Taiwan Bawa Taiwan – Waves of Wonder Ke Malaysia, Pulau Pinang & Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Pelancongan 2026
TAIWAN – WAVES OF WONDER
Tourism Administration of Taiwan kembali mencuri perhatian rakyat Malaysia menerusi kempen promosi pelancongan berskala besar Taiwan — Waves of Wonder, yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sepanjang Mei 2026.
Kempen ini menjadi antara usaha terbesar Taiwan untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan pelancong Muslim dan komuniti Cina Malaysia yang semakin aktif meneroka destinasi Asia Timur.
QUEENSBAY MALL JADI MINI TAIWAN
LEBIH 1,000 PENGUNJUNG MEMBANJIRI ACARA
Pameran Pelancongan Taiwan yang berlangsung di Queensbay Mall dari 15 hingga 17 Mei berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan persembahan budaya yang penuh warna-warni.

Delegasi rasmi Taiwan yang terdiri daripada 29 organisasi dan 64 wakil industri pelancongan membawa pengalaman unik Taiwan terus ke Malaysia melalui konsep “Instagrammable tourism” yang menjadi kegilaan ramai pengunjung.
TARIKAN UTAMA
Antara tarikan utama termasuk maskot popular OhBear serta replika belon udara panas terkenal dari Taitung yang menjadi lokasi wajib bergambar sepanjang acara berlangsung.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan muzik, tarian jalanan dan demonstrasi budaya yang memperlihatkan sisi moden dan tradisional Taiwan dalam satu pengalaman pelancongan yang unik.
Ramai pengunjung juga mengambil peluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan, lokasi wajib dikunjungi dan pengalaman menarik di Taiwan.
TAIWAN FOKUS PASARAN MUSLIM & PELANCONG MALAYSIA
Kempen promosi diteruskan di The Westin Kuala Lumpur menerusi sesi taklimat produk pelancongan B2B pada 19 Mei yang menghimpunkan pemain industri pelancongan Malaysia dan Taiwan. Seisi ini memberi fokus kepada keperluan pelancong Muslim serta pasaran pelancong Cina Malaysia yang semakin berkembang.
Taiwan turut mengetengahkan pencapaiannya sebagai destinasi mesra Muslim utama Asia apabila negara itu kini berada di tangga keempat dalam Global Muslim Travel Index 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi selamat, selesa dan mesra keluarga.

PRMOSI TAIWAN DI MALAYSIA
Menurut Pengarah Tourism Administration of Taiwan KL Office, Abe Chou, pihaknya akan terus memperkukuh promosi Taiwan di Malaysia menerusi kerjasama bersama KOL, pempengaruh dan kandungan hiburan digital.
“Kami mahu memperlihatkan Taiwan sebagai destinasi yang mempunyai pelbagai pengalaman menarik — daripada makanan bertaraf dunia, budaya unik hinggalah landskap semula jadi yang memukau,” katanya.
LIZQIN & CAYEELOH KONGSI PENGALAMAN
Turut memeriahkan kempen ialah kehadiran pempengaruh terkenal Malaysia LizQin dan Cayeeloh yang berkongsi pengalaman mereka menjelajah Taiwan.
Menurut mereka, Taiwan menawarkan pengalaman pelancongan yang lengkap dengan suasana “meriah siang dan malam”, menjadikannya destinasi ideal untuk percutian keluarga, solo travel mahupun food hunting.
Dengan penerbangan terus yang mudah, kemasukan tanpa visa untuk rakyat Malaysia serta sistem pengangkutan yang efisien, Taiwan optimis Malaysia akan terus menjadi antara pasaran pelancongan terpenting bagi negara itu.
Kempen “Taiwan — Waves of Wonder” juga dilihat mampu memperkukuh hubungan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Taiwan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama industri pelancongan pada masa hadapan.
