SONAONE KEMBALI DENGAN ‘SAPE KATA’ BEST KE? | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Mengharungi sendiri jatuh bangun dalam kehidupan selain mengamati pengalaman sama orang lain
SONAONE
Secara tidak langsung menjentik rasa dan emosi tersendiri buat penyanyi hip hop dan komposer, SonaOne, 32. Lalu terhasillah buah tangan terbaharu jejaka kacukan Melayu-Perancis dengan nama penuh, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach ini.
SAPE KATA
Tidak bersendirian, lagu diberi judul SAPE KATAitu turut dihasilkan bersama dengan Wolfy. Ia dicetuskan di era pandemik COVID-19. Lagu yang liriknya nukilan SonaOne sendiri bersama Axel Jonas itu dirakamkan sekitar Julai tahun lalu.
Ditanya apakah idea penghasilan karya berkenaan lebih tepat mengenai pengalaman kisah cinta sendiri, SonaOne yang mula melangkah ke arena seni pada 2010 dilihat memberi jawapan selamat.
CETUSAN ILHAM KISAH CINTA SENDIRI?
Jawapan kepada soalan apakah ia cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya… atau sebaliknya. Ia terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun ia jelas bersifat peribadi.
“Tapi tak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri. Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau.
Ia juga berdasarkan pengamatan saya mengenai pelbagai cerita dialami ketika COVID-19 menjelma. Ramai teman saya sendiri putus cinta daripada hubungan yang panjang kerana kekurangan sisi komunikasi,”
-katanya yang kali terakhir muncul dengan single solo Bomba tahun lalu.
DILANCARKAN 12 NOVEMBER 2021
Lagu gabungan pop R&B dan hip hop ini akan dilancarkan di semua platform digital pada 12 November depan. Malah jika ada mengikuti perkembangan SonaOne di media sosial, teaser lagu itu ada dipromosi di akaun Instagram, Twitter dan halaman Facebook (Fanpage) Oktober lalu.
“Lagu ini banyak bermain dengan perasaan dalaman ditambah dengan emosi bercelaru. Malah memang sengaja perkataan siapa dieja seperti bahasa pasar sebagai ‘sape’.
“Lagu ini menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris. Pendek kata lagu ini barangkali dekat dengan sesiapa saja yang pernah melalui plot hubungan penuh dramatik,”
-katanya.
KONFLIK DIRI & EMOSI
Pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) menerusi lagu Apa Khabar dendangannya bersama Joe Flizzow itu menambah, SAPE KATA turut menyingkap penilaian diri yang menjurus kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi.
“Ia sering terjadi pada tahap emosi itu sudah tak mampu dibendung lagi terutama tiada komunikasi terjalin di antara satu sama lain.
“Lagu ini mewakili satu rasa yang tidak selesa apabila dibelenggu hal yang meresahkan dalam kotak minda pasangan kekasih. Malah pada masa sama berperang dalam hati mempersoalkan itu ini yang pada akhirnya tidak memberi jawapan pasti.
Ia boleh jadi seperti penyakit bipolar (atau kecelaruan dwikutub) sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran. Ia seperti garis pemisah antara sikap yang memusnahkan dan kebencian terhadap diri,” katanya.
KISAH CINTA SENDIRI BAGAIMANA?
Tambah SonaOne lagi, adat dalam bercinta belum tentu berakhir dengan kemanisan.
Menutup bicara, jejaka yang pernah tampil dengan dua album studio, Growing Up Sucks pada 2016 dan Detail (2019) ini juga sempat diusik dengan kisah cintanya yang pernah digembar gemburkan sebelum ini.
Biarpun tidak pernah mendedahkan kisah cintanya secara terbuka, namun ada yang menghidunya. Malah, dia pernah mengeluarkan kenyataan akan mengumumkan perancangan berkahwin dengan gadis yang masih rahsia lagi identitinya. Bagaimanapun cerita itu bagai berlalu sepi, hingga ada yang mengandaikan ia sudah bernoktah.