KONSERT BIRU MATA HITAMKU 30 TAHUN ANNIVERSARY, APA YANG BEST!
Mus, JoBranko, Black & Eddie Kembali Bersatu! Konsert Biru Mata Hitamku 30 Tahun Anniversary Bakal Jadi Malam Bersejarah.
KONSERT BIRU MATA HITAMKU
Selepas tiga dekad mencipta fenomena dalam dunia rock tanah air, album Biru Mata Hitamku bakal kembali menghidupkan nostalgia peminat menerusi sebuah konsert istimewa yang menghimpunkan Mus, JoBranko, Black dan Eddie di atas satu pentas.
KONSERT BIRU MATA HITAMKU – 30 TAHUN ANNIVERSARY
Dijadual berlangsung pada 5 September 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary bukan sekadar meraikan ulang tahun album ikonik itu, malah menjadi detik bersejarah yang dinantikan ribuan peminat rock Malaysia.

ALBUM BIRU MATA HITAMKU
Diterbitkan pada tahun 1996 menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan Wings apabila Mus mengambil alih posisi vokalis bersama JoBranko, Black dan Eddie. Walaupun ketika itu perubahan anggota menjadi bualan ramai, album tersebut akhirnya membuktikan bahawa kekuatan sesebuah kumpulan bukan terletak pada siapa yang berada di pentas, tetapi pada karya yang mampu bertahan merentas zaman.
LAGU SIULAN
Lagu-lagu seperti Biru Mata Hitamku, Enigma, Makam Kekasih, Jika Kau Tahu, Idaman, Asmara dan Satu Titik Kosong bukan sahaja menjadi siulan peminat, malah terus kekal sebagai antara karya rock paling diminati sehingga hari ini.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, penganjuran konsert ini adalah penghormatan kepada sebuah album yang sering dianggap “underrated”, tetapi sebenarnya menyimpan banyak karya berkualiti yang masih relevan selepas 30 tahun.
WINGS MAMPU BANGKIT
“Album ini membuktikan Wings mampu bangkit lebih kuat walaupun melalui fasa perubahan. Ia bukan sekadar sejarah sebuah kumpulan, tetapi kisah tentang ketahanan, keberanian dan kekuatan karya muzik yang terus hidup sehingga hari ini,” katanya.

Lebih menarik, ini bakal menjadi antara peluang paling istimewa untuk peminat menyaksikan lagu-lagu daripada album Biru Mata Hitamku dipersembahkan secara langsung dalam skala konsert penuh, sesuatu yang jarang berlaku sejak album tersebut diterbitkan.
KONGSI JOBRANKO
Bagi JoBranko pula, Biru Mata Hitamku merupakan antara karya paling bermakna dalam perjalanan seni Wings. Malah album tersebut turut mencatat sejarah apabila memenangi kategori Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 (AIM 96), selain lagu utamanya pernah mara sebagai finalis Juara Lagu.

“Album ini mungkin hanya satu-satunya album Wings bersama Mus, tetapi impaknya cukup besar. Lagu-lagunya masih menjadi permintaan peminat sehingga hari ini. Sebab itu kami percaya sudah tiba masanya album ini diraikan sempena ulang tahunnya yang ke-30 bersama semua peminat,” katanya.
Konsert ini juga dijangka membawa penonton mengimbau semula era kegemilangan rock tempatan menerusi persembahan penuh tenaga daripada Mus, JoBranko, Black dan Eddie dalam suasana yang pastinya sarat dengan emosi dan kenangan.
TEMA HITAM
Menambahkan lagi keterujaan, pihak penganjur menetapkan tema hitam sebagai warna rasmi malam bersejarah tersebut, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk bersama-sama mewujudkan suasana rock yang cukup ikonik di Mega Star Arena.

HARGA TIKET
Tiket Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary mula dijual pada 3 Julai 2026, jam 3 petang menerusi Ticket2U dengan lima kategori harga iaitu IDAMAN (RM258), JIKA KAU TAHU (RM288), MR BARBARIK (RM308), ENIGMA (RM358) dan GRAND VIP (RM1,500).

Bagi peminat setia Wings, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi peluang menghidupkan semula memori bersama album yang pernah menjadi soundtrack kehidupan mereka. Selepas 30 tahun, Biru Mata Hitamku akhirnya kembali mengisi ruang kosong yang sekian lama dirindui peminat rock tanah air.
