FAIZAL TAHIR ANGKAT SEMANGAT JATI DIRI – LANCAR ALBUM TERBARU!

Faizal Tahir angkat semangat album Jati Diri melalui album terbaru dan pelancaran album berkonsepkan kenduri kendara. Seronok dan ‘vibes’ best lah.

ALBUM JATI DIRI

Penyanyi dan komposer tersohor, Faizal Tahir, kembali dengan album terbaru berjudul Jati Diri. Album ini merupakan hasil kerjasama dengan rakan penerbit muda yang sedang meningkat naik iaitu Glowrush dan mereka bergerak sebagai duo ‘Let Zapin’.

FAIZAL TAHIR ANGKAT SEMANGAT JATI DIRI

KONSEP KENDURI KENDARA

Lebih menarik apabila pelancaran album ini menampilkan konsep unik berasaskan kenduri kendara dan rewang. Konsep ini dipilih bukan sekadar sebagai tema pelancaran, tetapi juga sebagai lambang budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan dalam karya terbaharu beliau.

SEMANGAT GOTONG-ROYONG

Menurut Faizal, konsep ini dipilih kerana ia sangat dekat di hatinya kerana ia melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

 “Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama. Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada Allah, tetapi juga memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain,”

-katanya.

BUKAN SEKADAR KARYA MUZIK

Menurut Faizal, album Jati Diri bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.

“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,”

-tambah Faizal.

DUA FIGURA SEBAGAI PENYANYI UNDANGAN

Album ini turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M. Nasir, sebagai penyanyi undangan. Pemilihan mereka dibuat kerana pengaruh besar yang mereka miliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.

FAIZAL TAHIR ANGKAT SEMANGAT JATI DIRI

SUSUNAN MUZIK LEBIH PADA BUDAYA & WARISAN

Dari segi susunan muzik dan lirik, Jati Diri berbeza daripada album-album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan. Faizal menekankan bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

SINGLE ORANG KAMPUNG

Lagu ‘Orang Kampung’ merupakan lagu pertama dari album ini yang akan dipromosikan dan ia adalah sebuah lagu yang ceria dan penuh semangat, meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung. Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa.

FAIZAL TAHIR ANGKAT SEMANGAT JATI DIRI

Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu penghormatan kepada nilai-nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung. Sesuai untuk dinyanyikan bersama, Orang Kampung mengajak semua untuk menghargai asal-usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional. Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,”

-jelasnya.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge