Malam Dari Kasih Ke Ehsan Sasar Kutipan RM1 Juta Demi Misi Kemanusiaan Global
MALAM DARI KASIH KE EHSAN
Global Ehsan Relief menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta menerusi penganjuran Malam Dari Kasih Ke Ehsan, sebuah majlis makan malam amal yang bakal berlangsung pada 14 Ogos 2026 di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur.
PERKUKUH USAHA KEMANUSIAAN
Acara berprestij ini menghimpunkan pemimpin korporat, agensi kerajaan, rakan strategik, penderma dan masyarakat bagi memperkukuhkan usaha kemanusiaan yang telah memberi manfaat kepada ratusan ribu penerima di Malaysia serta pelbagai negara yang dilanda konflik dan bencana.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada pelbagai projek kebajikan termasuk bantuan kecemasan di Gaza, bantuan musim sejuk, program anak yatim, penyediaan air bersih serta projek Umrah Anak Yatim.
MALAM DARI KASIH KE EHSAN SATUKAN HIBURAN, INSPIRASI & KEMANUSIAAN
Berbeza daripada majlis makan malam amal biasa, Malam Dari Kasih Ke Ehsan tampil dengan konsep yang menggabungkan persembahan seni, perkongsian pengalaman lapangan serta pengisian kerohanian dalam satu malam yang penuh makna.

Majlis akan diserikan dengan persembahan eksklusif kumpulan nasyid terkenal Inteam, selain sesi perkongsian inspirasi daripada duta Global Ehsan Relief iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.
Acara turut dihoskan oleh Fedtri Yahya, yang akan membawa tetamu menyelami kisah sebenar misi kemanusiaan Global Ehsan Relief serta impak bantuan yang telah mengubah kehidupan ribuan keluarga.
BUKAN SEKADAR UNTUK KUMPUL DANA
Menurut Pengarah Program, Suffi Shukor, program ini diwujudkan bukan sekadar untuk mengumpul dana, malah memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri bagaimana setiap sumbangan diterjemahkan kepada bantuan yang memberi perubahan besar kepada mereka yang memerlukan.
LEBIH 815,000 PENERIMA MANFAAT DIBANTU
Antara pengisian utama malam tersebut ialah perkongsian pengalaman oleh Ustaz Hanafiah Abdul Malek, yang terlibat secara langsung dalam pelbagai misi bantuan di Syria, Gaza, Jordan, Lubnan, Turki, Yaman dan Pakistan.
Beliau menjelaskan bahawa sejak tahun 2017, Global Ehsan Relief telah menyalurkan bantuan kecemasan musim sejuk kepada pelarian Syria selain berjaya membina beberapa buah masjid bagi membantu komuniti yang kehilangan tempat bergantung akibat peperangan.
Menurut beliau, sehingga kini lebih 815,000 penerima manfaat telah menerima bantuan melalui pelbagai program kemanusiaan yang dilaksanakan organisasi tersebut.
“Bantuan yang disalurkan bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengembalikan harapan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan dan masa depan akibat peperangan,” katanya.
PROJEK UMRAH ANAK YATIM
Selain bantuan kecemasan, Global Ehsan Relief terus memberi tumpuan kepada pembangunan anak-anak yatim menerusi program tajaan pendidikan, kebajikan dan pembangunan jangka panjang.
Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkata, sehingga kini lebih 9,454 anak yatim telah menerima manfaat melalui pelbagai program yang dijalankan.
GLOBAL EHSAN RELIEF MASIH LAGI MEMBANTU
Menurut beliau, pengurusan anak yatim oleh Global Ehsan Relief tidak terhenti kepada bantuan sekali beri, sebaliknya melibatkan pemantauan berkala bagi memastikan pendidikan, kebajikan serta masa depan mereka terus terjamin.

Beliau turut berkongsi aspirasi organisasi untuk membawa 1,000 anak yatim dari Palestin, Syria, Jordan dan Yaman menunaikan ibadah umrah, sekali gus memberi peluang yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup.
PU AMIN SERU KORPIRAT PERLUASKAN BANTUAN BERSAMA
Sementara itu, PU Amin menegaskan bahawa kejayaan pelbagai misi kemanusiaan Global Ehsan Relief tidak mungkin tercapai tanpa sokongan rakyat Malaysia dan sektor korporat.
Menurut beliau, organisasi tersebut telah membantu lebih 815,449 penerima manfaat, selain berjaya menyalurkan lebih 32.8 juta liter air bersih kepada penduduk Gaza melalui pelbagai projek kebajikan.
Beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat menyertai Malam Dari Kasih Ke Ehsan bagi melihat sendiri impak sebenar hasil sumbangan yang disalurkan kepada komuniti yang memerlukan.
INTEAM BAWA PERSEMBAHAN SARAT NILAI KASIH SAYANG
Kehadiran Inteam dijangka menjadi antara tarikan utama pada malam tersebut. Kumpulan nasyid popular itu akan mempersembahkan enam buah lagu pilihan termasuk karya bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan keinsafan yang selari dengan objektif program.
Menurut mereka, penyertaan dalam Malam Dari Kasih Ke Ehsan amat bertepatan dengan perjuangan muzik yang sentiasa mengangkat mesej kasih, persaudaraan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
SASARAN RM1 JUTA DEMI LEBIH BANYAK MISI KEMANUSIAAN
Melalui penganjuran Malam Dari Kasih Ke Ehsan, Global Ehsan Relief menyasarkan kutipan keseluruhan sebanyak RM1 juta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500,000 dijangka diperoleh menerusi penjualan meja kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, organisasi dan individu yang ingin bersama menjayakan agenda kemanusiaan. Dana tersebut akan digunakan untuk membiayai:
✔ Bantuan Kecemasan Gaza
✔ Bantuan Musim Sejuk
✔ Program Anak Yatim
✔ Projek Umrah Anak Yatim
✔ Projek Air Bersih
PENGALAMAN MALAM DARI KASIH KE EHSAN MENYENTUH JIWA
Program akan berlangsung bermula 6 petang dengan sesi pendaftaran tetamu sebelum diteruskan dari 8 malam hingga 12 tengah malam.
Sepanjang majlis berlangsung, persembahan nasyid akan diselang-selikan dengan tausiah, kisah sebenar dari lapangan serta perkongsian pengalaman misi kemanusiaan bagi memberi gambaran lebih jelas tentang kehidupan masyarakat yang dibantu.
Gabungan hiburan berunsur dakwah, kisah inspirasi dan perkongsian pengalaman sebenar menjadikan Malam Dari Kasih Ke Ehsan lebih daripada sekadar makan malam amal, malah satu platform yang menghubungkan masyarakat dengan nilai kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
TIKET MALAM DARI KASIH KE EHSAN KINI DIBUKA
Orang ramai kini boleh mendapatkan tiket Malam Dari Kasih Ke Ehsan melalui saluran rasmi Global Ehsan Relief. Harga tiket individu bermula daripada RM175, manakala pakej meja korporat ditawarkan antara RM5,000 hingga RM25,000, lengkap dengan kelebihan pelepasan cukai.
Dengan kapasiti sekitar 500 tetamu, majlis ini dijangka menghimpunkan tokoh korporat, agensi kerajaan, NGO, penderma serta individu yang mahu memainkan peranan dalam memperluaskan misi kemanusiaan ke peringkat lebih besar.
Penganjuran Malam Dari Kasih Ke Ehsan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara sektor korporat, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memastikan bantuan dapat terus disampaikan kepada golongan yang paling memerlukan di seluruh dunia.











Leave a Reply