Hadirmu Ramadhan nyanyian Black Hanifah dilancarkan 24 Februari 2026. Lagu reflektif tentang rindu, muhasabah dan ketenangan jiwa sempena Ramadan, hasil kolaborasi bersama Hazama.
HADIRMU RAMADHAN
Menjelang Ramadan 2026, penyanyi dan komposer berbakat Black Hanifah tampil dengan karya penuh makna berjudul “Hadirmu Ramadhan”, sebuah lagu yang lahir daripada rasa rindu, kesyukuran dan pencarian ketenangan jiwa.

REFLEKSI KERINDUAN, KESYUKURAN DAN KETENANGAN JIWA
Lagu ini menggambarkan Ramadan bukan sekadar bulan perayaan, tetapi ruang muhasabah — saat manusia kembali menyusun hati, memperbaiki diri dan mendekatkan hubungan dengan Tuhan.
Menurut Black atau nama kreatifnya Nyawablack, lagu ini bersifat reflektif, lembut dan penuh pengharapan. Ia dicipta sebagai peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan — bulan penyucian jiwa dan peluang kedua untuk berubah menjadi lebih baik.
KOLABORASI ISTIMEWA BERSAMA HAZAMA
Menariknya, lagu ini turut mendapat sentuhan penulisan lirik daripada Hazama yang menggunakan nama pena Kadok. Kolaborasi ini tercetus secara spontan apabila Black memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Hazama.
Perbincangan santai mereka membuka ruang penambahbaikan lirik agar lebih selari dengan emosi dan melodi. Hasilnya, “Hadirmu Ramadhan” hadir sebagai karya yang seimbang, jujur dan berjiwa.
INSIPIRASI DARI SUASANA RAMADAN
Inspirasi utama lagu ini datang daripada suasana Ramadan itu sendiri — malam sunyi yang penuh doa, kesyahduan dalam sujud, serta rasa rindu setiap kali bulan mulia menjelma.

Black berkongsi bahawa beliau terinspirasi melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia, walaupun hanya seketika, namun tetap meninggalkan kesan mendalam.
Proses penghasilan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat. Setiap bait disusun dengan teliti agar mesej sampai dengan jujur tanpa berlebihan atau klise — satu cabaran besar bagi lagu bertemakan Ramadan.
LAGU TENTANG PELUANG KEDUA
Keistimewaan “Hadirmu Ramadhan” terletak pada pendekatannya yang introspektif. Lagu ini tidak sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya memberi fokus kepada rindu, keinsafan dan pencarian makna dalam diri.
Secara tersirat, lagu ini membawa mesej tentang peluang kedua — Ramadan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya, mengajak manusia memaafkan, memperbaiki diri dan kembali kepada fitrah.
MUZIK VIDEO
Lagu “Hadirmu Ramadhan” boleh mula distrim di semua platform penstriman digital pada 24 Februari 2026. Manakala video muzik rasmi akan dilancarkan lebih awal pada 20 Februari 2026 jam 3 petang menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.🌙✨
