Ghea Indrawari Hanyutkan Zepp Kuala Lumpur Dengan Konsert ‘Rasi Jiwa’ Penuh Emosi dan Magis
KONSERT ‘RASI JIWA’
Ghea Indrawari berjaya mencipta malam penuh emosi dan magis menerusi konsert solo ‘Rasi Jiwa’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Mei 2026. Persembahan berdurasi lebih dua jam itu menghimpunkan kira-kira 1,200 peminat setia yang hanyut dalam perjalanan muzik penuh jiwa dan penghayatan daripada penyanyi muda berbakat asal Indonesia tersebut.

HIMPUNKAN 1,200 PENONTON KUALA LUMPUR
Tampil anggun dengan tiga persalinan berbeza sepanjang persembahan, Ghea membawa penonton menyelami pelbagai lapisan emosi menerusi susunan lagu yang dekat dengan realiti kehidupan dan perasaan ramai. Sejak lagu pembukaan Rasa Cinta Ini, suasana dewan terus bergema dengan sorakan peminat, diperkukuhkan lagi dengan persembahan penari yang melengkapkan visual dramatik di atas pentas.
LAGU-LAGU POPULAR
Momentum persembahan diteruskan menerusi lagu-lagu popular seperti Malaikat dan Bucketlist yang dipersembahkan dengan elemen tarian moden dan pencahayaan artistik, sekali gus menjadikan keseluruhan persembahan tampil lebih imersif dan emosional.

SISI PALING MATANG DI KONSERT ‘RASI JIWA’
Konsert ‘Rasi Jiwa’ turut memperlihatkan sisi paling matang dan jujur Ghea sebagai seorang penghibur. Lagu-lagu seperti Terima Kasih Sudah Bertahan, Masa Mudaku Habis dan Melangitkanmu berjaya mencetuskan suasana cukup menyentuh hati apabila ribuan penonton dilihat turut menyanyi bersama sambil menyalakan lampu telefon bimbit, mencipta lautan cahaya yang cukup indah di dalam dewan.
SISI VERSATIL
Tidak hanya bermain dengan emosi, Ghea turut menunjukkan sisi versatilitinya apabila tampil bersama gitar untuk lagu Kamu Anggap Apa dan 1000X. Persembahan tersebut memperlihatkan kemampuan beliau mengawal pelbagai dinamika persembahan sambil mengekalkan hubungan rapat dengan peminat sepanjang konsert berlangsung.

Lagu-lagu seperti Oh Tuhan!, Berdamai dan Setengah Mati pula terus menghangatkan suasana dengan gabungan vokal mantap, susunan muzik yang kemas serta interaksi spontan Ghea bersama penonton yang memenuhi ruang konsert malam itu.
LAGU YANG SINONIM
Kemuncak sebenar malam Rasi Jiwa hadir menerusi lagu Teramini sebelum Ghea menutup set utama dengan Jiwa Yang Bersedih, sebuah karya yang cukup sinonim dengan dirinya dan sangat dekat di hati peminat. Lagu tersebut nyata menjadi detik paling emosional apabila seluruh dewan menyanyikan setiap bait lirik bersama-sama dalam suasana penuh penghayatan.

Sorakan gemuruh penonton akhirnya membawa Ghea kembali ke pentas untuk segmen encore menerusi lagu Manusia Paling Bahagia yang dipersembahkan bersama penari, sekali gus menutup malam dengan aura lebih ceria, positif dan penuh kegembiraan.

Konsert ‘Rasi Jiwa’ bukan sahaja membuktikan populariti Ghea Indrawari semakin kukuh di Malaysia, malah mengesahkan keupayaannya menghadirkan sebuah persembahan yang bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman muzik penuh emosi yang sukar dilupakan peminat.
