Warzone World Championship 2025 membuat sidang media baru-baru ini untuk memberi penjelasan Dan pada masa yang sama untuk memohon maaf diatas kesilapan
WARZONE WORLD CHAMPIONSHIP 2025 MOHON MAAF
Penganjur Warzone World Championship 2025 (WWC 2025), Yusuf Azmi, tampil memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Malaysia berhubung kekeliruan dan salah faham yang timbul sejak kebelakangan ini.
WWC BUKAN PERLAWANAN GANAS
Dalam satu sidang media, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam komunikasi dan promosi awal yang menimbulkan persepsi negatif seolah-olah WWC adalah satu bentuk perlawanan ganas atau tidak beretika. Penganjur mengambil tanggungjawab penuh dan telah melaksanakan langkah segera bagi memperbetulkan keadaan serta memastikan mesej sebenar acara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak.
PLATFORM SENI TEMPUR PROFESSIONAL
Yusuf menegaskan bahawa WWC 2025 bukan medan pergaduhan bebas atau pertarungan jalanan, sebaliknya merupakan platform seni tempur profesional yang menekankan nilai disiplin, kawalan diri dan semangat kesukanan.
MENGIKUT STRUKTUR SUKAN TEMPUR
Setiap kategori pertandingan dilaksanakan mengikut struktur sukan tempur yang sah dan diselia oleh panel juri profesional serta wasit berpengalaman daripada pelbagai disiplin termasuk Muay Thai, Silat, Taekwondo dan MMA. Sistem pemarkahan menggunakan kaedah teknikal dan piawaian antarabangsa bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap keputusan pertandingan yang dibuat.

AKTA PEMBANGUNAN SUKAN 1997
Bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang, pihak penganjur telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Beberapa siri perbincangan dengan agensi berkaitan dan pihak keselamatan tempatan turut diadakan bagi memastikan setiap aspek acara mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
APA YANG WAJIB?
Keselamatan peserta dan penonton menjadi keutamaan utama dengan pelaksanaan pemeriksaan kesihatan wajib, kehadiran pasukan paramedik dan ambulans di lokasi, kawalan ketat di pintu masuk serta Protokol Sukan Selamat untuk melindungi semua pihak daripada sebarang bentuk gangguan atau kecederaan.
KATEGORI JUNIOR DIGUGURKAN?
Penganjur juga menjelaskan bahawa kategori Junior yang tidak melibatkan perlawanan fizikal berisiko tinggi telah dimansuhkan selaras dengan pekeliling baru Kementerian Belia dan Sukan yang tidak membenarkan atlet bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur.
Warzone World Championship 2025 yang mengekalkan semangat “Medan Disiplin, Keberanian dan Kesukanan” dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 Disember 2025 di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan dengan jualan tiket yang masih tersedia untuk peminat sukan tempur.
Penganjur menzahirkan keyakinan bahawa dengan bimbingan pihak berkuasa serta sokongan media dan masyarakat, acara ini mampu menjadi platform sukan tempur profesional yang selamat, beretika dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil membentuk jati diri dan ketahanan mental atlet tempatan.
