MANFORCE TERIMA KONTRAK RM3.4 JUTA DARIPADA ORGABIO, TAHNIAH!

Manforce Terima Kontrak RM3.4 Juta Daripada Orgabio Untuk Urus 120 Pekerja Asing

MANFORCE GROUP BERHAD

Manforce Group Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pengurusan tenaga kerja apabila menerima Letter of Award (LOA) bernilai kira-kira RM3.4 juta daripada Orgabio Manufacturing Sdn. Bhd.

LOA RM3.4 JUTA

Kontrak selama tiga tahun itu melibatkan perkhidmatan mobilisasi dan pengurusan harian 120 pekerja asing yang menyokong operasi Orgabio Manufacturing, anak syarikat milik penuh Orgabio Holdings Berhad.

Penglibatan tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Manforce, Manforce Resources (M) Sdn. Bhd., dan dijangka berlangsung selama 36 bulan, tertakluk kepada kelulusan kuota pengambilan pekerja asing yang berkaitan.

MANFORCE URUS KESELURUHAN KITARAN PEKERJAAN

Menerusi kontrak berkenaan, Manforce akan menyediakan penyelesaian pengurusan tenaga kerja secara menyeluruh, merangkumi pelbagai keperluan pekerja asing sepanjang tempoh pekerjaan mereka. Antara perkhidmatan yang akan diuruskan termasuk:

✔ Permohonan kerajaan dan imigresen
✔ Pembaharuan permit kerja
✔ Pemeriksaan perubatan
✔ Penginapan pekerja
✔ Pengangkutan
✔ Keperluan kebajikan harian pekerja

Pendekatan bersepadu ini membolehkan Orgabio Manufacturing memberi tumpuan kepada operasi teras perniagaan, sementara pengurusan tenaga kerja diselaraskan oleh Manforce. Nilai akhir kontrak pula bergantung kepada jumlah sebenar pekerja yang dikerahkan serta jenis perkhidmatan yang digunakan sepanjang tempoh kontrak.

MANFORCE X ORGABIO

FOKUS KEPADA PENGURUSAN TENAGA KERJA LEBIH TERSUSUN

Menurut Pengarah Urusan Manforce Group Berhad, Dato’ Wong Boon Ming, kontrak tersebut merupakan perkembangan positif buat Kumpulan, khususnya ketika Manforce terus memperluaskan portfolio pengurusan tenaga kerja berulang susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE.

Beliau berkata pengurusan pekerja asing bukan sekadar berkaitan penyediaan tenaga kerja, sebaliknya turut melibatkan dokumentasi, gaji, penginapan, pengangkutan, kebajikan pekerja serta pematuhan terhadap peraturan.

Justeru, peranan Manforce adalah untuk menyatukan keperluan tersebut menerusi satu penyelesaian pengurusan yang lebih tersusun supaya pelanggan dapat memberi fokus kepada pengoperasian dan perkembangan perniagaan mereka.

KONTRAK DIJANGKA SUMBANG KEPADA PRESTASI MANFORCE

Sekiranya tiada keadaan tidak dijangka, kontrak bersama Orgabio Manufacturing ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih Manforce bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027.

Kontrak baharu tersebut turut mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan pengurusan tenaga kerja yang mampu membantu syarikat mengurus keperluan pekerja asing secara lebih sistematik, khususnya dari aspek dokumentasi, pematuhan dan kebajikan.

Bagi Manforce, penglibatan bersama Orgabio Manufacturing menambah satu lagi kontrak kepada portfolio perkhidmatan pengurusan tenaga kerja Kumpulan, selain membuka ruang untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam industri perkhidmatan tenaga kerja di Malaysia.