AVOCake Pukis & Delight Bawa Sajian Ikonik Indonesia ke Kuala Lumpur. Daripada Iga Bakar hingga Pukis, restoran baharu di Sentul menghimpunkan cita rasa popular dari pelbagai wilayah Indonesia dalam satu destinasi
AVOCAKE PUKIS & DELIGHT
Buat pencinta makanan Indonesia, kini ada satu lagi destinasi yang boleh dimasukkan dalam senarai untuk diterokai.
AVOCake Pukis & Delight tampil sebagai restoran baharu berkonsepkan family dining yang membawa kepelbagaian sajian ikonik dan popular Indonesia ke Kuala Lumpur.
PELBAGAI HIDANGAN DARI PELUSUK INDONESIA
Menariknya, restoran ini tidak mengetengahkan satu jenis masakan sahaja. Sebaliknya, ia menghimpunkan pelbagai hidangan dari beberapa pelusuk Indonesia, memberikan peluang kepada pelanggan di Malaysia untuk menikmati kepelbagaian cita rasa Nusantara dalam satu lokasi.

Antara menu yang boleh dicuba termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai.
Bagi penggemar pencuci mulut pula, pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado turut menjadi antara tarikan AVOCake Pukis & Delight.
DARI INDONESIA KE KUALA LUMPUR
Di sebalik penubuhan AVOCake Pukis & Delight ialah Dr. Shamsiah Yaakob, yang bersama Mohd Azri Ahmad Kamil menerajui restoran tersebut sebagai pengasas dan pengarah bersama. Minat mendalam terhadap makanan Indonesia bukan sesuatu yang baharu buat Dr. Shamsiah.
TUJUH TAHUN DI INDONESIA
Beliau pernah menetap selama tujuh tahun di Indonesia ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain mempunyai pengalaman bersama beberapa syarikat swasta di negara tersebut.

Tempoh tersebut memberi peluang kepada beliau mengenali dengan lebih dekat budaya, masyarakat dan tentunya kepelbagaian makanan Indonesia.
INDONESIA KHAZANAH KULINARI
Malah, Dr. Shamsiah turut mengambil kesempatan mempelajari sendiri cara penyediaan pelbagai sajian tempatan sepanjang berada di Indonesia.
“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia.”
Menurut beliau, idea menjadikan pengalaman tersebut sebagai sebuah perniagaan mula tercetus pada 2025.
“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan.”
Daripada minat tersebut, lahirlah langkah pertama AVOCake Pukis & Delight menerusi sebuah outlet kecil di UTC Ampangan, Seremban. Sambutan menggalakkan daripada pelanggan kemudiannya mendorong pembukaan restoran kedua di Sikamat, Seremban pada penghujung Disember 2025.
BERMULA DARI OUTLET KECIL
Perjalanan AVOCake Pukis & Delight ke Kuala Lumpur pula tercetus daripada satu kunjungan yang tidak disangka.
Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya pernah berkunjung ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat. Daripada pertemuan tersebut, tercetus persoalan mengapa restoran berkenaan tidak dibuka di Kuala Lumpur.
Idea itu kemudiannya berkembang menjadi kerjasama antara Dr. Shamsiah, Ratieh dan beberapa rakan pelabur lain sehingga membawa kepada pembukaan restoran di ibu negara.
Selain Ratieh, antara pelabur dan pembiaya restoran ini termasuk Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.
MENU INDONESIA POPULAR DALAM SATU LOKASI
Menurut Mohd Azri Ahmad Kamil, pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memberikan pengalaman yang lebih luas kepada pelanggan.
IGA BAKAR DAN BATAGOR
Antara yang menarik perhatian ialah hidangan seperti Iga Bakar dan Sate Kambing Madura, selain makanan ringan dan kudapan popular seperti Batagor, Cilok, Sempol, Tempe Mendoan dan Somai.


SUP JANDA DAN PUKIS
Bagi mereka yang gemarkan makanan berkuah, Sup Konro dan Set Sup Janda pula menawarkan pilihan yang lebih mengenyangkan.

Tidak ketinggalan Pukis, yang menjadi sebahagian daripada identiti nama restoran ini.

Dengan kepelbagaian tersebut, pelanggan boleh datang bersama keluarga atau rakan-rakan dan mencuba beberapa jenis hidangan dalam satu kunjungan.
DIRAI BERSAMA SELEBRITI MALAYSIA & INDONESIA
Pembukaan rasmi AVOCake Pukis & Delight turut diserikan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti tempatan termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.
Kehadiran Ratieh Sanggarwaty Zen bersama rakan-rakan pelabur dari Indonesia pula mencerminkan aspirasi restoran tersebut untuk menjadi jambatan kecil yang menghubungkan budaya makanan Malaysia dan Indonesia.
Bagi AVOCake Pukis & Delight, makanan bukan sekadar mengenai rasa.
Ia turut menjadi medium untuk mengenali budaya, berkongsi pengalaman dan menemukan masyarakat melalui sesuatu yang cukup dekat dengan kehidupan seharian – makanan.
AVOCAKE PUKIS & DELIGHT DESTINASI BAHARU MAKANAN INDONESIA
Dengan konsep family dining, kepelbagaian menu dan kisah di sebalik penubuhannya, AVOCake Pukis & Delight mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengetengahkan kulinari Indonesia kepada masyarakat Malaysia.

RASA INDONESIA, PENGALAMAN ISTIMEWA
Daripada hidangan utama hingga kudapan dan pencuci mulut, restoran ini membawa konsep “rasa Indonesia, pengalaman istimewa” untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan.
Bagi penggemar makanan Indonesia yang ingin meneroka lebih banyak cita rasa Nusantara tanpa perlu merentas sempadan, AVOCake Pukis & Delight boleh menjadi antara destinasi baharu untuk dimasukkan dalam food hunting list di Kuala Lumpur.