GUIZHOU – MALAYSIA PERKUKUH PERDAGANGAN DUA HALA & ASEAN MENERUSI KERJASAMA RENTAS SEMPADAN

Guizhou Pilih Malaysia Sebagai Pintu Masuk ASEAN, Perkukuh Perdagangan, Pelancongan dan Ekonomi Digital

Hubungan ekonomi antara Malaysia dan China terus berkembang apabila Guizhou memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia menerusi inisiatif perdagangan rentas sempadan dua hala yang bakal membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pelancongan budaya, e-dagang dan pembangunan bakat digital.

MOU GUIZHOU – MALAYSIA

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Guizhou, China dan Malaysia yang ditandatangani di Guiyang pada 4 Ogos lalu.

PRODUK GUIZHOU KELUAR NEGARA, BRANGAN MALAYSIA MASUK GUIZHOU!

Memorandum berkenaan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih tersusun menerusi konsep “Produk Guizhou Keluar Negara & Barangan Malaysia Masuk Guizhou”, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak produk tempatan kedua-dua pasaran untuk menembusi pasaran masing-masing.

Majlis tersebut turut menghimpunkan wakil perusahaan dari China dan Malaysia termasuk Pengurus Besar Guizhou Yima Import and Export Co., Ltd., Ao Zhongliang; Pengerusi Metrovex Technologies Sdn Bhd, Joyce Woo Jie Le; Pengerusi Baoli Yunjie Digital Technology (M) Sdn Bhd, Joshua Choo; serta Pengurus Besar Guizhou Jintaiyang International Trade Co., Ltd., Ge Yi.

PRODUK GUIZHOU DIBAWA LEBIH DEKAT PADA PENGGUNA MALAYSIA

Antara fokus utama kerjasama ini ialah membawa produk makanan dan hasil pertanian istimewa Guizhou ke pasaran Malaysia dan seterusnya ke Asia Tenggara.

Produk yang dikenal pasti termasuk produk berasaskan pir Jincili, teh perisa Fanji, kentang goreng pedas, produk cili La Sao serta hasil pertanian seperti kentang dan cili istimewa Guizhou.

Guizhou-Malaysia

Dengan memanfaatkan rangkaian peruncitan tempatan, platform e-dagang rentas sempadan, pemasaran siaran langsung serta kemudahan gudang luar negara, produk-produk tersebut berpotensi diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna di Malaysia.

Pendekatan ini turut memberi tumpuan kepada strategi penjenamaan, kedudukan produk, saluran jualan dan kempen pemasaran yang disesuaikan dengan citarasa pengguna Asia Tenggara.

PRODUK MALAYSIA TEMBUSI PASARAN GUIZHOU

Kerjasama ini bukan hanya berkisar mengenai kemasukan produk Guizhou ke Malaysia.

Produk daripada jenama Malaysia turut dikenal pasti untuk diperkenalkan ke Guizhou secara berperingkat, termasuk minuman Milo, coklat, biskut, kek berbungkus serta produk berasaskan lateks seperti bantal dan tilam.

Langkah tersebut dijangka memberikan pengguna Guizhou lebih banyak pilihan produk antarabangsa, selain membuka saluran baharu kepada perusahaan Malaysia untuk mengembangkan pasaran ke China. Konsep perdagangan dua hala ini menjadi antara kekuatan utama kerjasama kerana ia bukan sekadar membuka laluan eksport, tetapi membina ekosistem perdagangan yang saling melengkapi.

PELANCONGAN GUIZHOU DIBAWA KE MALAYSIA

Menariknya, kerjasama ini tidak terhad kepada perdagangan produk. Sektor pelancongan budaya turut menjadi antara bidang utama yang diberi perhatian, khususnya dengan keunikan landskap pergunungan, kawasan karst, budaya etnik dan warisan tradisional Guizhou.

Kerjasama yang dirancang merangkumi promosi pelancongan dua hala, pertukaran sumber pelancong, pembangunan laluan pelancongan serta penciptaan produk pelancongan baharu yang lebih dekat dengan pasaran Asia Tenggara.

