Banjor datang tengah malam, kenapa komuniti perlu tahu apa nak buat? Kalau banjir berlaku waktu siang, mungkin kita masih sempat bersiap. Tapi kalau air mula naik tengah malam, keadaan boleh jadi sangat berbeza.
Lebih-lebih lagi bila ada bayi, warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau ahli keluarga yang perlukan bantuan.
YAYASAN IKHLAS & NADMA & JPNIN
Sebab itu, Yayasan Ikhlas bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil langkah melatih komuniti di kawasan yang sering berdepan banjir.

BILA AIR MULA NAIK, JANGAN PANIK
Kursus ini bukan sekadar duduk dalam kelas dan dengar taklimat.
KURSUS COMMUNITY BASED DISASTER RISK MANAGEMENT
Menerusi Kursus Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) Siri 2, seramai 52 peserta daripada sembilan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Hulu Besut menyertai latihan pada 14 dan 15 Ogos 2026.
Peserta belajar perkara yang boleh digunakan apabila berlaku kecemasan seperti pertolongan cemas, teknik menyelamat, komunikasi ketika bencana, pengurusan mangsa banjir serta operasi air dan bot.Mereka juga belajar tentang pemetaan kawasan berisiko dan penggunaan dron.
Mudah cerita, komuniti dilatih supaya apabila air mula naik, mereka sudah tahu apa nak buat, siapa yang perlu dibantu dan ke mana nak pergi.

TURUN TENGOK KAWASAN BANJIR SENDIRI
Peserta turut dibawa turun ke kampung untuk melihat sendiri kawasan yang berisiko. Antaranya lokasi sungai, alur air, kawasan laluan air, kawasan selamat dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Yayasan Ikhlas juga berkesempatan menziarahi beberapa rumah mangsa banjir. Benda macam ini nampak mudah, tapi sebenarnya sangat penting.
Sebab penduduk setempatlah yang paling tahu kawasan mereka. Jalan mana cepat naik air, rumah siapa yang perlukan bantuan dan laluan mana yang lebih selamat.

“MASA TU SAYA ANGKAT ANAK SAYA…”
Antara bahagian paling menyentuh dalam program ini ialah apabila peserta berkongsi pengalaman sebenar ketika banjir.
Seorang peserta mengimbas kembali kejadian banjir 2023 apabila penduduk mula bergerak keluar ke PPS sekitar jam 3 pagi. Dalam keadaan itu, ada seorang ibu yang baru sahaja bersalin dan terpaksa membawa bayinya keluar dari kawasan banjir.
PAKCIK ZAINUDIN BERKONGSI PENGALAMAN
Pakcik Zainudin pula berkongsi pengalaman menyelamatkan anaknya yang merupakan OKU dan ketika itu berusia 29 tahun.

“Saya angkat anak OKU saya yang berumur 29 tahun. Berat, tapi nyawa anak saya lagi penting.”
Ayat itu ringkas, tetapi cukup untuk menggambarkan betapa mencabarnya keadaan apabila banjir datang tanpa mengira masa.
BUKAN TUNGGU BANTUAN BARU BERGERAK
Menurut Timbalan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Tuan Syafiq Syahmi Sazali, latihan seperti ini penting supaya masyarakat tidak hanya bergantung kepada bantuan apabila bencana berlaku.

Sebaliknya, komuniti sendiri perlu mempunyai ilmu dan keyakinan untuk bertindak pada peringkat awal. Yayasan Ikhlas juga merancang untuk memperluaskan latihan CBDRM ke beberapa negeri lain termasuk Kelantan, Perak, Melaka, Johor dan Sabah.
KOMUNITI BERSEDIA, SEMUA ORANG LEBIH SELAMAT
Banjir memang tidak boleh dielakkan di sesetengah kawasan. Tetapi kita boleh bersedia.

Bila komuniti tahu kawasan selamat, tahu lokasi PPS, tahu cara membantu jiran dan tahu bagaimana mengurus situasi kecemasan, sekurang-kurangnya keadaan tidak terlalu kelam-kabut apabila bencana berlaku.
Itulah yang cuba dibina melalui latihan CBDRM ini — bukan sekadar kemahiran menyelamat, tetapi semangat untuk saling menjaga dalam komuniti. Dan mungkin itulah perkara paling penting.
Bila air naik, kita tahu kita tak keseorangan.