Seharum Rindu 2 – Ayu Raudhah Kembali Jadi Heroin di TV1
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Seharum Rindu 2 bakal ditayangkan kembali di TV1 dan memilih Ayu Raudhah kembali sebagai heroin dalam drama bersiri ini. Ini merupakan kesinambungan daripada penerimaan positif menerusi siri Seharum Rindu yang menemui penonton sekitar tahun 2015. Menampilkan pelakon utama Ayu Raudhah, Shiqin Kamal, Shah Iskandar, Erry Putra, dan Muhammad Ameer Imran, 26 episod drama bersiri ini disiarkan mengisi slot Bidadari mulai 3 Julai ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3.05 petang di TV1.
Sinopsis Seharum Rindu 2
Tentang kehidupan dua kembar, Illana dan Ameera yang berhadapan dengan situasi hampir sama di mana mereka dirawat di hospital dalam masa serentak, atas sebab yang berbeza. Illana yang koma telah ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Kartini kepada pasangan Dato’ Amran dan Datin Aini. Begitu juga dengan Ameera yang turut dirawat di hospital sama setelah terlibat dalam kemalangan bersama tunangnya, Helmi. Ameera trauma dengan kejadian yang telah membunuh tunangnya itu.
Dalam menjalani proses terapi, masing-masing terpikat dengan Dr. Aiman, doktor yang sama berstatus duda menjaga mereka berdua. Dr. Aiman memiliki anak tunggal bernama Adam. Illana yang hilang ingatan sebaik sedar dari koma cuba untuk mengingati semula siapa dan dari mana asal usulnya kerana ibu dan bapa angkatnya itu menyembunyikan situasi sebenar. Begitu juga dengan Ameera yang menyembunyikan identiti mereka yang sebenar.
Sementara itu Shanaz menunjukkan rasa tanggungjawab dan cuba mendekati Ameera. Sebaliknya Ameera mula rimas dengan layanan mesra Shanaz terhadap dirinya. Kehadiran Dr. Aiman berjaya menepis perasaan traumanya dan dirinya kembali ceria. Pada masa sama Illana mula rapat dengan Adam kerana naluri keibuannya yang memang sukakan kanak-kanak. Begitu juga dengan Dr. Aiman.
Cemburu Illana
Situasi itu menimbulkan cemburu di hati Illana dan Ameera apabila Dr. Aiman melayan mereka sama rata dan mesra. Ameera dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dengan Shanaz yang tidak sudah-sudah mendesak Ameera menerimanya sebagai kekasih. Apatahlagi ibu Shanaz, Faridah yang bekerja dengan Dato’ Amran menjadi orang kepercayaan keluarganya. Satu hari berlaku konflik bila Illana terjumpa keratan akhbar dan maklumat berkaitan kemalangan Ameera dahulu yang mana mangsa yang meninggal dunia adalah isteri Dr. Aiman. Ameera terkejut bila mengetahui berita itu apatahlagi disaat dia mula menyukai Dr. Aiman. Dirinya diburu rasa bersalah yang teramat sangat.
Dr. Aiman berasa keliru dan terkejut bila mengetahui kebenaran itu. Ameera kembali trauma. Namun setelah berbincang hati ke hati Dr. Aiman dapat memaafkan Ameera. Faridah memaksa Datin Aini mempercepatkan perkahwinan Shanaz dengan Ameera semata-mata mahu membolot harta keluarga Dato’ Amran. Niat jahat itu dapat dihidu Illana dan cuba menyiasat. Satu hari Illana mengetahui dia dan Ameera hanyalah anak angkat keluarga itu. Perasaan kelirunya itu dikongsi dengan Dr. Aiman yang kemudiannya memberikan nasihat positif kepadanya. Illana mula sedar mesikpun anak angkat namun dia bertuah dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Dato’ Amran dan Datin Aini.
Dato’ Amran meninggal dunia dibunuh Shanaz. Dr. Aiman pula cedera parah dalam kejadian menyelamatkan Illana dan Adam. Namun siapakah antara Illana dan Ameera yang menjadi pilihan Dr. Aiman? Adakah Dr. Aiman turut memihak kepada permintaan Adam yang lebih menyenangi kehadiran Illana dalam hidup mereka? Lalu bagaimana pula dengan Ameera?
Jika anda terlepas atau ingin lihat ulang tayangan boleh sahaja ditonton melalui RTM mobile dimana anda cuma muat turun aplikasi di Google Play & App Store atau layari
Website TV1 : http://myklik.rtm.gov.my/