Program Semarak Hari Kebangsaan 2018 Hanya Di RTM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Program Semarak Hari Kebangsaan 2018 Hanya Di RTM |Radio Televisyen Malaysia (RTM) membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia terutama buat generasi muda negara hari ini menerusi program khas Hari Kebangsaan yang disediakan. Paparan kisah yang dikongsikan dalam program-program disusun ini pastinya menyuntik rasa emosi penonton terutama melibatkan pejuang negara yang telah terkorban. Menerusi saluran utama TV1, tanggal keramat 31 Ogos ini bermula dengan menyiarkan “Siaran Langsung Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018”, pukul 7.30 pagi dari Putrajaya.

Kemudiannya diikuti dengan tayangan filem “Bravo”, pukul 3.30 petang arahan M Hitler Zami yang didedikasikan kepada para pejuang negara yang terkorban dalam menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis ini mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat tanah air seperti Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan, Sasha Tharan, Xavier Fong, Frank Peterson dan Chew Kin Wah.

RTM membawakan konsert khas yang diberi nama “Sayang Malaysia” disiarkan secara langsung pukul 8.30 malam menghimpunkan artis-artis ternama tanah air antaranya Bunkface, Akim & The Majistret, Projector Band, Kumpulan BPR, dan Resident Band (Cakam). Konsert terbitan Hiburan TV RTM ini menampilkan gandingan pengacara Jeed Zulkifli dan Qi Razali.

Menerusi saluran TV2 pula, menghimpunkan lima program terbaik bermula tayangan filem “Sarjan Hassan” pada 27 Ogos ini, pukul 10.00 malam. Diikuti dengan empat telemovie mengangkat tema kemerdekaan dan sayangkan negara iaitu “Lumpur di Kerikil” (30 Ogos ini, pukul 2.00 petang), “Lambaian Merdeka” (31 Ogos ini, pukul 2.00 petang), “Sebilah Pusaka” (31 Ogos ini, pukul 11.00 malam) dan “Kabut” (1 September ini, pukul 2.00 petang).

“Lumpur di Kerikil” lakonan Rahim Jailani, Anuar Che Abdullah dan Nubhan Ahmad menceritakan kisah seorang bekas tentera Major (B) Mohsin yang selalu diganggu dengan igauan zaman lampau semasa dia bertempur dengan komunis dan nyaris maut jika tidak diselamatkan oleh Ah Lai, salah seorang penduduk kampung di situ. Ah Lai kini sudah memeluk agama Islam dan mengusahakan ternakan ikan di kampungnya.  

Dalam “Lambaian Merdeka” pula penonton diajak berkongsi kisah seorang guru Cikgu Riduan melihat komunis membunuh sepasang suami isteri bangsa Cina dan beliau menyelamatkan bayi pasangan tersebut dan membesarkannya umpama anak sendiri. Ia dibintangi oleh C. Kumaresan, Dato’ Rahim Razali dan Halimaton Saadiah.

Hari sama juga disiarkan telemovie “Sebilah Pusaka” lakonan Megat Sharizal, Wan Hanafi Su, Jonathan Putra dan Juliana Marin. Ia mengangkat watak seorang gadis berketurunan Melayu – Inggeris yang ditemani abangnya kembali ke Malaysia untuk mengenali budaya, tradisi, dan identiti diri sebelah bapanya yang berketurunan Melayu dengan mempelajari cara-cara pembuatan keris dan mengenali adat resam budaya Melayu.

Kisah anak Melayu mangsa rogol bernama Ah Fook (Azhar Zainal) diangkat dalam telemovie “Kabut”. Dia telah ditinggalkan dan dibela oleh keluarga Cina Kuilan (Tanting). Tanpa mengetahui asal usul keturunan anak ini, dia kemudian dibesarkan mengikut adat dan budaya Cina. Namun anak ini akhirnya kembali ke fitrah iaitu agama Islam setelah tertarik dengan bacaan al-Quran oleh sekumpulan pelajar pondok. Ia turut dibintangi oleh Hasnol Rahmat, Anas Ridzuan dan Iskandar Zulkarnain.  

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.



Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge