Ammar Haikal Juara XO Camp bakat baru yang membuatkan persembahan memukau di Ruang Rama Petaling Jaya.
XO CAMP CONCERT
XO House dengan bangganya telah menganjurkan XO CAMP! Concert, konsert kemuncak rasmi bagi program pencarian dan pembangunan bakat nasional XO Camp, yang bertujuan mencungkil serta mengangkat bakat baharu dari seluruh Malaysia ke pentas industri muzik arus perdana.
PROGRAM XO CAMP
Program XO Camp bermula dengan sesi XO Audition 1.0 dan XO Audition 2.0 yang menerima lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 40 peserta terbaik telah terpilih untuk menyertai XO Camp – sebuah program latihan intensif selama tiga minggu yang menilai ketahanan mental dan fizikal, disiplin, karisma pentas serta tahap kesediaan profesional peserta melalui cabaran mingguan, sesi bimbingan bersama mentor industri dan penilaian berstruktur.

JUARA XO CAMP CONCERT 2026
AMMAR HAIKAL
Konsert akhir yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Ruang Rama, Petaling Jaya itu menyaksikan Ammar Haikal dinobatkan sebagai juara XO Camp 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,121.00. Beliau berjaya menewaskan pesaing terdekatnya, Fariq Iqwan dan Aryan Alisa, dalam saingan sengit yang mendapat sorakan hangat para penonton.

PELAJAR ASWARA
Kemenangan ini menjadi bukti kepada dedikasi luar biasa Ammar Haikal, seorang penyanyi muda berbakat yang juga merupakan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) semester dua, untuk terus berkembang dan mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan.
ARTIS JEMPUTAN
Konsert XO CAMP! Concert turut diserikan dengan penampilan artis jemputan terkenal seperti Iman Troye, Zubir Khan, Naim Daniel, Aufahanie dan Syafiq Aqiel, selain persembahan bertenaga daripada para finalis XO Camp.
PEMILIHAN LAGU ‘KAMELIA’ JADI PENENTU KEMENANGAN
Pemilihan lagu menjadi antara faktor utama kemenangan Ammar apabila beliau mempertaruhkan lagu “Kamelia” untuk persembahan akhir. Pada awalnya, lagu tersebut bukan pilihan beliau kerana merasakan ia kurang mencerminkan jiwanya sebagai penyanyi.
CABAR DIRI
Namun, atas nasihat dan sokongan kedua ibu bapanya, Ammar mengambil keputusan untuk mencabar diri dan membawakan lagu tersebut – satu keputusan yang ternyata membuahkan hasil luar jangka.

Ammar turut merendah diri dengan memuji kehebatan pesaingnya, menyifatkan Fariq Iqwan sebagai peserta yang mempunyai persembahan “out of the box”. Manakala Aryan Alisa pula memiliki kualiti vokal yang sangat baik. Namun, beliau mengakui bahawa pada malam tersebut, rezeki lebih menyebelahinya.
SERTAI XO CAMP UNTUK BELAJAR
Dalam sesi temu bual eksklusif selepas konsert, Ammar mendedahkan bahawa penyertaannya dalam XO Camp bukanlah semata-mata untuk mengejar gelaran juara, sebaliknya untuk menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan, khususnya dalam menguasai persembahan lagu-lagu balada dan tempo perlahan, yang berbeza daripada kebiasaan beliau menyanyikan lagu rancak.
Walaupun pernah beraksi di pentas besar dan memenangi pertandingan sebelum ini, Ammar mengakui bahawa beraksi di hadapan peserta yang semuanya memiliki kualiti vokal tinggi merupakan satu cabaran besar.

“Ia lebih mencabar dan mendebarkan berbanding pertandingan Tegar The Musicstage Nusantara yang pernah saya sertai. Tetapi pengalaman ini sangat berharga untuk perkembangan saya sebagai seorang artis,”
-sambung Ammar Haikal
Dengan kejayaan ini, XO House berharap agar platform XO Camp akan terus menjadi batu loncatan kepada bakat-bakat baharu tempatan untuk melangkah lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.
