Jiwa Rock Sejati! Wings Gegar ‘Sunday Night Live Showcase’ Walaupun keadaan Awie kurang mengizinkan, Awie & Kumpulan Wings sukses dalam mempersembahkan lebih 15 lagu malam tadi di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
WINGS GEGAR SUNDAY NIGHT LIVE SHOWCASE
Legenda rock tanah air, Kumpulan Wings sekali lagi membuktikan yang masih lagi kekal relevan sebagai gergasi industri muzik yang sukar di gugat. Bertempat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, Sunday Night Live Showcase berlangsung dengan penuh gimik, emosi, dan kejutan, meninggalkan impak mendalam kepada setiap yang hadir.

AWIE GAGAH DEMI PEMINAT
Meskipun status kesihatan vokalis utamanya, Datuk Awie, dilaporkan kurang mengizinkan dan berada dalam keadaan yang memerlukan rehat, beliau tetap menggagahi jua demi profesionalisme dan kecintaan kepada peminat. Keputusan untuk meneruskan kelangsungan showcase ini nyata dihargai oleh hampir 700 peminat fanatik yang membanjiri ruang acara demi memberikan sokongan padu.
PERSEMBAHAN
Persembahan anjuran kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan RPM Label itu diadakan sempena promosi album terbaharu Wings, selain menjadi platform memperkenalkan karya-karya baharu kumpulan berkenaan kepada peminat.
KEJUTAN LAGU BARU
Sepanjang durasi persembahan yang bertenaga, Wings tidak kedekut berkongsi repertoire apabila mempersembahkan lebih daripada 15 buah lagu. Apa yang menariknya, showcase kali ini menjadi saksi kepada pendengaran eksklusif beberapa naskhah terbaharu Wings yang belum pernah dinyanyikan secara meluas sebelum ini.

Antara lagu baru yang dipersembahkan adalah Hutan Simpan – menampilkan bait lirik mendalam dengan susunan muzik Wings yang lebih matang. Entah Kiri Entah Kanan pula lagu rancak yang pantas menangkap telinga pendengar
SEISI SING-A-LONG : LAGU BERHANTU TANPA HENTI
Suasana dewan bertukar gamat apabila seleksi lagu-lagu berhantu dan siulan zaman-berzaman mula berkumandang. Peminat tidak melepaskan peluang untuk sing-a-long bersama Awie, menggegarkan segenap ruang acara dengan koir gergasi.
LAGU IKONIK
Antara yang turut dipersembahkan sewaktu di showcase Ingatkah Dia, Hukum Karma,* dan Opera Hidup berjaya menghidupkan nostalgia kegemilangan rock kapak.

Tidak ketinggalan, untaian anthemic yang paling dinantikan ramai seperti Sejati, Misteri Mimpi Syakilla, serta Biarkan Berlalu disampaikan dengan penuh penghayatan, membuktikan vokal Awie tetap berbisa biarpun keadaan fizikalnya tidak berada di tahap 100%.
KONGSI AWIE
Vokalis kumpulan rock legenda Wings, Datuk Awie, mendedahkan beliau kini masih menjalani rawatan susulan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sejak hampir dua bulan lalu.
“Masalah kesihatan itu menyebabkan suara menjadi sengau selain disertai batuk berpanjangan yang datang berulang kali. Sama ada batuk kering mahupun berkahak, sekali gus memberi kesan kepada keadaan fizikal dan persembahannya di atas pentas.

Sakit atau sihat, tanggungjawab pada peminat tetap nombor satu. Selagi ada tenaga dan selagi peminat mahu mendengar, Wings akan terus berdiri di atas pentas ini,”
-ujar Awie penuh azam sejurus tamat persembahan.
DALAM PEMANTAUAN DOKTOR
Pernah dimasukkan ke wad dan sehingga kini masih menjalani rawatan serta dipantau oleh beberapa doktor. Antara rawatan yang perlu diteruskan termasuk penggunaan nebulizer, pengambilan ubat dan pemeriksaan berkala bagi memastikan keadaan paru-parunya kembali stabil.
BUKAN SINUS TAPI LUNG INFECTION
Bukan sinus, tapi lung infection, jadi saya dimasukkan ke wad, tiga hari doktor tak bagi saya keluar, tapi saya kena keluar juga sebab saya kena bekerja. Walaupun doktor menasihatkannya supaya berehat dan mengurangkan aktiviti, Awie tetap meneruskan tugasan kerja yang telah dijadualkan lebih awal, termasuk menghadiri urusan di Terengganu dan Kelantan, rakaman di studio serta beberapa persembahan pentas.

Siri “Wings Sunday Night Live” akan diteruskan di Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai ini, sekali gus memberi peluang kepada peminat di selatan tanah air menyaksikan persembahan bertenaga kumpulan rock ikonik tersebut.
LEGASI YANG TIADA GANTI
Sunday Night Live Showcase kali ini bukan sekadar persembahan muzik biasa; ia adalah refleksi kepada keutuhan semangat setiakawan kumpulan Wings dan bukti cinta abadi mereka kepada komuniti rock tempatan. Kehadiran 700 penonton yang pulang dengan senyuman kepuasan menjadi tanda aras baharu bahawa jenama Wings akan terus relevan melangkaui zaman.
