalau ada air purifier di rumah, ia juga boleh menjadi salah satu pilihan untuk membantu menjaga kualiti udara dalaman.

6. JANGAN LUPA MINUM AIR & JAGA KEBERSIHAN

Jerebu boleh menyebabkan tekak dan hidung terasa kurang selesa. Sebab itu, pastikan badan mendapat air yang mencukupi sepanjang hari. KKM turut menasihatkan orang ramai supaya banyak minum air ketika keadaan berjerebu.

Selepas melakukan aktiviti di luar, basuh muka dan bahagian kulit yang terdedah dengan air bersih. Nampak macam perkara kecil, tetapi rutin mudah seperti ini boleh membantu kita berasa lebih selesa.

7. GOLONGAN INI PERLU LEBIH BERHATI-HATI

Jerebu boleh memberi kesan kepada semua orang, tetapi terdapat golongan yang lebih berisiko.

Antaranya kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung, individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung serta mereka yang sensitif terhadap habuk. Individu yang bekerja di luar rumah juga lebih terdedah kepada udara berjerebu.

Jika mengalami gejala seperti batuk yang semakin teruk, sesak nafas, sakit dada atau keadaan kesihatan yang semakin membimbangkan, dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.

KENAPA KITA TIDAK PATUT AMBIL RINGAN TENTANG JEREBU?

Jerebu bukan isu yang patut kita ingat hanya apabila langit mula kelihatan kelabu. Ia sebenarnya mengajar kita satu perkara mudah — kualiti udara yang kita hirup setiap hari juga sebahagian daripada gaya hidup sihat.

Kita mungkin boleh menangguhkan aktiviti outdoor, memilih untuk bekerja dari dalam bangunan atau memakai perlindungan ketika perlu keluar. Tetapi kita tidak boleh berhenti bernafas.

Sebab itu, daripada menunggu keadaan menjadi semakin teruk, lebih baik kita biasakan diri semak IPU, peka terhadap keadaan sekeliling dan ubah rutin apabila keadaan udara tidak mengizinkan.

Dan paling penting, jangan lupa mereka yang berada di sekeliling kita. Kadang-kadang kita sendiri okay, tetapi anak kecil, ibu bapa atau ahli keluarga mungkin lebih sensitif terhadap kesan jerebu.

Jerebu mungkin bermusim, tetapi menjaga kesihatan sepatutnya menjadi rutin sepanjang masa.