17 Bulan Dalam Pembikinan, CHLYPDY Akhirnya Hidangkan 8 Lagu Dalam Album Rock N Rindu!
CHLYPDY
Selepas 17 bulan melalui proses pembikinan, kugiran alternatif tempatan, CHLYPDY, akhirnya memperkenalkan album sulung mereka berjudul Rock N Rindu yang menghimpunkan lapan lagu dengan identiti muzik tersendiri.
Album yang mula diusahakan sejak Mei 2025 dan disiapkan sepenuhnya pada Oktober 2026 itu menampilkan dua single terdahulu, Adem dan Rasa Berdansa, bersama enam lagu baharu iaitu Rock N Rindu, Mugchick, Diam, Hantu, Dia Yang Tahu dan Biar Akhir Begitu.
KONSEP ‘KARTEL CILI PADI’ JADI IDENTITI ALBUM
Menariknya, CHLYPDY memilih konsep ‘kartel cili padi’ sebagai identiti album Rock N Rindu bagi menggambarkan kepelbagaian cita rasa muzik yang dibawakan.

Seperti cili padi yang mempunyai tahap kepedasan berbeza, setiap lagu dalam album ini turut hadir dengan karakter, bunyian dan keistimewaan tersendiri.
Pendekatan tersebut mencerminkan keinginan CHLYPDY untuk menghasilkan muzik yang tidak terikat kepada satu acuan atau genre tertentu.
KENALI ANGGOTA CHLYPDY
CHLYPDY dianggotai enam pemuzik dengan peranan masing-masing: Qalish Muqri – Vokal, Nizam Ismail – Gitar 1, Qaliq Ziqri – Bass, Iman – Gitar , Nafeez – Keyboard dan Amirul Zailan – Dram
Dari sudut produksi, Putu Ceri daripada Empayar Masdo Sdn Bhd bertindak sebagai Penerbit Eksekutif, manakala Monk menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Bersama.
Kesemua lagu dirakamkan di beberapa studio termasuk ISeekStudio, Dojo dan Ruang Mekar. Proses adunan serta mastering pula disempurnakan oleh Huzai daripada Syns Music.

ROCK N RINDU PERKENALKAN WARNA MUZIK CHLYPDY
Bagi CHLYPDY, Rock N Rindu bukan sekadar himpunan lapan lagu, sebaliknya menjadi pengenalan kepada identiti serta hala tuju muzik yang ingin diketengahkan kepada pendengar.
Mereka berharap album sulung ini dapat menarik perhatian peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi kepelbagaian genre dan pendekatan muzik.
Pelancaran Rock N Rindu juga menjadi langkah awal buat CHLYPDY untuk terus mengembangkan potensi dan menyumbang warna baharu kepada landskap muzik tempatan.
