GENGGAM : TRISHA OOI BINTANG DRAMA TINJU RTM SEMPENA HARI MERDEKA 2026!

“Genggam”: Trisha Ooi Bawa Watak Gadis Tinju, Drama RTM Sempena Hari Kebangsaan 2026

GENGGAM : TRISHA OOI

Sukan tinju menjadi taruhan baharu dalam drama khas “Genggam”, yang mengetengahkan kisah perjuangan, keluarga, integriti dan semangat tidak mudah mengalah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

SLOT PANGGUNG RTM

Mengisi slot Panggung RTM, telefilem arahan Khairi Azmi terbitan Ilhamnet Technology Sdn Bhd ini membawa kisah seorang gadis remaja yang menjadikan sukan tinju sebagai jalan untuk membantu keluarganya keluar daripada kesusahan.

Lebih menarik, watak utama Jaja dilakonkan oleh Trisha Ooi, pelakon aksi dan model yang mempunyai latar belakang dalam seni bela diri serta pengalaman sebenar dalam sukan tinju.

GENGGAM : TRISHA OOI

TRISHA OOI JADI GADIS TINJU DALAM ‘GENGGAM’

Dalam “Genggam”, Trisha Ooi membawa watak Jaja, seorang gadis remaja yang lasak dan sejak kecil lebih gemar melakukan aktiviti sukan yang sering dikaitkan dengan lelaki.

Selepas tamat persekolahan, Jaja tidak dapat meneruskan pengajian kerana perlu bekerja dan menjaga bapanya yang menghidap kanser leukemia.

Dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan bapanya, Jaja menyertai pertandingan tinju terbuka.

Walaupun hanya mempelajari asas tinju menerusi video YouTube, Jaja berjaya mengejutkan ramai pihak apabila muncul sebagai juara. Kemenangan itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

DARI GADIS BIASA KEPADA PETINJU BERPOTENSI

Bakat Jaja menarik perhatian Dani, seorang wartawan sukan yang melihat potensi besar dalam dirinya. Dani kemudiannya memperkenalkan Jaja kepada Saiful, bekas jaguh tinju negara, untuk mendapatkan latihan profesional.

Pada mulanya Saiful enggan melatih Jaja. Namun selepas melihat kemampuan dan bakat semula jadi gadis itu, Saiful akhirnya bersetuju untuk membimbingnya. Perjalanan Jaja bagaimanapun tidak mudah.

Penglibatannya dalam sukan tinju menerima kritikan daripada saudara-mara serta masyarakat setempat, malah turut memberi tempias kepada bapanya. Namun Jaja tidak mudah mengalah kerana matlamatnya jelas – dia mahu membantu menyelamatkan bapanya.

MENANG DALAM 30 SAAT, BERDEPAN UJIAN LEBIH BESAR

Antara detik penting dalam “Genggam” ialah kemenangan Jaja dalam satu pertandingan akhir apabila dia menewaskan lawannya menerusi TKO dalam tempoh hanya 30 saat.

Kemenangan tersebut melonjakkan nama Jaja dalam arena tinju negara dan membuka peluang untuknya pergi lebih jauh sebagai seorang atlet. Namun, cabaran sebenar mula muncul apabila Saiful meminta Jaja menjual perlawanan demi mendapatkan wang sogokan.

Dalam keadaan sangat memerlukan wang untuk rawatan bapanya, Jaja tetap memilih untuk mempertahankan prinsip. Dia enggan menggadaikan integriti semata-mata demi wang.

GENGGAM : TRISHA OOI

“GENGGAM” ANGKAT NILAI INTEGRITI DAN SEMANGAT JUANG

Konflik tersebut menjadi antara mesej utama yang cuba diketengahkan menerusi “Genggam”.

Jaja bukan sahaja perlu melawan lawan di dalam gelanggang, tetapi turut berdepan tekanan kehidupan, pandangan masyarakat dan godaan untuk mengorbankan prinsip demi wang.

Dani pula berang apabila mengetahui Jaja mahu menarik diri daripada dunia tinju. Dia mengingatkan Saiful bahawa masalah integriti yang pernah menghancurkan kariernya dalam dunia tinju suatu ketika dahulu tidak seharusnya berulang kepada Jaja.

Di sebalik kisah sukan, “Genggam” membawa mesej bahawa kejayaan sebenar bukan hanya tentang kemenangan, tetapi keberanian untuk mempertahankan prinsip ketika berdepan kesukaran.

TRISHA OOI BAWA PENGALAMAN SEBENAR KE SKRIN

Pemilihan Trisha Ooi sebagai Jaja turut memberikan dimensi tersendiri kepada drama ini.

Trisha mempunyai pengalaman dalam seni bela diri dan sebelum ini mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila muncul sebagai juara All Star Championship: Dubai Edition di Dubai pada 3 Mei 2026.

Latar belakang tersebut membantu menjadikan babak-babak aksi dan tinju dalam “Genggam” lebih meyakinkan, khususnya ketika wataknya perlu menampilkan kekuatan fizikal dan disiplin seorang atlet.

Selain Trisha Ooi, drama ini turut menampilkan Wanns Ahamad, Bohari Ibrahim, Saiful Zelwany dan Myza Rafika.

BILA GENGGAM : TRISHA OOI DITONTON?

Telefilem khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 ini disiarkan pada:

📺 TV1
📅 8 Ogos 2026
⏰ 9.00 malam

Penonton turut boleh mengikuti siaran menerusi platform digital RTMKlik.

Dengan gabungan aksi tinju, kisah kekeluargaan dan perjuangan mempertahankan integriti, “Genggam” tampil sebagai sebuah drama yang bukan sahaja membawa elemen patriotik, tetapi turut mengingatkan penonton tentang nilai keberanian, pengorbanan dan prinsip dalam mengejar impian.