PELANCARAN FILEM TIKET SEHALA, APA YANG BEST?

Pelancaran Filem “Tiket Sehala” Cetus Kesedaran Sindiket Penipuan Kerja Luar Negara, Key Billions Lebar Sayap Ke Pengedaran

FILEM TIKET SEHALA

Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Key Billions Sdn. Bhd. menganjurkan majlis berbuka puasa yang diserikan dengan pelancaran filem terbaharu mereka, Tiket Sehala. Lebih daripada sekadar naskhah hiburan, filem ini mengangkat isu serius sindiket penipuan kerja di luar negara yang semakin membimbangkan.

TIKET SEHALA

KISAH BENAR?

Filem arahan Rahila Ali ini diinspirasikan daripada kisah benar mangsa sindiket pemerdagangan manusia, termasuk rakyat Malaysia yang terperdaya dengan tawaran kerja palsu. Menurut Rahila, karya ini lahir daripada rasa tanggungjawab sosial untuk membuka mata masyarakat terhadap risiko dan kesan menjadi mangsa eksploitasi.

BARISAN PELAKON

Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuk Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah dan Hasnul Rahmat. Turut mencuri perhatian ialah penampilan pelakon antarabangsa seperti Hyunjun Sun (Korea Selatan), Ninja SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra (Indonesia), menjadikan filem ini sebuah produksi rentas negara.

TIKET SEHALA

PERSEMBAHAN SHADOW COMBAT LEAGUE

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan robot daripada Shadow Combat League, kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan sukan tempur, permainan dan teknologi berasaskan blockchain.

KONGSI PENGASAS KEY BILLIONS

Pengasas Key Billions, Eddie Yap berkata, pemilihan tema ini didorong oleh keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Penggambaran yang turut dijalankan di Korea Selatan membabitkan kolaborasi kru Malaysia dan antarabangsa, sekali gus memperkasa kualiti produksi tempatan.

Dalam perkembangan sama, syarikat itu turut mengumumkan penubuhan Key Billions Distribution, cabang baharu yang akan mengendalikan urusan pengedaran dan promosi filem terbitan mereka serta karya tempatan dan antarabangsa lain. Antara filem yang bakal diedarkan ialah Gayong 2 dan Tarung Unforgiven.

Tiket Sehala | First Teaser Video | Akan datang di pawagam GSC mulai Ogos 2026

SINOPSIS TIKET SEHALA

Tiket Sehala mengisahkan Alif, Putri dan Taqy — tiga rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia di Korea Selatan, memperlihatkan realiti gelap eksploitasi buruh dan perjuangan untuk pulang ke tanah air.

Dengan mesej kuat dan pendekatan sinematik merentas sempadan, Tiket Sehala dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinanti tahun ini, sekali gus memperkukuh komitmen Key Billions dalam membangunkan industri perfileman Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *