Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Kempen Bebas Plastik , Sudahkah Anda Mempratikkan | Jika anda berada di area Selangor pastinya anda sudah ketahui dimana RM 0.20 di kenakan jika anda inginkan beg plastik untuk barangan yang anda beli. Manakala di luar negara pula penggunaan beg plastik memang sudah lama di lupuskan di gantikan dengan beg kertas atau pun bawa sendiri beg anda. Memandangkan Malaysia sudah 60 tahun merdeka daripada jajahan British, kini tiba masanya untuk kita berusaha menjadikan Malaysia #MerdekaPlastik dan #BebasPlastik memandangkan ‘penjajahan’ yang berlaku kini mula mendatangkan pelbagai masalah kepada persekitaran dan masyarakat.
Sebagaimana yang diketahui, penggunaan beg plastik konvensional telah mengundang pelbagai isu dalam kehidupan manusia dan hidupan lain serta memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar.
Kesan kepada hidupan
Lebih 100,000 hidupan di laut dan darat dikhuatiri terjejas hasil penggunaan beg plastik yang rakus dan berleluasa oleh manusia. Salah satu hidupan laut yang terkesan ialah penyu. Rata-rata penyu maut selepas tercekik plastik ketika mendapatkan makanan kerana menganggap plastik yang terapung di lautan seolah obor-obor. Selain itu, mikroorganisma lain di lautan juga terdedah kepada bahaya bahan kimia yang terdapat pada plastik konvensional ini.
Sebagai contoh, plastik akan terurai kepada bahan yang lebih kecil, dan keadaan ini menyebabkan sifatnya menjadi seperti magnet dan span kepada bahan pencemar seperti racun perosak. Jadi, ia menyebabkan banyak hidupan mikro ini terdedah kepada penyebaran racun ke rantaian makanan yang memberi kesan besar kepada ikan dan seterusnya manusia.
Kesan kepada alam sekitar
Bahan yang digunakan dalam pembuatan plastik ialah berasaskan petroleum seperti stirena dan benzin yang merupakan bahan yang tidak dapat hancur mahupun mereput tanpa tindakan kimia dikenakan terhadapnya. Jadi, jika plastik dilupuskan di tapak pelupusan sampah, ia akan kekal dalam bentuk sedia ada sehingga ratusan tahun. Justeru itu, ia akan menyusahkan usaha pengurusan sisa di lapangan malah lebih memburukkan situasi, pereputan plastik akan menukarkan sifat kimianya menjadi toksik. Tidak kurang dengan itu, penghasilan plastik turut menyumbang kepada penipisan lapisan ozon.
Kesan kepada manusia
Manusia menjadi hidupan paling banyak terkesan akibat penggunaan plastik konvensional ini. Ini disebabkan kedudukannya yang paling optimum dalam rantaian makanan menjadikan manusia terdedah kepada bahan toksik yang dilepaskan semasa penghasilan plastik mahupun semasa menguruskan sisa plastik.Tambahan pula, plastik yang biasa digunakan untuk membungkus makanan turut mampu memberikan kesan negatif kerana dipercayai bahan pencemar yang dikeluarkan plastik boleh mengakibatkan pelbagai risiko penyakit.
Justeru, usaha untuk ‘memerdekakan’ Malaysia daripada penggunaan plastik wajar digalakkan dan disokong oleh setiap pihak yang bertanggungjawab. Ianya penting memandangkan kehidupan di bumi yang sfera ini memerlukan simbiosis yang harmoni terutamanya apabila ia membabitkan kehidupan sesama makhluk.
Jom sama-sama kite bebas plastik dan bawa beg sendiri apabila keluar shopping tidak kira di pasar mahupun pasaraya