Guizhou-Malaysia

Melalui kandungan video pendek dan siaran langsung rentas sempadan, keindahan Guizhou juga akan dipromosikan kepada pengguna Malaysia dan pasaran ASEAN. Pada masa sama, destinasi serta produk pelancongan Malaysia akan diperkenalkan kepada pengguna di Guizhou.

SASARAN 300 KEDAI BERTEMAKAN GUIZHOU DI MALAYSIA

Salah satu sasaran paling besar yang dirancang ialah pembukaan 300 kedai rantaian pelancongan budaya bertemakan Guizhou di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kedai-kedai ini dirancang sebagai hab pelbagai fungsi yang menggabungkan jualan produk Guizhou, pameran kebudayaan, pengalaman budaya etnik, promosi pelancongan, pemasaran digital serta perkhidmatan perundingan rentas sempadan.

Lebih daripada sekadar ruang jualan, konsep ini berpotensi menjadi titik pertemuan antara pengguna Malaysia dengan produk, budaya dan pengalaman pelancongan Guizhou. Malaysia seterusnya boleh memainkan peranan sebagai salah satu pintu masuk penting bagi Guizhou untuk membina hubungan lebih kukuh dengan pasaran ASEAN.

1,000 PENYIAR RENTAS SEMPADAN BAKAL DILATIH

Ekonomi digital turut menjadi komponen penting dalam kerjasama ini menerusi pelancaran Program Latihan Penyiar Rentas Sempadan ASEAN. Program tersebut memberi tumpuan kepada kemahiran seperti e-dagang rentas sempadan, pemasaran digital, promosi pelancongan budaya dan pengurusan jenama di pasaran luar negara.

Dalam tempoh tiga tahun, program ini menyasarkan untuk melatih 1,000 penyiar langsung rentas sempadan tempatan ASEAN. Langkah itu dijangka membantu membentuk kumpulan bakat digital tempatan yang mampu menghubungkan produk dan pengalaman dari China dengan pengguna di Asia Tenggara melalui platform digital.

MALAYSIA JADI STRATEGI UNTUK MENJANGKAU LEBIH 600 JUTA PENGGUNA ASEAN

Dengan Malaysia sebagai salah satu tunjang strategik, kerjasama ini mempunyai potensi untuk membuka akses kepada pasaran ASEAN yang mempunyai lebih daripada 600 juta pengguna.

Model yang diketengahkan menggabungkan empat elemen utama iaitu gudang luar negara, kedai fizikal, pemasaran digital dan pembangunan bakat.

Gabungan tersebut membolehkan proses membawa produk dari Guizhou ke pasaran antarabangsa dilakukan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, daripada pengedaran dan jualan hinggalah kepada pemasaran serta pembinaan jenama.

Bagi Guizhou, langkah ini juga menandakan peralihan daripada sekadar mengeksport produk kepada usaha membangunkan jenama yang lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

MEMBINA JAMBATAN EKONOMI CHINA-MALAYSIA-ASEAN

Kerjasama Guizhou-Malaysia ini memperlihatkan bagaimana hubungan perdagangan moden kini bergerak melangkaui urusan eksport dan import semata-mata.

Dengan menggabungkan perdagangan, pelancongan budaya, teknologi digital dan pembangunan bakat, inisiatif ini berpotensi mewujudkan ekosistem yang lebih luas untuk perusahaan China dan Malaysia berkembang bersama.

Bagi Malaysia pula, kerjasama sebegini membuka peluang kepada perusahaan tempatan untuk mendapatkan akses baharu ke pasaran China, sambil memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perdagangan dan pintu masuk strategik ke ASEAN.

Dengan pelaksanaan yang konsisten dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kerjasama Guizhou-Malaysia berpotensi menjadi antara model baharu perdagangan rentas sempadan yang menghubungkan China Barat Daya dengan Malaysia dan pasaran ASEAN, sekali gus memberikan momentum baharu kepada hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.